Tuesday 21 November 2017

Bajet Negeri 2018 bernilai RM700.64 juta.

 … bertemakan, ‘Mengurus Negeri mengikut kemampuan kewangan yang ada tanpa mengabaikan kepentingan dan kebajikan rakyat’.

“Kita akan mengurus negeri mengikut kemampuan kewangan yang ada, dan pada ketika yang sama, tidak akan mengabaikan kepentingan dan kebajikan rakyat,” kata Menteri Besar.

DATO' SRI DIRAJA ADNAN... Foto ini dirakam pada sesi soal-jawab, hari pertama, Isnin, 20 November; Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Pahang ke-13. 
    

DEWAN UNDANGAN NEGERI, WISMA SRI PAHANG, KUANTAN – Bertemakan, ‘Mengurus Negeri mengikut kemampuan kewangan yang ada tanpa mengabaikan kepentingan dan kebajikan rakyat’;

Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob membentangkan Bajet Negeri 2018 bernilai RM700.64 juta dengan Perbelanjaan Mengurus kira-kira RM700.04 juta menjadikannya bajet lebihan kira-kira RM600,000 – bajet lebihan ke-15 sejak tahun 1992.

RM700.64 juta ini dijangka diperolehi daripada kutipan hasil tanah dan galian sebanyak RM337.70 juta; hasil perhutanan, RM102.45 juta; hasil air, RM12.50 juta; pemberian geran daripada Kerajaan Persekutuan, RM159 juta; dan hasil-hasil lain, RM88.99 juta.

Bajet yang sama ini juga menyediakan peruntukan pembangunan menerusi Kumpulan Wang Pembangunan Negeri kira-kira RM108.57 juta yang daripadanya, RM50 juta ialah bagi bekalan air di bawah Pengurusan Air Pahang Bhd (PAIP). 

Dato’ Sri DiRaja Adnan menyatakan ini dalam ucapan kira-kira 54-minit pada hari kedua Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima, Dewan Undangan Negeri ke-13 pagi Selasa, 21 November di sini.

NILAI PELABURAN RM5,200 JUTA

“Kita akan mengurus negeri mengikut kemampuan kewangan yang ada, dan pada ketika yang sama, tidak akan mengabaikan kepentingan dan kebajikan rakyat,” tegasnya, merujuk kepada tema Bajet ini.

Beliau juga berkata, Pahang turut berkembang pesat selari dengan arus globalisasi yang pada tahun lepas (2016) sahaja, ia mencatatkan peningkatan dalam nilai pelaburan sebanyak RM5,200 juta berbanding RM3,900 juta pada tahun sebelumnya (2015).

Negeri ini juga secara konsisten katanya, telah menyumbang kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Negara pada kadar 4.4 peratus pada tahun lepas (2016) berbanding 4.2 peratus pada tahun 2015.

“Kadar penggangguran di negeri Pahang juga lebih rendah iaitu 2.6 peratus berbanding peringkat nasional iaitu 3.4 peratus,” katanya.

“Sektor perkhidmatan masih lagi terus menerajui KDNK Ekonomi Negeri dengan sumbangan sebanyak 49 peratus iaitu RM22.93 bilion pada tahun 2016.

SEBANYAK 331 PROJEK BERNILAI RM2,400 JUTA

“Bagi tempoh ‘rolling plan” pertama Rancangan Malaysia Ke-11 (2016-2017) pula, sebanyak 331 projek dengan nilai pelaburan melebihi RM2.4 bilion telah diluluskan di negeri Pahang melalui agensi-agensi pelaksana,” katanya lagi.

Dato’ Sri DiRaja Adnan turut menyentuh tentang hutang Kerajaan Negeri dengan Kerajaan Persekutuan yang menurutnya, turut melibatkan Kerajaan Negeri-Kerajaan Negeri lain dan bukanlah sesuatu yang perlu dibimbangkan.

Ketika beliau mula menduduki jawatan Menteri Besar pada tahun 1999 katanya, hutang Kerajaan Negeri ialah kira-kira RM1,519 juta tetapi kini telah meningkat kepada kira-kira RM3,310 juta.

Sungguhpun begitu, hutang-hutang tersebut ialah bagi manfaat negeri dan rakyatnya yang antara lain, RM2,210 juta ialah untuk kerja-kerja pembekalan air termasuk penggantian paip-paip lama jenis asbestos kepada PVC;

RM342.49 juta bagi pembinaan Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR); RM149.18 juta untuk Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP); dan, RM432.55 juta untuk pelbagai termasuklah menampung kos penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) serta hutang bagi menangani isu banjir tahun 2014.

‘JANGAN KITA RISAU. JANGAN KITA RISAU…’

“Dan kita tidak berasa curiga, dan kita tidak menggelabah kerana kita tahu; ini hutang Kerajaan Negeri dengan Kerajaan Persekutuan. Anak berhutang dengan Ayah. Jangan kita risau. Jangan kita risau…,” katanya.  

Yang disebalik itu menurutnya, negeri-negeri juga turut menyumbang kepada hasil pendapatan Kerajaan Persekutuan. Misalnya, Jabatan Kastam Malaysia (JKM) mengutip cukai dari Pahang kira-kira RM1,300 juta pada tahun lepas dan tahun ini (2017), setakat ini, kira-kira RM1,800 juta.

Kutipan hasil oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) – sebuah lagi agensi Kerajaan Persekutuan, dari negeri ini pula pada tahun lepas ialah RM1,060 juta termasuk RM124 juta sahaja cukai korporat daripada pengusaha Genting Highlands.

Pada awal ucapannya, beliau berterima kasih kepada Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Abdul Razak yang semasa membentang Bajet 2018 untuk negara pada Oktober lepas, telah antara lain mengumumkan kelulusan pembinaan wad wanita dan wad kanak-kanak dengan kapaisiti 300 katil di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan;

Selain meluluskan peruntukan kira-kira RM230 juta bagi meneruskan lagi pembangunan projek pembinaan Central Spine Road (CSR) melibatkan pakej jajaran Raub-Bentong, serta jajaran Gua Musang, Kelantan dan Kampung Relong, Lipis.

BANTUAN KHAS RM1,500 UNTUK PENJAWAT AWAM

Sebelum menamatkan ucapannya yang disampaikan secara luar teks, Dato’ Sri DiRaja Adnan tidak lepas untuk mengumumkan pemberian Bantuan Khas RM1,500 kepada kira-kira 8,000 kakitangan Kerajaan di negeri ini.

Sepertimana yang diumumkan oleh Dato’ Sri Mohd Najib dalam ucapan Bajetnya, RM1,500 ini juga menurut Dato’ Sri DiRaja Adnan lagi, akan dibayar RM1,000 pada awal Januari ini (2018) dan selebihnya, RM500 menjelang Hari Raya Aidil Fitri pada Jun nanti. – Khabar