Friday 14 December 2018

Saksama kepada semua;

Majoriti yang ketinggalan dibantu, yang minoriti tidak diabaikan 

MAJLIS BERSEMPENA 33-TAHUN GABUNGAN PERSATUAN CINA (HUAZONG) PAHANG... Dan Menteri Besar Dato' Sri Wan Rosdy ialah tetamu utama mereka. Yang turut kelihatan ialah Presiden gabungan tersebut, Tan Sri Pheng Yin Huah (sebelah kiri Dato' Sri Wan Rosdy). 


Alamaya, INDERA MAHKOTA 5, KUANTAN – Saksama kepada semua; majoriti yang ketinggalan dibantu, yang minoriti tidak diabaikan. Inilah yang menjadi pegangan Kerajaan Negeri dalam usaha berterusan demi memakmurkan negeri dan mensejahterakan rakyatnya.

Sepertimana kita sedia maklum, majoriti kaum di Pahang ialah Melayu/Bumiputera seramai 1.126 juta orang atau kira-kira 75 peratus daripada jumlah penduduk negeri ini yang seramai 1.5 juta orang.

(Peratusan ini [75 peratus] jika hendak diturutkan, ialah lebih tinggi daripada peratusan di peringkat nasional kira-kira 69 peratus daripada 30 juta penduduk negara).

Kaum-kaum yang lain ialah kira-kira 230,800 orang atau 15.4 peratus Cina; kira-kira 63,065 orang atau 4.2 peratus India; kira-kira 6,159 orang atau 0.4 peratus lain-lain; dan, kira-kira 74,608 orang atau lima (5) peratus bukan warganegara.

Sungguhpun Melayu/Bumiputera ialah yang majoriti, tetapi daripada segi pendapatan atau kekayaan, mereka masih ketinggalan terutamanya daripada segi ekonomi khususnya pendapatan.

SESI FOTO BERKUMPULAN... 


PENDAPATAN ISI RUMAH PURATA MELAYU/BUMIPUTERA MASIH RENDAH

Misalnya, berdasarkan pendapatan isi rumah purata menurut kaum untuk seluruh Pahang sepertimana bancian tahun 2016 yang dilakukan oleh Jabatan Perangkaan Negera menunjukkan, Melayu/Bumiputera masih rendah berbanding Cina.

Pendapatan isi rumah purata Melayu/Bumiputera ialah RM 5,019 berbanding Cina, RM 5,101. Bagi India pula ialah RM 4,610.

Angka-angka terbaharu ini bagaimanapun menunjukkan lonjakan yang agak ketara juga berbanding bancian pada dua (2) tahun sebelumnya pada tahun 2014 dengan pendapatan isi rumah purata ketika itu ialah –

Melayu/Bumiputera sebanyak RM 4,334; Cina sebanyak RM 4,510; dan India sebanyak RM3,806. Berbanding tahun 2016, lonjakan ini ialah masing-masing 15.8 peratus bagi Melayu/Bumiputera; 13.15 peratus bagi Cina; dan, 21.1 peratus bagi India.

Lonjakan-lonjakan yang lebih besar yang berlaku kepada Melayu/Bumiputera dan India, tentulah ekoran langkah-langkah ‘affirmative’ (‘affirmative actions’) yang telah Kerajaan lakukan selama ini.

KEMESRAANNYA... 


LONJAKAN BUKAN SEBAB ‘ROB PETER TO PAY PAUL’

Dan lonjakan-lonjakan ini berlaku dimungkinkan oleh ‘kek ekonomi’ yang lebih besar yang dengan itu tidak perlu apa-apa tindakan negatif seumpama ‘rob Peter to pay Paul’ atau amalan Robin Hood dengan merompak yang kaya untuk membantu yang miskin.

Dalam pada itupun, Kerajaan Negeri tidak sekali-kali menidakkan kepentingan kaum Cina yang mana, sungguhpun mereka penyumbang terbesar kepada ekonomi Negara dan negeri tetapi ada dalam kalangan mereka juga memerlukan bantuan.

