Sunday 29 October 2017

Pembangkang cepat melatah, serang MCKIP


Sedangkan pertama-tamanya, tembok konkrit itu bukanlah meliputi keseluruhan taman perindustrian seluas 1,214 hektar (3,000 ekar) itu, dan pula, bukan seluruhnya terletak dalam satu kawasan sahaja tetapi terpisah-pisah.

SESI FOTO BERKUMPULAN SEMASA PELANCARANNYA... 


NOTA EDITOR;

MCKIP atau Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China yang terletak di Gebeng – kira-kira 30 km dari bandar Kuantan, telah sekali lagi mendapat perhatian pihak pembangkang dengan serangan bertubui-tubi dilancarkan terhadapnya oleh kepimpinan parti berkenaan serta sebuah portal berita yang terlalu taksub dengannya.

Sungguhpun telah beberapa kali diperjelaskan termasuk dalam dewan yang mulia, Dewan Undangan Negeri Pahang namun, serangan terus dilakukan yang tentunya matlamatnya tidak lain untuk menampakkan kepimpinan negara dan negeri yang ditunjangi Barisan Nasional (BN) adalah buruk.

Lanjutan itu, artikel sepertimana disiarkan ini ialah usaha untuk memperjelaskan lagi mengenainya agar rakyat tidak terpengaruh dengan dakwaan-dakwaan yang telah dilemparkan terhadap satu lagi projek pembangunan perindustrian yang mampu menjana kemajuan yang berkesan demi kemakmuran negeri dan negara, serta kesejahteraan rakyatnya.    


Oleh Yope Key-dare

Alamaya, INDERA MAHKOTA 5, KUANTAN – Cepat sangat melatah! Inilah yang boleh dikatakan tentang sikap pemimpin parti pembangkang serta portal berita pro mereka yang secara sembrono menyerang projek Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China (MCKIP) di Gebeng dekat Kuantan ini.

Yang paling sensasi dalam latahan itu ialah kononnya, akan wujud koloni warganegara/pekerja China di dalamnya dengan hanya bersandarkan kepada terbinanya tembok konkrit setinggi 2.4 meter (8 kaki) yang didakwa telah melingkari serta menutup keseluruhan MCKIP itu.

Dengan adanya kawasan tertutup berkenaan lalu menghalang kemasukan mudah rakyat negara ini ke dalam MCKIP kononnya, koloni tersebut bukan sahaja mengguna-pakai undang-undang sendiri malah turut menggunakan matawang negara China – Yuan.

Sedangkan pertama-tamanya, tembok konkrit itu bukanlah meliputi keseluruhan taman perindustrian seluas 1,214 hektar (3,000 ekar) itu, dan pula, bukan seluruhnya terletak dalam satu kawasan sahaja tetapi terpisah-pisah meliputi;

MCKIP 1 seluas 485.6 hektar (1,200 ekar) dan MCKIP 2 seluas 404.7 hektar (1,000 ekar) – kedua-duanya terletak di sebelah utara Gebeng, dan MCKIP 3 seluas 323.7 hektar (800 ekar) terletak di sebelah timur bersebelahan dengan Pelabuhan Kuantan yang menghadap Laut China Selatan.    

SEBAHAGIAN DARIPADA 710 EKAR KAWASAN KILANG MILIK ALLIANCE STEEL YANG DALAM TAHAP PEMBINAAN... Tembok yang dipertikaikan ialah yang berwarna putih di sebelah kiri foto ini.  


KILANG KELULI YANG PERTAMA, TERBESAR DALAM MCKIP

Tembok konkrit berkenaan sebenarnya, hanya melingkari kawasan 287.3 hektar (710 ekar) milik kilang keluli bernilai pelaburan RM6,000 juta – Alliance Steel (M) Sdn Bhd. Dan kilang yang sedang pesat dibina ini ialah yang pertama dan pelaburan terbesar dalam MCKIP 1.

Rasional di sebalik pembinaan tembok konkrit ini ialah sebagai memenuhi tuntutan polisi syarikat tentang Kesihatan, Keselamatan dan Alam Sekitar (HSE) demi terutamanya, memelihara keselamatan tapak kilang miliknya.

Apabila kilang ini siap, keluar-masuk ke dalam kawasannya akan menurut prosedur keluar-masuk sepertimana kilang-kilang lain di negara ini yang tertakluk kepada proses keselamatan sedia-ada.

Untuk rekod, Alliance Steel (M) Sdn Bhd yang apabila siap kilangnya dijangka mengeluarkan kira-kira 3.5 juta tan keluli setahun; ialah syarikat usahasama antara dua entiti China - Guangxi Beibu Gulf Port International Group Co Ltd dan Guangxi ShengLong Metallurgical Co Ltd.  

MCKIP pula dilancarkan secara rasmi pada 5 Februari 2013, dimiliki 49 peratus oleh Guangxi Beibu Gulf International Port Group Co Ltd – syarikat China yang dipunyai Kerajaan Guangxi Autonomous Region.

