Friday 2 August 2019

Pahang jangka tarik pelaburan RM1,134 juta sempena Forum Pelaburan Pahang 2019


… Nilai Pembangunan Kasar (GDV) keseluruhannya – setelah siap projek-projek berkenaan, ialah kira-kira RM2,372 juta!

TERMETERAI SUDAH MoU... Satu untuk album. 


HOTEL GRAND HYATT, SINGAPURA – Pahang dijangka dapat menarik pelaburan kira-kira RM1,134 juta (RM1.134 billion) dengan penanda tanganan 11 Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kerajaan Negeri dengan syarikat-syarikat berkenaan pada hari kedua dan terkahir penganjuran Forum Pelaburan Pahang 2019 (PIF 2019) di Kota Singa ini.

Nilai Pembangunan Kasar (GDV) keseluruhannya – setelah siap projek-projek berkenaan, ialah kira-kira RM2,372 juta (RM2.372 billion)!

“Hanya sebentar tadi, kita telah sama-sama menyaksikan majlis menanda tangani MoU antara pelbagai syarikat dan syarikat multinasional yang berpengkalan di Singapura dengan Kerajaan Negeri,” kata Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail.

“Saya harus menyatakan yang saya sangat gembira memandangkan nilai pelaburan yang telah dipersetujui ialah RM1.134 bilion – satu jumlah yang lebih besar daripada bajet tahunan Kerajaan Negeri yang sekadar RM700 juta.

“Ini kepada saya, ialah satu kejayaan yang sebenar-benarnya apatah pula dicapai dalam tempoh tidak sampaipun tiga (3) bulan sejak kita datang ke sini pertama kali pada Mei lepas,” katanya lagi pada persidangan media selepas majlis menanda tangani MoU tersebut pagi Jumaat, 2 Ogos di sini.

PERTUKARAN DOKUMEN... Selain Dato' Sri Wan Rosdy dan Dato' Sri Dr Salehuddin; yang turut kelihatan dalam foto ini ialah Timbalan Setiausaha Kerajaan (TSUK) Negeri yang juga Pengarah, Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (B-PEN), Dato' Fadzilla Salleh (depan, kiri sekali). 


PENYERTAAN MELEBIHI JANGKAAN ASAL
                                     
Ketika pertama kali ke sini pada bulan Mei itu, satu Seminar Mengenai Pelaburan Pahang telah turut diadakan tetapi dalam skala yang lebih kecil, yang dihoskan oleh Persekutuan Perniagaan Singapura (SBF).

Pada PIF 2019 ini, ianya telah disertai oleh 130 pihak yang antaranya ialah 83 syarikat serta 23 lagi syarikat multinasional yang beribu pejabat di negara republik ini. Dan jumlah ini adalah melebihi daripada jangkaan asal cuma 80 penyertaan.

Selain Forum menurut Dato’ Sri Wan Rosdy, beliau juga telah mengadakan lima (5) perjumpaan perniagaan (business meetings) dengan ketua-ketua dan kepemimpinan syarikat-syarikat tersebut, selain sembilan (9) lagi perjumpaan yang sama yang dipengerusikan oleh Ahli-ahli Exco Kerajaan Negeri – Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsuddin dan Dato’ Sri Ir Mohd Soffi Abdul Razak.

Daripada kesemua 11 MoU yang telah ditanda tangani itu katanya lagi, yang terbesar ialah oleh Hercules Technologies Sdn Bhd dengan persetujuan untuk melabur sehingga kira-kira RM450 juta ringgit, bagi tiga (3) projek berlainan.

Projek-projek itu ialah masing-masing RM200 juta untuk membangunkan pusat pembekalan simen dan konkrit, dan pembinaan kilang bio-komposit; serta RM50 juta lagi bagi penubuhan pusat latihan, kawalan kualiti dan pensijilan produk. Ketiga-tiganya ialah di Kawasan Perindustrian Gebeng, Kuantan.

LAGI PERTUKARAN DOKUMEN ANTARA KERAJAAN NEGERI DENGAN BAKAL PELABUR... 


CADANG PROJEK LADANG SOLAR DI MAUDZAM SHAH

Satu lagi katanya, ialah oleh Zhong Hai Resources Group Pte Ltd, dengan hasrat melabur kira-kira RM400 juta untuk membangunkan kawasan seluas 264.87 hektar (654.51 ekar) di Muadzam Shah, Rompin sebagai Ladang Solar.

IBN Corporation Pte Ltd pula bercadang terlibat dalam projek pembinaan kolam takungan serta pembekalan air terawat bagi memenuhi keperluan seluruh kawasan Genting Highlands dengan nilai pelaburan kira-kira RM100 juta ringgit.

Ketika ini, air terawat di sana dibekalkan oleh Genting Utilities & Services Sdn Bhd namun ia sahaja katanya, tidak mampu membekal ke keseluruhan kawasan maka projek oleh IBN ialah sebagai pelengkap bukan pesaing kepada pembekal sedia ada.

“Dengan penuh hormatnya, sukacita saya nyatakan betapa berjayanya penganjuran PIF 2019 ini. Sehubungan itu, sukacita saya ucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada TYT Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura, Dato’ Zainol Rahim Zainuddin dan pasukannya;

“MITI dan MIDA Singapura serta pasukan saya dari Pahang; yang telah bekerja tanpa mengira penat dan lelah dalam menjayakan usaha ini,” kata Dato’ Sri Wan Rosdy lagi.

Yang turut bersama-sama beliau pada persidangan media ini ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Sri Dr Salehuddin Ishak; Dato’ Sri Mohd Sharkar dan Dato’ Sri Ir Mohd Soffi; serta Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Indera Roslan Harun.


SEBAHAGIAN LAGI KHALAYAK PAGI JUMAAT INI... – Khabar