Thursday 22 August 2019

Puak segelintir ‘minoriti lantang’ anti-Lynas tidak layak wakili ‘majoriti senyap’ penduduk Kuantan



NOTA EDITOR ;

Berikut ialah artikel mengenai Lynas Advanced Material Plant (LAMP) yang pada 15 Ogos lepas, telah diberikan lesen pembaharuan operasi untuk selama enam (6) bulan oleh Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (AELB).

Intipati artikel ini ialah untuk menyanggah sangkaan yang salah kononnya puak anti-Lynas yang sejak dahulu lagi bilangannya adalah segelintir, seolah-olah mewakili seluruh penduduk Kuantan. Ini sepertimana juga dengan seorang Ahli Parlimen puak tersebut yang sering mendabik dada dan dengan angkuhnya mendakwa betapa kononnya “I represent the people of Kuantan”.   

Sedangkan, dianya hanyalah tergolong dalam kalangan ‘minoriti lantang’ tetapi dengan kelantangannya telah disalah persepsi sebagai mewakili seluruh penduduk Kuantan yang seramai 580,000 orang ketika ini terutamanya yang ‘majoriti senyap’.

Sama-samalah kita ikuti kupasannya. Sementara itu, akhbar Utusan Malaysia terbitan esok, Jumaat, 23 Ogos dijangka turut menyiarkan artikel yang sama ini pada halaman 14nya.     

LAGAK PUAK 'MINORITI LANTANG' PAGI AHAD... Yang semakin hilang sokongan mereka daripada dalam kalangan penduduk Kuantan. 


Oleh YOPE KEY-DARE

Alamaya, INDERA MAHKOTA 5, KUANTAN – Apakah makna apabila di kawasan pentas yang sama yang terbahagi dua oleh dinding konkrit – sebelah sana puak anti-Lynas cuma 300 orang dengan ceramah berapi-api, manakala di sebelah sini kumpulan mingguan lebih 500 orang sedang ceria bersenamrobik menurut alunan lagu rancak?

Inilah yang berlaku pada pagi Ahad lepas (18 Ogos) di Taman Gelora dekat sini. Dan puak anti-Lynas berada di situ – setelah sekian lama tidak melakukannya; ialah kerana membantah keputusan Kerajaan Persekutuan mengenai kilang Lynas Advanced Material Plant (LAMP).

Tiga hari sebelum itu (15 Ogos), Kerajaan Pakatan Harapan (PH) tersebut menerusi Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (AELB), telah mengumumkan pembaharuan lesen operasi selama enam bulan bagi LAMP milik Lynas Malaysia Sdn Bhd di kawasan perindustrian Gebeng, dekat sini.

Sebagai menjawab persoalan awal tadi; Ini bermakna betapa apa yang dilakukan oleh puak segelintir anti-Lynas, memang langsung tidak dihiraukan oleh kumpulan peserta senamrobik yang jumlahnya lebih ramai daripada mereka pagi itu.

Maka, jika ada yang berpandangan puak ini ialah pembawa pandangan popular mengenai LAMP, sebenarnya tidak betul. Mereka sekadar ‘minoriti lantang’ yang kerana kelantangan telah disalah anggap sebagai popular, kononnya mewakili seluruh penduduk Kuantan seramai 580,000 orang, yang sebahagian besarnya ialah ‘majoriti senyap’.

APALAH SANGAT 300 ORANG BERBANDING 580,000 PENDUDUK KUANTAN

“Apalah sangat 300 orang berbanding lebih 500,000 penduduk Kuantan. Malah, dulu (26 Februari, 2012), mereka anjurkan bantahan – Himpunan Hijau 2.0 di Padang Kemunting dekat sini, tapi ramai yang datangpun ialah mereka dari luar Kuantan.

“Jadi, macam mana mereka boleh kata (sebagai) mewakili penduduk Kuantan sedangkan penduduk Kuantan terutama di Beserah dekat kilang Lynas, tidakpun membantah dengan kewujudan kilang ini,” kata seorang ketua kampung di Beserah itu.

Dan inilah keadaan sebenarnya. Majoriti penduduk Kuantan tidak membantah LAMP kerana mereka telahpun faham menerusi kenyataan dan tindakan oleh pakar-pakar sendiri serta beberapa jawatankuasa yang ditubuhkan, yang mengesahkan tentang selamatnya operasi LAMP ini.

Sejak 2011 lagi, Panel Pakar dari Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) yang beribu pejabat di Vienna, Austria telah melakukan kerja-kerja menyiasat dalam isu kesihatan dan keselamatan berkaitan dengan LAMP dan mendapatinya selamat.

Ketika Pengarahnya, Encik Yukiya Amano yang mengunjungi Kuala Lumpur pada tahun 2015, telah turut mengesahkan bahawa LAMP selamat dan tidak memberi kesan pencemaran kepada alam sekitar.

TAHAP RISIKO LYNAS RENDAH

“Setiap pembangunan teknologi nuklear mempunyai peraturan dan tahap keselamatan yang mesti diikuti. Lynas telah mengikuti garis panduan tersebut. Malah, tahap risiko dalam projek Lynas adalah rendah. Ia telah diperiksa oleh IAEA dan didapati selamat,” kata Encik Yukiya.       

