Monday 10 June 2019

Berbaloi dengan pampasan kerana pengorbanan besar Pahang


“Ini ‘kos melepas’ yang terpaksa Kerajaan Negeri tanggung demi untuk mensejahterakan rakyat (termasuk) di luar negeri Pahang,” kata Menteri Besar.  


NOTA EDITOR ;

Berikut disiarkan artikel mengenai keperluan Kerajaan Negeri menuntut pampasan daripada Kerajaan Persekutuan, ekoran pengorbanan besar yang telah Pahang lakukan demi kemakmuran negeri dan negara, serta kesejahteraan rakyatnya.

Artikel ini juga turut mendapat siaran dalam akhbar Utusan Malaysia halaman 19, terbitan Selasa, 11 Jun.   


Oleh AHYA ALIMUDDIN

Alamaya, INDERA MAHKOTA 5, KUANTAN – Berbaloikah Pahang yang telah banyak berkorban daripada aspek kegunaan tanahnya demi memelihara alam sekitar dan jaminan bekalan makanan serta nafkah rakyat termasuk dari luar negeri itu?

Bahawa pengorbanan Pahang – negeri terbesar di Semenanjung Malaysia berkeluasan 3.6 juta hektar atau bersamaan keluasan gabungan tiga (3) negeri iaitu Kelantan (1.5 juta hektar), Terengganu (1.3 juta hektar) dan Selangor (793,000 hektar); dalam banyak perkara berkaitan kegunaan tanah memang tidak dapat dinafikan.

Daripada segi kawasan berhutan sahajapun, ia penyumbang terbesar dalam kalangan negeri-negeri Semenanjung Malaysia, dengan keluasan 2.057 juta hektar atau 57.2 peratus daripada keluasan negeri.

Kawasan seluas 2.057 juta hektar ini boleh disamakan dengan keluasan – kecil sikit daripada negeri Perak iaitu negeri kedua terbesar di Semenanjung Malaysia yang seluas 2.1 juta hektar.

Dan daripada 2.057 juta hektar kawasan berhutan ini, 258,952 hektar merupakan kawasan tadahan air yang langsung tidak boleh di‘sentuh’ apatah lagi bagi kerja-kerja pembalakan, yang merupakan lebih dua (2) kali ganda keluasan Pulau Pinang (103,104 hektar).

CADANG KERAJAAN NEGERI TUNTUT PAMPASAN  

Susulan itulah pada Persidangan Dewan Negeri yang lepas, Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail telah mencadangkan agar Kerajaan Negeri menuntut pampasan daripada Kerajaan Persekutuan, ekoran ‘kos melepas’ kerana pengorbanan tersebut.

“Ini ‘kos melepas’ yang terpaksa Kerajaan Negeri tanggung demi untuk mensejahterakan rakyat (termasuk) di luar negeri Pahang,” katanya pada sesi soal jawab pagi Selasa, 17 April itu. 

Menurut anggaran Kerajaan Negeri kata Dato’ Sri Wan Rosdy lagi, ‘kos melepas’ yang terpaksa Kerajaan Negeri tanggung itu ialah kira-kira RM16,400 juta (RM16.4 billion) yang diharapnya Kerajaan Persekutuan dapat mempertimbangkan pemberian pampasan tersebut. 

Pengorbanan Pahang bagaimanapun, tidak terhenti di situ sahaja malah turut meliputi – sepertimana dimaklumkan pada Majlis Pembangunan Fizikal Negara (MPFN) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada Mac lepas; dalam bidang pertanian.

Selain Pahang disebut sebagai penyumbang terbesar bagi kawasan berhutan dan tadahan air, negeri itu juga dinobatkan sebagai penyedia bagi tapak Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) yang paling luas, meliputi kira-kira 5,157 hektar.

