Tuesday 20 June 2017

Ikrar Bebas Rasuah (IBR) pada bulan barakah

“Dan kita baca ikrar tadi dengan penuh penghayatan,” kata Menteri Besar

KEMESRAAN TERUS TERJALIN... Berjabat tangan mesra antara Dato' Sri DiRaja Adnan dan Dato' Dzulkifli tanda hubungan erat antara kedua-dua Kerajaan Negeri dan SPRM demi perjuangan membanteras gejala rasuah.


BILIK GERAKAN NEGERI, TINGKAT 7, BLOK B, WISMA SRI PAHANG, KUANTAN – Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob mengetuai Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri melafaz dan menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) pada majlis petang Selasa, 20 Jun di sini. 

Kesemua Ahli MMK hadir yang termasuklah Ex-Officio – Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Sri Muhammad Safian Ismail; Penasihat Undang-undang Negeri, Dato’ Shamsulbahri Ibrahim; dan, Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Indera Roslan Harun.

Menyaksikan majlis petang Ramadan ke-25 ini ialah Ketua Pesuruhjaya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Dato’ Dzulkifli Ahmad; Timbalannya, Dato’ Azam Baki; serta pegawai-pegawai kanan SPRM yang lain. 

Sungguhpun Pahang merupakan negeri kesembilan majlis ini diadakan namun kepada Dato’ Sri DiRaja Adnan; “… bulan ini bulan barakah. Elok sangatlah. Walaupun negeri Pahang ini nombor 9 tapi pada bulan puasa. 

“Dan kita baca ikrar tadi dengan penuh penghayatan,” katanya pada persidangan media bersama Dato’ Dzulkifli yang turut dihadiri oleh Dato’ Azam, bersempena dengan majlis tersebut. 

SESI BERFOTO BERKUMPULAN... In 'full-force', yang menunjukkan komitmen pentadbiran Kerajaan Negeri dalam memerangi rasuah dan penyalah gunaan kuasa.


TAHNIAH BUAT KERAJAAN NEGERI 

“Saya bagi pihak Kerajaan Negeri ingin mengucapkan penghargaan, terima kasih kepada Ketua Pesuruhjaya, Dato’ Dzulkifli kerana sudi datang,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan lagi.

Lima (5) perkara ditekankan dalam IBR itu yang antaranya ialah; ‘Saya akan berusaha sedaya-upaya agar kakitangan-kakitangan di bawah seliaan saya tidak akan melibatkan diri dalam sebarang bentuk jenayah rasuah dan salah guna kuasa dalam apa-apa jua urusan berkaitan dengan Kerajaan Negeri Pahang dan;

‘Saya akan melaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dengan seberapa segera, sebarang bentuk perlakuan jenayah rasuah dan salah guna kuasa yang melibatkan saya atau kakitangan-kakitangan di bawah seliaan saya’.   

Bercakap pada persidangan media yang sama, Dato’ Dzulkifli menyatakan betapa majlis petang ini menunjukkan komitmen Kerajaan Negeri Pahang bagi memastikan pentadbirannya bersih daripada sebarang gejala rasuah dan penyalah gunaan kuasa. 

“Oleh itu saya ucapkan tahniah dan syabas kepada kepimpinan Dato’ Sri (DiRaja Adnan) dan seluruh kepimpinan Kerajaan Negeri Pahang yang telah menunjukkan komitmen yang sebegini untuk memastikan negeri ini khususnya, dan secara amnya negara kita, bebas daripada rasuah dan penyalah gunaan kuasa. 

SENTIASA MESRA-MEDIA... Bersedia untuk memulakan sesi persidangan media petang Ramadan ke-25.


KATAKAN TIDAK KEPADA RASUAH 

“InsyaAllah, kalau momentum yang sebegini berterusan saya jangkakan dan sebagaimana SPRM telah visikan, kita nak memastikan negara pada tahun 2020 adalah sebuah negara maju dan bersih daripada gejala rasuah dan penyalah gunaan kuasa. 

“Dan masyarakat yang wujud ketika itu ialah satu masyarakat yang berani untuk mengatakan tidak kepada rasuah – menolak dan membencinya; bersama-sama kami untuk memerangai rasuah,” tegasnya. – Khabar