Jika pandangan-pandangan pakar-pakar tadi ialah semasa era pemerintahan Kerajaan Persekutuan pimpinan Barisan Nasional (BN), pandangan yang sama juga disuarakan selepas Pakatan Harapan (PH) mengambil-alih susulan kemenangan mereka pada Pilihanraya Umum Ke-14 (PRU-14) Mei 2018.

Kira-kira enam (6) bulan sahaja selepas itu (pada Disember 2018), Jawatankuasa Penilaian yang ditubuhkan oleh Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) membuat keputusan bahawa, operasi LAMP adalah berisiko rendah dan mematuhi peraturan-peraturan berkenaan.

Manakala, kemudahan penyimpanan residu atau sisa dikendalikan olehnya (LAMP) menurut Jawatankuasa Penilaian yang sama, adalah dengan cara yang selamat dan diluluskan oleh pengawal selia.  

Jawatankuasa yang sama juga menyatakan bahawa LAMP merupakan syarikat pengeluar tanah jarang yang tidak boleh dibandingkan dengan loji nuklear atau kilang yang menghasilkan ‘thorium’ atau ‘uranium’.

KENYATAAN PAKAR, BUKAN KITA SEBAGAI ‘LAYMEN’

Oleh itulah, Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail telah menyebut pada persidangan Dewan Negeri Isnin lepas (19 Ogos) betapa; “Ini adalah kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh pakar-pakar, bukan kita sebagai ‘laymen’.

“Atau, bukan kita sebagai hanya nak tunjuk kita ini kononnya menentang ataupun mencari populariti dan sebagainya. Ini adalah kenyatan yang dikeluarkan oleh mereka yang berkelayakan,” katanya.   

Daripada segi undang-undangpun telah diambil oleh puak anti-Lynas namun itupun gagal sepertimana Mahkamah Rayuan putuskan pada 19 Disember 2012 lagi, mengenepikan rayuan oleh gerakan yang dikenali sebagai Save Malaysia Stop Lynas (SMSL), yang menentang pengeluaran Lesen Operasi Sementara (TOL) oleh AELB kepada LAMP ketika itu.

Dua (2) tahun kemudian (2 September, 2014), LAMP mula diberikan Lesen Tahap Operasi Penuh (FOSL) yang perlu diperbaharui menurut tempoh-tempoh yang ditetapkan termasuklah yang terbaharu selama enam (6) bulan lagi, berkuatkuasa 1 September ini.

Keputusan terbaharu yang AELB keluarkan pada 15 Ogos itu – dengan syarat-syarat yang dikenakan; bagaimanapun dilihat lebih merupakan satu bentuk hukuman atau ancaman secara halus terhadap LAMP.

LYNAS MENGGAJI 900 PEKERJA, 850 DARIPADANYA MELAYU

Antara syarat itu ialah kemestian untuk Lynas Malaysia Sdn Bhd atau syarikat induknya, Lynas Corporation Ltd – syarikat awam yang tersenarai di Australian Securities Exchange (ASX) sejak 1986 lagi; mendirikan kilang meretak dan larut lesap (cracking and leaching) di Australia sendiri.

Mereka diberikan tempoh empat (4) tahun yang dengan siapnya kelak, aktiviti berkenaan (meretak dan melarut lesap) tidak lagi boleh dilakukan di LAMP lalu tidak lagilah menghasilkan residu atau sisa pembersihan keluluhan air (WLP) di sini.

Sepertimana umum mengetahui, LAMP menggaji kira-kira 900 tenaga kerja – 850 orang daripadanya pekerja Melayu; yang sebahagian besarnya pula terlibat dalam operasi meretak dan melarut lesap itu.

Apakah nasib mereka sekiranya nanti operasi tersebut dihentikan di LAMP, sesudah siapnya kilang bagi maksud pemprosesan yang sama di Australia Barat khususnya di Mount Weld, Perth kelak?

LAMP juga disyaratkan supaya mencari dan mengenal pasti lokasi ‘specific’ untuk pembinaan Kemudahan Pelupusan Kekal (PDF) bagi WLP yang telah dihasilkan, yang setakat ini dikatakan sebanyak 580,000 tan, dan akan bertambah selagi operasi meretak dan melarut lesap berlaku di LAMP.

LYNAS SUDAH LABUR RM3,000 JUTA, BERBELANJA RM600 JUTA SETAHUN

Dan LAMP diberi tempoh enam (6) bulan ini juga untuk mencari dan mengenal pastinya. Untuk mendapatkan tapak bagi PDF ini, mungkin tidak begitu sukar memandangkan sejak September 2011 lagi, Kerajaan Negeri Pahang menerusi surat oleh Setiausaha Kerajaan Negeri ketika itu, telahpun memberi ‘lampu hijau’nya.

Dalam hal ini, Dato’ Sri Wan Rosdy juga telah memaklumkan betapa selain kepentingan keselamatan, Kerajaan Negeri juga akan mengambil kira perjanjian yang telah dilakukannya sebelum ini dengan syarikat tersebut.

Dan ini pula tentunya turut bersandarkan kepada hakikat betapa pelaburan kira-kira RM3,000 juta telah dicurahkan, selain Perbelanjaan Operasi (Opex) tahunan sebanyak RM600 juta disumbangkan oleh LAMP kepada ekonomi negeri ini selama ini. – Khabar