Wednesday 20 March 2019

Kerajaan Negeri perlu terus bertegas dalam penguatkuasaan ke atas pencerobohan tanah Cameron Highlands


“…demi memelihara alam sekitar daripada tercemar seterusnya bagi menjamin bekalan air terawat yang berterusan untuk keperluan kira-kira 70 peratus penduduk Cameron Highlands,” kata Menteri Besar

PETA KAWASAN OPERASI... 


NOTA EDITOR ;

Ekoran tindakan penguatkuasaan ke atas pencerobohan tanah di kawasan tadahan air Terla, Mukim Ulu Telom, Cameron Highlands – fasa pertama bermula 25 Februari lepas dan fasa kedua pula dijangka bermula 1 April dengan pekebun-pekebun terbabit diberi notis pengosongan tanah 30-hari;

Sebuah audio-video berdurasi 3 minit 47 saat telah diterbitkan – dipercayai oleh Persatuan Pekebun-pekebun Kecil India Cameron Highlands; dengan mengemukakan pandangan mereka berkaitan tanah-tanah pertanian di situ, dan berakhir dengan harapan agar Kerajaan Negeri mempertimbangkan semula keputusan berkenaan.

Berikut ialah artikel yang telah ditulis semula, berdasarkan maklum-balas yang diberi oleh Kerajaan Negeri sepertimana telah disiarkan dalam laman sesawang milik Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail – wanrosdy.com. Artikel ini juga dijangka disiarkan dalam ruangan Rencana akhbar Utusan Malaysia terbitan esok, Khamis, 21 Mac.    


Oleh AHYA ALIMUDDIN

Alamaya, INDERA MAHKOTA 5, KUANTAN“Kerajaan Negeri perlu bertegas dalam hal ini,” kata Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail mengenai tindakan penguatkuasaan ke atas pencerobohan tanah di Cameron Highlands khususnya di kawasan tadahan air Terla, sejak 25 Februari lepas.

“Maka permintaan para pekebun kecil berkenaan tidak dapat dilayani, demi memelihara alam sekitar daripada tercemar seterusnya bagi menjamin bekalan air terawat yang berterusan untuk keperluan kira-kira 70 peratus penduduk Cameron Highlands,” katanya lagi.

Kata-kata ini ialah sebagai reaksi kepada permintaan Persatuan Pekebun-pekebun Kecil India Cameron Highlands agar Kerajaan Negeri tidak meneruskan fasa kedua kerja-kerja penguatkuasaan berkenaan, yang dijangka bermula pada 1 April.

Pada fasa kedua ini, kerja-kerja penguatkuasaan dengan merobohkan struktur dan tanaman di tanah-tanah yang diceroboh oleh jabatan-jabatan dan agensi-agensi kerajaan yang berkenaan termasuk Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Cameron Highlands, akan meliputi lagi 50 kebun.

Pada fasa pertama sebelumnya yang bermula 25 Februari sehingga pertengahan bulan Mac, yang terbabit ialah 11 kebun. Keluasan keseluruhan 61 kebun ini ialah kira-kira 55 hektar.

COMBO-PIXES MENGENAI TINDAKAN PENGUATKUASAAN... Sepertimana yang telah dilaksanakan bermula 25 Februari lepas. 


RAMAI YANG PUJI TINDAKAN TEGAS INI

Ramai yang memuji tindakan tegas Kerajaan Negeri ini namun, para pekebun yang terbabit – menurut mereka sendiri yang melibatkan antara 250 dan 300 keluarga; sudah pasti membantah lalu memberikan hujah-hujah mereka.

Asalnya di atas tanah yang dicerobohi khususnya di sekitar Sungai Ichat yang dalam kawasan tadahan air Terla, Lesen Pendudukan Sementara (TOL) memang ada dikeluarkan, yang paling awal pada tahun 1993.

Pada satu ketika selepas itu, bilangan TOL menjadi 50, yang dikeluarkan atas nama ketua-ketua keluarga berkenaan sahaja.