JUGA SEDIA TANAH PALING LUAS UNTUK TKPM

Kewujudan TKPM sudah tentunya penting demi memastikan pengeluaran hasil makanan yang dapat dipertingkatkan, seterusnya dapat menyumbang sebagai ‘food security’ serta menjadi alternatif kepada pengaliran keluar wang negara banyak akibat pengimportan selama ini.  

Lama sebelum ini lagi, Dato’ Sri Wan Rosdy telah mendedahkan betapa Pahang sebagai penyumbang tanah terbesar bagi pengwujudan Rancangan Tanah Felda, telah mengorbankan tanah seluas 203,011 hektar untuk maksud itu hingga membolehkan kira-kira 43,125 peneroka mendiami dan menyara hidup daripadanya.

Daripada 203,011 hektar ini pula katanya, kira-kira 179,726 hektar telahpun dikeluarkan suratan hakmilik tanah kepada 38,178 peneroka yang telah akhirnya memenuhi syarat-syarat untuk penerimaan dokumen berharga tersebut.

Dengan nilai konservatif semasa bagi tanah pertanian antara RM80,000 dan RM100,000 bagi setiap 0.405 hektar (seekar), beliau mengganggarkan nilai antara RM35,529 juta (RM35.529 billion) dan RM44,411 juta (RM44.411 billion) yang telah Kerajaan Negeri korbankan untuknya.

“Bermakna, saya nak bagi tahu di sini, ‘kos melepas’ Kerajaan Negeri kalau kita ‘calculate’kan, nilainya (antara) RM35,529 juta dan RM44,411 juta,” katanya dalam ucapan 16-minitnya pada Majlis Penyampaian Suratan Hakmilik Tanah kepada 501 peneroka Rancangan Tanah Tersang 2 dan 3 pagi Isnin, 25 Jun lepas itu.   

NEGARA LAIN TERMASUK AMERIKA JUGA BERI PAMPASAN

Dalam soal pengorbanan dan pampasan ini, rupa-rupanya ia bukanlah sesuatu yang ganjil dengan bersandarkan pengalaman di luar negara termasuklah negara-negara seperti China, Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK) serta Vietnam sekalipun.

Di China, pampasan ini diberikan dalam bentuk apa yang dikenali sebagai ‘Forest Ecological Compensation Programme’ (FECP) atau diterjemahkan – Program Pampasan Ekologi Hutan.

Menurut beberapa artikel yang ditemui, FECP ini merujuk kepada program oleh Kerajaan Pusat negara berkenaan dalam menyediakan bantuan kewangan kepada pihak yang menguruskan ‘ecological forest’ atau hutan ekologi.

Usaha untuk mewujudkan FECP ini dikatakan bermula lewat tahun 1980-an, dan 20 tahun kemudian terbentuklah satu dana khusus mengenainya yang dibiayai oleh Kerajaan Pusat tersebut.

Pada prinsipnya, FECP ialah program pemberian pampasan kepada mana-mana pihak yang menguruskan hutan untuk sama ada perkhidmatan alam sekitar yang pihak pengurus tersebut sediakan, atau atas pengorbanan tidak meneroka atau menggembling hutan yang diuruskan itu (forgone land use options).

BERBALOI

Di negara-negara seperti AS, UK dan Vietnam malah di negara-negara Amerika Latin  Costa Rica dan juga Mexico,  mereka menggunakan satu lagi pendekatan yang dikenali sebagai ‘Payment for Ecosystem Services (PES)’ atau Bayaran bagi Perkhidmatan Ekosistem.

Sepertimana FECP, PES ini ditakrifkan sebagai pembayaran atau pampasan kepada pemilik tanah yang dapat memberi perkhidmatan ekosistem di kawasan-kawasan tertentu, sehingga dapat dimanfaati oleh masayarakat.

Oleh itulah diharapkan, Kerajaan Persekutuan kita dapat turut bergerak ke arah pengwujudan sama ada FECP dan PES ini agar Pahang terutamanya, dapat berasa berbaloi dengan pengorbanan besar yang telah dilakukannya selama ini. – Khabar