Monday 28 May 2018

Terima kasih dari lubuk hati yang suci, kata Menteri Besar kepada penduduk Jelai.


“Terima kasih ini ialah dari lubuk hati patik yang suci. Semoga dengan ini, rakyat-jelata Kebawah Duli Tuanku akan dapat terus menikmati kehidupan aman-sejahtera, di bawah naungan pemerintahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku, insya-Allah,” katanya.

DALAM PERSEMBAHAN UCAPANNYA... Ini merupakan kali ketiga beliau berucap pada majlis awam yang melibatkan keberangkatan KDYMM Pemangku Raja, sejak pelantikan sebagai Menteri Besar Ke-15 pada petang 15 Mei lepas. 

Kali pertamanya ialah bersempena Majlis Berbuka Puasa dan Perasmian Masjid Al Huda, Kampung Raja, Cameron Highlands pada petang Rabu, 23 Mei; manakala kedua pada Majlis Berbuka Puasa di perkarangan Masjid Kampung Chendor, Beserah, Kuantan pada petang Khamis, 24 Mei. 


PERKARANGAN, MASJID FELDA SUNGAI KOYAN, SUNGAI KOYAN, LIPIS – Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail menitipkan ‘terima kasih dari lubuk hati yang suci’ buat penduduk Jelai atas sokongan mereka kepadanya selaku juga wakil rakyat mereka di Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan ini.

“Mengambil kesempatan ini, sukacita patik ucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada rakyat-jelata Kebawah Duli Tuanku di sini, yang terus memberkan sokongan padu kepada patik sebagai wakil rakyat mereka.

“Yang dengan sokongan padu inilah juga, turut membantu meletakkan Ahli Parlimen Cameron Highlands yang mana DUN Jelai ialah di dalam kawasan parlimennya; berada pada kedudukannya sekarang.

“Terima kasih ini ialah dari lubuk hati patik yang suci. Semoga dengan ini, rakyat-jelata Kebawah Duli Tuanku akan dapat terus menikmati kehidupan aman-sejahtera, di bawah naungan pemerintahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku, insya-Allah,” katanya.

Dato’ Sri Wan Rosdy berkata demikian dalam persembahan ucapan pada Majlis Berbuka Puasa dan Perasmian Masjid Felda Sungai Koyan ini, yang disempurnakan oleh KDYMM Pemangku Raja petang Isnin, 28 Mei di sini.

KEMESRAAN YANG SEMAKIN TERJALIN... Kelihatan KDYMM Pemangku Raja sedang bertitah sesuatu yang mendapat perhatian penuh Dato' Sri Wan Rosdy.  


KAGUM DENGAN ISTIQAMAH TUANKU DALAM SIRI KEBERANGKATAN

Sebelum itu, beliau menyatakan kekagumannya dengan siri keberangkatan KDYMM Pemangku Raja ke daerah-daerah dalam bulan Ramadan Al-Mubarak ini, yang dilaksanakan secara ‘consistent’ atau istiqamah dan pula Baginda kelihatan selesa dan gembira melakukannya.

Petang ini pula menurutnya, giliran daerah Lipis pula sebagai tuanrumah dan masjid dalam Rancangan Tanah Felda Sungai Koyan ini menjadi pilihan, dan ia merupakan sebahagian daripada kawasan yang terletak di bawah DUN Jelai yang beliau wakili.

Bermula sejak memenangi Pilihanraya Umum (PRU) ke-11 pada tahun 2004 katanya, beliau terus mewakili kawasan ini sehinggalah sekarang, selepas PRU ke-14 yang hari mengundinya pada 9 Mei lalu.

“Daripada segi tempoh penggal, patik sudah tiga (3) penggal mewakilinya yang kini, memasuki penggal yang keempatlah pula,” katanya lagi.

Selaku wakil rakyat di sini beliau mengakui betapa, banyak lagi yang perlu beliau lakukan bagi meningkatkan pembangunan kawasan ini, demi kesejahteraan rakyat-jelatanya.

MELAYANI TETAMU YANG TURUT HADIR PETANG ISNIN ATAU RAMADAN KE-12... 


AKAN BERUSAHA LEBIH KERAS

“Dengan segala keupayaan dan juga kekangan yang ada, insya-Allah, patik akan berusaha lebih keras lagi demi menjayakan peranan dan tanggungjawab patik selaku wakil rakyatnya.

“Pun begitu, patik turut berharap rakyat-jelata sekelian dapat memahami peranan dan tanggungjawab patik selaku Menteri Besar, yang telah mendapat perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku menyempurnakan pelantikannya.

“Pahang pula ialah negeri terbesar di Semenanjung Malaysia. Berkeluasan kira-kira 3.6 juta hektar, luas Pahang ialah sebesar gabungan keluasan tiga negeri – Kelantan (1.4 juta hektar), Terengganu (1.2 juta hektar) dan Selangor (796,000 hektar).

“Maka, dengan sokongan semualah patik berharap, patik dapat melakukan yang terbaik bukan sahaja selaku wakil rakyat di sini, tetapi juga selaku memanda hamba tua, Menteri Besar Pahang, insya-Allah,” kata Dato’ Sri Wan Rosdy.

Mengenai masjid yang dirasmikan petang ini katanya, asalnya bangunan masjid dalam kawasan seluas dua (2) ekar ini, terletak di sebelah depan tetapi dialihkan tapaknya ke bahagian belakang seperti kedudukan yang terbina sekarang. 

MEMBERI KEPADA YANG MEMERLUKAN... Lagi foto KDYMM Pemangku Raja menyampaikan sumbangan kepada mereka yang memerlukan. 


BINA MASJID DENGAN KOS RM4.22 JUTA

Kos pembinaan ialah kira-kira RM4.22 juta, yang diperolehi daripada peruntukan Kerajaan Persekutuan khususnya dari Jabatan Perdana Menteri (JPM). Berkeluasan bangunan kira-kira 1,095 meter persegi katanya, masjid ini boleh memuatkan kira-kira 1,200 jemaah pada satu-satu masa.

Menurutnya, pembinaan bermula pada 18 jun 2012 dan siap hanya kira-kira empat (4) tahun kemudian pada 12 Mei 2016, dan mula digunakan kira-kira dua (2) minggu kemudian pada 26 Mei 2016.

“Tidak dinafikan, tempoh empat (4) tahun memanglah terlalu lama termasuklah tempoh terbengkalai selama kira-kira dua (2) tahun ekoran kegagalan kontraktor asal untuk melaksanakan kerjanya.

“Hanya dengan terlantiknya kontraktor kedua yang disifatkan sebagai ‘kontraktor penyelamat’, maka pembinaan diteruskan seterusnya dapat disiap dan digunakan,” katanya lagi.

Selain bagi kegunaan penduduk persekitaran katanya, masjid ini yang juga terletak di tempat strategik turut dikunjungi oleh para musafir yang dalam perjalanan ke Cameron Highlands, yang simpang jalannya ke sana terletak hanya beberapa ratus meter dari sini. – Khabar