Wednesday 12 December 2018

Ahli-ahli Majlis PBT perlu ‘engage’, dekati rakyat, kata Menteri Besar

GAYA BERSAHAJA... Dato' Sri Wan Rosdy dalam menyampaikan ucapan luar teks 12-minitnya.


HOTEL COPTHORNE, CAMERON HIGHLANDS – Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail mengingatkan Ahli-ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri ini supaya sentiasa mendekati rakyat setempat.

“Perkhidmatan sebagai Ahli Majlis hendaklah sentiasa ‘engage’ dan dekat dengan rakyat, dan tanggungjawab yang dipikul ini bukanlah sesuatu yang mudah,” katanya.

“Sesungguhnya, kesejahteraan dan keselesaan rakyat perlu dilihat sebagai outcome yang dinilai melalui Indeks Prestasi Utama (KPI) Ahli Majlis, disamping membolehkan rakyat mengerti justifikasi seseorang Ahli Majlis itu dipilih.

“Justeru, Ahli Majlis perlulah komited dan memberikan cerminan yang baik kepada rakyat. Jadikan integriti dengan menggabungkan nilai peribadi yang tinggi sebagai teras utama dalam menyampaikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian dalam ucapan 12-minit pada Majlis Angkat Sumpah Ahli Majlis PBT Negeri – tiga (3) Majlis Perbandaran dan lapan (8) Majlis Daerah di Pahang petang Rabu, 12 Disember di sini.

SATU UNTUK ALBUM KITA BERSAMA... 


TEMPOH PERKHIDMATAN 2 TAHUN

Seramai 232 Ahli Majlis yang dalam kalangan penjawat awam, ahli politik, profesional dan wakil dari badan bukan kerajaan (NGO), telah mengangkat sumpah serta menerima watikah pelantikan masing-masing.

Tempoh perkhidmatan mereka ialah selama dua (2) tahun bermula 1 November lepas (2018) sehingga 31 Oktober 2020.

Menurut Dato’ Sri Wan Rosdy lagi, jangkaan rakyat terhadap perkhidmatan oleh Ahli Majlis semakin tinggi yang pastinya cabaran yang dihadapi juga semakin bertambah.

Sungguhpun begitu katanya, ia bukanlah sepatutnya menjadi penghalang untuk para Ahli Majlis terus berusaha untuk melakar kejayaan yang diharapkan.

“Bersama-samalah kita memperbaharui azam dan tekad supaya tugas dan tanggungjawab yang dilaksanakan tidak menyeleweng daripada prinsip memakmurkan negeri, mensejahterakan rakyat,” katanya.

CENDERAMATA BUAT AHLI MAJLIS... Selain Dato' Sri Wan Rosdy dan Dato' Sri Muhammad Safian (kiri sekali); yang turut kelihatan ialah Encik Abd Rahim (tiga dari kanan).


BERTERASKAN DASAR TEKNOLOGI HIJAU NEGARA

Kerajaan Negeri pula katanya, telahpun menggariskan beberapa fokus rasional yang perlu diberi perhatian dalam usaha untuk mencapai aspirasi memajukan negeri dan Negara.

Antara yang utama ialah untuk mewujudkan persekitaran yang selamat dan berkualiti, membangunkan gunatanah tanah yang lebih inovatif dan efisyen, mengadakan kepelbagaian jenis perumahan mampu milik, dan menggalakkan pembangunan setempat berteraskan Dasar Teknologi Hijau Negara (DTHN).

“Saya mengharapkan agar Ahli Majlis yang dilantik di kesemua 11 PBT di negeri ini, dapat menyokong agenda pembangunan negeri demi mencapai aspirasi Wawasan 2020,” katanya lagi.

Selain Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Muhammad Safian Ismail; Pengerusi, Jawatyankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri, Encik Abd Rahim Muda;

Beberapa lagi Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri; Ahli Parlimen Cameron Highlands, Dato’ C.Sivarraajh; dan, Pegawai Daerah Cameron Highlands, Dato’ Ishak Md Napis. 


PARA AHLI MAJLIS SEKALIAN... – Khabar