Wednesday 27 November 2019

Pahang lulus 127.893 hektar Hutan Simpanan Kekal (HSK) Sungai Yu untuk lindungi Harimau Malaya dan hidupan liar

“Oleh itu tepatlah keputusan Kerajaan Negeri ini yang dengannya juga, membuktikan komitmen tinggi Kerajaan Negeri bagi menjayakan Pelan Induk CFS yang dihasilkan menurut keperluan harimau belang yang memerlukan landskap hutan yang luas dan bersambung, terutamanya di Pahang,” kata Menteri Besar

HARIMAU MALAYA... Demi memelihara kehidupannya maka beberapa lagi keputusan positif diambil oleh Kerajaan Negeri yang jelas bukan setakat 'mesra-rakyat' malah juga 'mesra-hidupan liar'.  


kamarSUA, WISMA SRI PAHANG, KUANTAN – Kerajaan Negeri meluluskan kawasan seluas kira-kira 127.893 hektar di Sungai Yu, Mukim Batu Yon, Lipis sebagai Hutan Simpanan Kekal (HSK) demi melindungi hidupan liar termasuk Harimau Malaya.

Dengan ini, ia akan dapat menghubungkannya dengan HSK-HSK sedia ada iaitu HSK Ulu Jelai dan HSK Tanum, seterusnya membentuk apa yang dikenali sebagai Koridor Ekologi di bawah Pelan Induk Ekologi (CFS 1) yang terlibat secara langsung dengan rangkaian ‘Central Forest Spine’ (CFS).

Keputusan ‘mesra-alam’ dan ‘mesra-hidupan liar’ ini dibuat pada mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) pagi Rabu, 27 November di Wisma Sri Pahang di sini, kata Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail dalam kenyataan media yang dikeluarkan petang ini.

Selain itu kata Dato’ Sri Wan Rosdy, Kerajaan Negeri juga bersetuju menutup Jalan Lama Sungai Yu sepanjang kira-kira 5.2 KM di situ, serta merizabkan Tanah Kerajaan seluas kira-kira 2.05 hektar sebagai Pusat Pembangunan, Penyelidikan dan Pusat Sehenti CFS Negeri Pahang.

Mengenai penutupan Jalan Lama Sungai Yu katanya, ia wajar kerana jalan ini sudah jarang digunakan penduduk kampung berkenaan berikutan siapnya ‘Central Spine Road’ di kawasan itu.

'SELAMAT DATANG KE 'ECO-VIADUCT' DI SUNGAI YU... 


KAWASAN ‘ECO-VIADUCT’  

Menurutnya, kalaupun Jalan Lama Sungai Yu ini digunakan, ia hanya sebagai jalan alternatif untuk penduduk kampung berkenaan mereka ke kebun-kebun masing-masing.

Penutupan itu juga katanya wajar, berdasarkan cadangan oleh Perikatan Pemuliharaan Harimau Malaysia (MYCAT) – sebuah gabungan badan-badan bukan Kerajaan melibatkan Malaysian Nature Society (MNS), Traffic South East Asia, Wildlife Conservation Society-Malaysia Programme dan World Wildlife Fund (WWF)-Malaysia.

MYCAT memaklumkan bahawa, terdapat laporan menyatakan pemburu haram, penceroboh tanah dan pembalak haram menggunakan Jalan Lama Sungai Yu untuk menjalankan aktiviti-aktiviti tidak sihat mereka.

Dengan penutupan Jalan Lama Sungai Yu dapat menghindarkan kemasukan secara mudah oleh pemburu haram, penceroboh hutan dan pembalak haram ke kawasan hutan bersebelahan ‘Eco-Viaduct’ – projek Kerajaan Persekutuan bernilai RM 60 juta di situ.

Menurut MYCAT kata Dato’ Sri Wan Rosdy lagi, memang terdapat bukti bahawa harimau belang – Harimau Malaya, serta hidupan liar lain menggunakan ‘Eco-Viaduct’ ini dalam tempoh antara Februari dan April lepas (2019) yang menjadi sasaran bagi pemburu-pemburu haram.

CONTOH 'ECO-VIADUCT'... Menjadikan kawasan rayauan hidupan liar di bahagian bawahnya, tidak terbatas atau terganggu. 


PENYELIDIKAN TENTANG HUTAN SERTA FLORA & FAUNA PAHANG

“Oleh itu tepatlah keputusan Kerajaan Negeri ini yang dengannya juga, membuktikan komitmen tinggi Kerajaan Negeri bagi menjayakan Pelan Induk CFS yang dihasilkan menurut keperluan harimau belang yang memerlukan landskap hutan yang luas dan bersambung, terutamanya di Pahang,” tegasnya.

Mengenai keputusan merizabkan Tanah Kerajaan seluas kira-kira 2.05 hektar sebagai Pusat Pembangunan, Penyelidikan dan Pusat Sehenti CFS Negeri Pahang katanya, ia melibatkan Taman Rekreasi Sungai Yu sedia ada.

Keputusan ini dibuat memandangkan kemudahan asas yang terdapat di Taman Rekreasi Sungai Yu katanya, telahpun uzur selain tahap kebersihannya kurang memuaskan akibat daripada peningkatan jumlah pelawat pada hujung minggu dan musim cuti sekolah.

Menurutnya, dengan menjadikan Taman Rekreasi ini sebagai Pusat Pembangunan, Penyelidikan dan Pusat Sehenti CFS Negeri Pahang akan dapat memberi peluang kepada para penyelidik – dalam dan luar negara, untuk membuat penyelidikan berkaitan hutan serta flora dan fauna negeri ini.

Menerusinya juga katanya, kerja-kerja menguruskan koridor ekologi CFS Negeri Pahang dapat dilakukan dengan lebih cekap termasuk aspek kewangan, menerusi fi penyelidikan yang bakal dikenakan. 


PADA MESYUARAT MINGGUAN MMK PAGI RABU, 27 NOVEMBER...  – Khabar