PEKERJA PEMBINAAN CHINA AKAN PULANG SELEPAS KILANG SIAP

Sebanyak 51 peratus lagi dimiliki oleh Malaysia-China Kuantan Pahang Holding Sdn Bhd yang dikongsi bersama oleh Kerajaan Negeri Pahang, IJM Land Bhd dan Sime Darby Property Bhd.
    
Selain kewujudan tembok, yang mungkin menyebabkan pembangkang melatah ialah kerana kononnya, terdapat kira-kira 3,000 pekerja China di sana ketika ini – di tapak kilang Alliance Steel berkenaan.

Sebenarnya, mereka ini merupakan pekerja-pekerja pembinaan yang dibawa dari negara China tetapi bukanlah kesemuanya. Terdapat juga pekerja-pekerja tempatan dalam kalangan pekerja-pekerja ini.

Dan pekerja-pekerja China ini mempunyai Permit Kelulusan (Approval Permit) yang dibenarkan berada di tapak hanya dalam tempoh pembinaan dan kembali ke China selepas kilang itu siap pada akhir tahun depan (2018).

Apabila tempoh operasi kilang bermula nanti, telahpun ditetapkan betapa kilang ini akan mempunyai bilangan pekerja berdasarkan nisbah 70:30 iaitu 70 peratus pekerja dalam kalangan rakyat tempatan manakala 30 peratus sahaja lagi dari China.

PEKERJA KILANG CHINA PULA SAH BEKERJA UNTUK 3-5 TAHUN SAHAJA

Itupun, 30 peratus pekerja China ini hanya diberikan kontrak sementara yang sah untuk tempoh antara tiga (3) dan lima (5) tahun, yang selepas itu tempat mereka akan diisi oleh pekerja tempatan sepenuhnya.

Hanya beberapa minggu lepas, pengurusan kilang telah menganjurkan ‘job fairs’ secara besar-besaran, meliputi tiga (3) negeri di pantai timur ini – Pahang, Terengganu dan Kelantan bagi mendapatkan tenaga kerja tempatan dengan sasaran sehingga 4,000 orang.

Pembangkang juga membangkitkan soal kononnya bukan sahaja kesemua bahan-bahan pembinaan diimport dari China, malah, kontraktor-kontraktor tempatan langsung tidak dilibatkan dalam tempoh pembinaan kilang tersebut.

Hakikatnya ialah, Alliance Steel bukan sahaja membeli atau menyewa bahan-bahan pembinaan bernilai kira-kira RM200 juta daripada syarikat-syarikat tempatan malah, kontrak bernilai kira-kira RM530 juta lagi diberikan kepada mereka khususnya kontraktor-kontraktor pembinaan.

Soal kewujudan kedai-kedai dan restoran-restoran dalam kawasan tapak kilang yang sama juga menjadi pertikaian pembangkang, kononnya langsung tidak memberi peluang niaga kepada rakyat tempatan.

PASARAYA MILIK TEMPATAN DALAM KAWASAN KILANG ALLIANCE STEEL

Sedangkan hakikatnya ialah, terdapat sebuah pesaraya milik tempatan – Tunas Manja Group (TMG) di dalamnya yang mana kedai-kedai dan restoran-restoran di situ memperolehi barangan keperluan harian mereka.

Dengan perbelanjaan bernilai kira-kira RM4 juta sebulan bagi mendapatkan keperluan dari pasaraya ini sahaja bermakna, nilai sebanyak itulah juga yang mengalir kepada pembekal-pembekal kepada pasaraya ini, yang dalam kalangan rakyat tempatan juga.

Dan sebagai pasaraya tempatan, matawang yang digunakan sudah tentunyalah Ringgit Malaysia, sekaligus menafikan dakwaan kononnya matawang Yuan merupakan ‘medium of exchange’ di sana.

Alliance Steel juga sentiasa bertegas dengan konsep ‘Di Malaysia, Untuk Malaysia’nya yang kerana itulah juga, selain menitik-beratkan kepentingan tempatan dalam urusan-urusan seperti pengambilan pekerja, pembekalan barangan keperluan dan bahan-bahan pembinaan; ia juga aktif dalam bidang Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR).

Tidak hairanlah tatkala sebahagian daripada daerah di negeri ini terkesan buruk akibat bencana banjir pada Disember 2014, syarikat ini mengambil insiatif untuk menyumbang sehingga RM500,000 untuk membantu rakyat yang terlibat dengannya.

SUDAH DIPERJELAS, DAN PERLU DIPERJELASKAN LAGI

Sungguhpun perkara-perkara ini telah disebut dan diperjelaskan termasuklah pada persidangan Dewan Undangan Negeri dengan Menteri Besar, Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob tampil dengan fakta-fakta yang kukuh.

Namun – demi ‘political mileage’, ia masih dipertikai dan kita percaya, akan terus dipertikaikan oleh pihak pembangkang termasuk oleh portal berita yang pro mereka, sehinggalah pada pilihanraya umum kelak. – Khabar