Friday 1 March 2019

Operasi penguatkuasaan tangani pencerobohan dalam kawasan tadahan air Kuala Terla


“Operasi kali ini terpaksa dilakukan bagi mengelakkan kawasan tadahan air (water catchment) untuk muka sauk (intake) Ipoh Road di Kuala Terla daripada terus tercemar dengan aktiviti pertanian akibat penggunaan racun dan baja,” kata Menteri Besar.


NOTA EDITOR;

Ekoran operasi penguatkusaan ke atas kawasan tanah yang dicerobohi di Mukim Ulu Telom, Cameron Highlands yang sedang berlangsung sekarang, rungutan telah kedengaran dan portal berita MalaysiaKini telah cuba mendapatkan ulasan Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail mengenainya.

Berikut disiarkan sesi soal-jawab antara wartawan portal berita tersebut dengan Dato’ Sri Wan Rosdy. DSWR merujuk kepada Dato’ Sri Wan Rosdy manakala MKINI merujuk kepada portal berita berkenaan.     

HANYA SELEPAS NOTIS PENGOSONGAN TANAH TAHUN 2009 TIDAK DIENDAHKAN... Rupa-rupanya, hanya selepas notis pengosongan tanah tahun 2009 lagi tidak diendahkan maka baharulah tindakan ini dilaksanakan pada 25 Februari, itupun dengan memberi notis tujuh (7) hari sebelum (pada 18 Februari).   


MKINI ; Berapa buah kebun yang dilibatkan dalam operasi ini?

DSWR ; Jumlah kesemua kebun yang terlibat dalam operasi penguatkuasaan kali ini ialah sebanyak 61 buah, yang berkeluasan 55 hektar.

Keputusan untuk melancarkan operasi ini ialah ekoran Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Penguatkuasaan Daerah Cameron Highlands pada 1 Februari lepas, yang dipengerusikan oleh YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Sri Dr Sallehuddin Ishak.

Telah ditetapkan bahawa fokus penguatkusaan kali ini ialah ke atas pencerobohan yang berlaku di rizab sungai dan rizab jalan yang berada dalam kawasan tadahan air Kuala Terla khususnya Sungai Ichat di bawah Mukim Ulu Telom.

Operasi kali ini terpaksa dilakukan bagi mengelakkan kawasan tadahan air (water catchment) untuk muka sauk (intake) Ipoh Road di Kuala Terla daripada terus tercemar dengan aktiviti pertanian akibat penggunaan racun dan baja.

TEMPOH PENGUATKUASAAN SEHINGGA APRIL

MKINI ; Sampai bila operasi ini akan berterusan? 

DSWR ; Operasi penguatkuasaan kali ini terbahagi kepada dua (2) fasa. 

Fasa pertama melibatkan 11 kebun, yang bermula sejak 25 Februari lepas dan asalnya dijangka berakhir 28 Februari tetapi kini terpaksa melanjutkannya hingga sebelum pertengahan bulan Mac ini.

Fasa kedua nanti akan melibatkan lagi 50 kebun dan dijangka mula operasi penguatkuasaannya pada bulan April.

MKINI ; Kenapa tempoh singkat (7 hari) diberi kepada pekebun untuk mengosongkan tanah?

NOTIS PERNAH DIKELUARKAN TAHUN 2009 TETAPI MASIH TERUSKAN

DSWR ; Sebenarnya, tiada tempoh khusus yang ditetapkan oleh undang-undang. Tempoh bagi arahan pengosongan tanah ini adalah terpulang kepada pentadbir tanah daerah untuk menentukan. 

Notis yang diberikan pula (bertarikh 18 Februari) adalah secara pentadbiran, bertujuan untuk mengingatkan pekebun yang melakukan pencerobohan ke atas tanah kerajaan tanpa izin. 

Mereka ini pula sebenarnya, telahpun menceroboh tanah kerajaan tanpa izin sejak 2009 lagi, tanpa menyumbang atau membayar lesen kepada Kerajaan Negeri sejak tahun 2009 itu lagi. 

Sungguhpun notis pernah dikeluarkan tetapi mereka masih meneruskan aktiviti maka, tempoh tujuh (7) hari yang diberikan kali ini adalah dikira munasabah. – Khabar