Oleh sebab itulah kata Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail dalam ucapannya pada malam ini, Jumaat, 14 Disember sempena Makan Malam Ulang Tahun ke-33 Gabungan Persatuan Cina (Huazong) Pahang di sebuah hotel di bandar Kuantan;

Telah menyatakan betapa hanya dua (2) hari sebelumnya pada pagi Rabu, 12 Disember lepas, bertempat di pekarangan Pejabat Daerah dan Tanah Cameron Highlands di Tanah Rata;

Seramai 51 pekebun sayur dan bunga serta pemilik kolam takungan air, termasuk 46 pekebun kecil Cina telah beliau sampaikan permit penggunaan dalam kawasan Hutan Simpan Kekal daerah tersebut, yang dikeluarkan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP).

TETAP LAYANI SUNGGUHPUN DI MEJA MAKAN... Tentu ada sesuatu yang penting yang dibawa ke pengetahuan Menteri Besar dan beliau kelihatan masih sudi melayani.  


PENGELUARAN PERMIT AMBIL MASA UNTUK LAKSANAKAN

Apakah makna ini? Jika ia tidak lain menunjukkan bahawa Kerajaan Negeri amat rasional dan bukanlah bersikap perkauman seperti yang didakwa oleh segelintir pihak yang tidak bertanggung jawab.

Sebelum majlis penyampaian ini, sudah tentu satu jangka masa tertentu diperlukan bagi melakukan segala persediaan yang diperlukan untuk menjadikan majlis pagi Rabu itu satu realiti.

Maka, tak timbul soal kononnya ia hanya diadakan sekarang memandangkan kemungkinan berlakunya Pilihanraya Kecil (PRK) Parlimen kawasan Cameron Highlands ekoran keputusan Mahkmah Pilihanraya membatalkan kemenangan Ahli Parlimen Dato’ C.Sivarraajh.    

Dengan permit atau kebenaran yang diberikan itu memberi peluang kepada mereka - pekebun kecil, untuk meneruskan aktiviti pertanian berkenaan sebagai sumber pendapatan.

Kebanyakkan pekebun kecil ini pula – secara purata sudah lebih 10 tahun (ada yang lebih 30 tahun juga) mengusahakan projek pertanian dalam kawasan HSK Cameron Highlands secara haram.

DALAM UCAPANNYA... 


URUSKAN KEBUN DENGAN SISTEMATIK

Dengan permit yang diberikan ini akan memberi peluang kepada pekebun kecil untuk meneruskan aktiviti pertanian tanpa rasa bimbang dan takut dikenakan tindakan undang-undang pihak berkuasa.

Sehubungan itu, pekebun-pekebun kecil ini dinasihatkan agar mereka mengusahakan projek pertanian dalam hutan simpan tersebut dengan sentiasa menjaga dan memelihara alam sekitar.

Mereka juga diminta supaya menguruskan kebun masing-masing dengan lebih sistematik, selain dapat mematuhi setiap peraturan pihak berkuasa termasuk dalam penggunaan racun perosak yang dibenarkan.

Bagi Kerajaan Negeri, pemberian permit penggunaan kawasan hutan simpan kekal diharap dapat membendung aktiviti penerokaan tanah untuk pertanian di daerah Cameron Highlands;

Selain dapat mengurangkan ketirisan hasil pertanian yang diusahakan dalam hutan simpan kekal khususnya yang di bawah kategori pengeluaran (bukan perlindungan, yang langsung tidak boleh diterokai).

Dengan amalan dan tindakan yang saksama inilah diharapkan, Kerajaan Negeri pimpinan Barisan Nasional (BN) akan terus kekal mendapat kepercayaan rakyat sepertimana kepercayaan terus-menerus diperolehinya selama lebih enam (6) dekad kini. – Khabar