Tuesday 20 February 2018

Pahang sumbang RM100,000 ke Tabung Amanah Warisan Polis (TAWP)


“Dan usaha yang dibuat oleh PDRM dengan (penganjuran) Kembara Bermotosikal ini adalah satu cara untuk kita sikit-sebanyak boleh mendapat kewangan untuk mengisi Tabung Amanah Warisan Polis ini,” kata Menteri Besar.

SIMBOLIK... Secara simbolik, Dato' Sri DiRaja Adnan memasukkan sumbangan ke dalam TAWP yang dipegang oleh Dato' Sri Rosli sambil yang lain termasuk Dato' Sri Zulkifli (kiri sekali) memerhatikan. 


PERKARANGAN, KEDIAMAN RASMI MB, JALAN TELUK SISEK, KUANTAN – Kerajaan Negeri serta Badan Bukan Kerajaan (NGO) tempatan hari ini menjanjikan sumbangan RM100,000 ke Tabung Amanah Warisan Polis (TAWP).

Ini diumumkan oleh Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob dalam ucapan luar teks 18-minitnya pada Majlis Pelepasan Program Kembara Bermotosikal Rayuan TAWP sempena Hari Polis ke-211 Tahun 2018 pagi Selasa, 20 Februari di sini.

Pada persidangan media kemudian, beliau mengulas lanjut tentang pengumuman tersebut yang menurutnya, merupakan sumbangan Kerajaan Negeri dan NGO berkenaan demi membantu yang memerlukan dalam kalangan pesara dan bekas polis sekelian.

Sebelum inipun katanya, Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Abdul Razak dan Timbalan Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Zahid Hamidi telahpun meluluskan peruntukan tertentu kepada TAWP.

Dan jumlah mereka dalam kalangan pesara dan bekas polis yang dinaungi oleh TAWP ialah kira-kira 140,000 yang jika dibantu RM1,000 seorang akan menyebabkan implikasi kewangan kira-kira RM140 juta.

MELEPASKAN... Setelah melalui destinasi negeri Pahang yang termasuk Cameron Highlands, Lipis dan Kuantan ini; destinasi seterusnya bagi Program Kembara Bermotosila Rayuan TAWP ialah Seremban, Negeri Sembilan yang bermula dengan pelepasan oleh Dato' Sri DiRaja Adnan ini. 


ALU-ALUKAN PROGRAM KEMBARA BERMOTOSIKAL

“… mungkin kita tidak berupaya berbuat sedemikian. Oleh sebab itu, kita mungkin boleh bantu melalui TAWP ini pada kes-kes yang memerlukan.

“Dan usaha yang dibuat oleh PDRM dengan (penganjuran) Kembara Bermotosikal ini adalah satu cara untuk kita sikit-sebanyak boleh mendapat kewangan untuk mengisi Tabung Amanah Warisan Polis ini,” katanya.

Sehubungan itu katanya lagi, Kerajaan Negeri mengalu-alukan langkah PDRM menerusi Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Dato’ Sri Zulkifli Abdullah, dalam menganjurkan Program Kembara Bermotosikal untuk mengisi TAWP.

Pahang ialah destinasi negeri ketiga selepas Selangor dan Perak dalam pusingan pertama Program Kembara Bermotosikal ini. Destinasi negeri terakhir untuk pusingan ini ialah Negeri Sembilan.   

Selain Dato’ Sri Zulkifli, yang turut hadir pada Majlis Pelepasan Kembara Bermotosikal yang disertai kira-kira 70 anggota polis pelbagai pangkat ini ialah Ketua Polis Pahang, Dato’ Sri Rosli Ab Rahman.

ACAH JER... 

TANDA BAGUS UNTUK PROGRAM PAGI SELASA INI... 


TAWP SUDAH DITUBUHKAN SEJAK 1992

Menurut rekod, TAWP ditubuhkan sejak 1992, bermatlamat memelihara hal ehwal kebajikan pesara dan bekas polis yang termasuklah balu, duda dan anak dalam tanggungan.

Menerusi kutipan dan sumbangan yang TAWP perolehi, ia menganjurkan pelbagai bentuk bantuan kepada mereka yang berkenaan antaranya ialah;

Khairat kematian – sebanyak RM1,000 bagi kematian pesara dan bekas polis; RM500 bagi kematian pasangan pesara dan bekas polis; dan, RM250 bagi kematian anak dalam tanggungan.

Perubatan – Jumlah maksimum bantuan perubatan ialah RM300 manakala bagi keperluan kaki dan lain-lain alat palsu tidak melebihi RM5,000; dan Pergerakan – Bantuan kerusi, tongkat, dan ‘walking frame’.

Pendidikan – Bantuan pendidikan kepada anak pesara dan bekas polis dalam tanggungan pada kadar RM500 bagi pendidikan tinggi; RM300 bagi pendidikan menengah; dan, RM150 bagi pendidikan rendah; serta, Bencana alam – Bantuan maksimum RM5,000. 

MANIS-MERDU SENYUMAN, SEORANG MENTERI BESAR YANG BAIK BUDI... Tentu ada yang melucukan yang dikatakannya sehingga hadirin dalam kalangan peserta Program Kembara Bermotosikal, ketawa-riang. – Khabar