Sunday 4 February 2018

Pembangkang hanya bangkitkan isu mengikut musim – Dato’ Sri Mohd Najib

“Sedangkan agensi atom sedunia telah mengatakan bahawa kilang Lynas selamat dan tidak mengganggu keselamatan orang ramai. Tapi hari ini selepas lima (5) tahun, lepas pada PRU lalu sebenarnya; mereka senyap,” katanya.

SEMPENA PESTA MENJALA IKAN... Dato' Sri Mohd Najib sedang menurunkan tanda tangannya pada 'plaque' sempena Pesta Menjalab Ikan sambil Dato' Sri DiRaja Adnan, serta, Dato' Sri Ismail Sabri dan Dato' Sri Mohd Sharkar memerhatikan. 


ESTET IKAN PAYA KAMPUNG CHEMPAKA, LANCHANG, TEMERLOH – Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Abdul Razak mengingatkan rakyat supaya tidak termakan hasutan pembangkang yang hanya menimbulkan sesuatu isu mengikut musim terutama menjelang pilihan raya.

Menurutnya, beliau masih ingat betapa pada Pilihanraya Umum (PRU) lalu, puak pembangkang telah memainkan isu kilang memproses tanah jarang – Lynas Advanced Manufacturing Plant (LAMP) di Kawasan Perindustrian Gebeng, Kuantan.

“Sedangkan agensi atom sedunia telah mengatakan bahawa kilang Lynas selamat dan tidak mengganggu keselamatan orang ramai. Tapi hari ini selepas lima (5) tahun, lepas pada PRU lalu sebenarnya; mereka senyap.

“Kerana apa mereka senyap? Kerana isu dibangkitkan itu digunakan untuk tipu kita (rakyat) waktu pilihan raya sahaja,” kata Dato’ Sri Mohd Najib dalam ucapan pada Majlis Ramah Mesra dan Jamuan Rakyat Bersama Perdana Menteri pagi Ahad, 4 Februari di sini.

Sehubungan itu, beliau meminta rakyat tidak lagi mudah untuk mempercayai atau ‘menelan begitu sahaja’ sekiranya masih mendengar cerita puak pembangkang yang kebanyakannya karut belaka.

HENDAK MELEPASKAN ITIK... 


AMALKAN ‘TABAYYUN’, SELIDIKI KESAHAIHAN MAKLUMAT

“Kita mesti periksa kerana dalam Islam ada konsep ‘tabayyun’ atau menyelidik kesahihan maklumat bagi mengikis sebarang fitnah. Allah SWT meminta kita memeriksa berita diterima, kalau tidak kita boleh berlaku tidak adil.

“Jadi, kita jangan mudah percaya sangat pada pembangkang kerana mereka kalau buat sesuatu bertujuan menghasut kita,” katanya lagi.

Selain Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob; yang turut hadir ialah Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob; dan, Ahli Exco Kerajaan Negeri yang wakil rakyat setempat, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsuddin (BN - Lanchang). 

MENCUIT BAYI COMEL... Dato' Sri DiRaja Adnan sedang mencuit bayi yang turut dibawa ibunya ke sini bagi sama-sama memeriahkan Pesta Menjala Ikan di sini. 

MENERUSKAN TRADISI... Kelihatan orangramai berada dalam paya untuk sama-sama menyertai acara tradisi di sini. – Utusan/Khabar