Namun, dari masa ke semasa, bagi setiap TOL yang dikeluarkan itu, terdapat lebih daripada seorang yang mengusahakannya, yang turut meliputi anak-anak yang sudah dewasa, serta sanak-saudaranya.

Jika mereka mengikuti syarat-syarat ketat yang dikenakan pada setiap TOL, menurut seorang pegawai pertanian setempat, tentu tidak menjadi masalah terutamanya yang berkaitan dengan usaha agar alam sekitar tidak tercemar dengan kerja-kerja pertanian yang dijalankan.

ANTARA SYARAT TOL YANG TIDAK DIPATUHI

Antara syarat-syarat itu ialah ketidak-benaran mendirikan struktur-struktur kekal serta keperluan mengkhaskan kawasan melupuskan sampah-sarap di atas tapak-tapak berkenaan, serta kewajipan menggunakan racun-racun serangga perosak yang dibenarkan.

Sungguhpun ada yang akur tetapi, ada kalangan pekebun yang engkar, yang akhirnya menyebabkan Sungai Ichat – dengan zon penampan di kedua-dua belah tebingnya turut dicerobohi; telah tercemar teruk.

Sedangkan, ketika Loji Rawatan Air (LRA) Kuala Terla hendak dibina, sumber air mentah yang hendak diperolehi ialah dari Sungai Ichat dan dari satu lagi sungai yang turut berada dalam kawasan tadahan air Terla ini iaitu Sungai Terla.

Oleh kerana Sungai Ichat yang teruk tercemar maka sumber air bagi LRA Kuala Terla yang siap dibina dan mula beroperasi pada tahun 2007, hanya diperolehi dari Sungai terla.

Bagaimanapun kini, menurut pegawai Pengurusan Air Pahang Bhd (PAIP) pula, sumber
air mentah dari Sungai Terla sudahpun didapati semakin berkurangan untuk dirawati secara mencukupi oleh LRA Kuala Terla.

AIR MENTAH SUNGAI TERLA JUGA SEMAKIN BERKURANGAN

LRA Kuala Terla sebenarnya, berkapasiti antara 780 meter padu sejam dan 800 meter padu sejam tetapi ekoran air mentah dari Sungai Terlapun semakin berkurangan, ia hanya dapat memproses dan menjana antara 480 meter padu sejam dan 550 meter sejam sahaja.

Keperluan air mentah dari Sungai Ichat dengan itu, sangat diperlukan untuk diproses oleh LRA Kuala Terla bagi memastikan bekalan air terawat mencukupi – bagi menampung 70 peratus keperluan air penduduk Cameron Highlands.

Sebelum air mentah dari Sungai Ichat dapat dan selamat digunakan, pemulihan Sungai Ichat tentu perlu dilaksanakan dan ini akan mengambil masa sebelum air sungai tersebut boleh digunakan.

Langkah pertama ke arah itu ialah dengan keputusan Kerajaan Negeri untuk tidak lagi membenarkan pembaharuan TOL – yang sah-lakunya setahun; sejak tahun 2017 dan susulan itulah, kerja-kerja merobohkan perlu dilaksanakan.

Apakah tindakan susulan Kerajaan Negeri selepas ini?

PSK @ SS Inc. PULA AKAN KENDALI URUSAN PERMOHONAN TOL CAMERON HIGHLANDS    

“Kerajaan Negeri juga telah membuat keputusan supaya perkara-perkara berkaitan tanah-tanah pertanian ini akan diserahkan kepada Perbadanan Setiausaha Kerajaan (PSK) untuk mengendalikannya,” kata Dato’ Sri Wan Rosdy.  

“Yang menerusinya, Jabatan Pertanian Negeri misalnya, akan diberi tanggungjawab untuk menyelaras dan memastikan amalan pertanian yang berkesan dan selamat berpandukan MyGAP (Malaysia Good Agriculture Practice), perlu diikuti sepenuhnya oleh para pekebun di kawasan tanahtinggi ini,” katanya lagi. – Khabar