Wednesday 22 May 2019

KDYMM Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah mangkat


“… saya mohon rakyat-jelata sekalian agar sama-samalah mendoakan moga-moga roh Almarhum Paduka Ayahanda dirahmati Allah Subhanahu Wata’ala, serta ditempatkan bersama-sama para Syhuhada’,” kata Menteri Besar

SEMBAH TAKZIAH... Iklan sepertimana akan disiarkan dalam sebuah akhbar tempatan pada esok, Khamis, 23 Mei.  


WISMA SRI PAHANG, KUANTAN – KDYMM Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri‘ayatuddin Al-Muadzam Shah telah mangkat pagi ini.

Almarhum KDYMM Paduka Ayahanda mangkat pada usia 89 tahun pada 8.50 pagi di Institut Jantung Negara (IJN), Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.

Berikut ialah kenyataan media sepertimana dikeluarkan oleh Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail kira-kira 10 pagi tadi ;  

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Dengan penuh rasa kesedihan dan kesayuan, saya dengan ini mengumumkan kemangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri‘ayatuddin Al Muadzam Shah pada pagi Rabu, 22 Mei bersamaan 17 Ramadan 1440 Hijrah.

Almarhum mangkat pada kira-kira 9 pagi di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur.

Sehubungan itu, saya mohon rakyat-jelata sekalian agar sama-samalah mendoakan moga-moga roh Almarhum Paduka Ayahanda dirahmati Allah Subhanahu Wata’ala, serta ditempatkan bersama-sama para Syhuhada’. Amin.

DATO’ SRI WAN ROSDY BIN WAN ISMAIL
Menteri Besar Pahang. – Khabar