Sunday 22 September 2019

Pahang dapat komitmen pelaburan asing RM 2,520 juta dalam tempoh tak sampai 2 bulan

‘Snippets’

Mungkin juga secara kebetulan, kedua-dua tarikh berlangsungnya majlis menandatangani MoU ini yang disaksikan oleh Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Ismail ialah pada hari Jumaat yang barakah.

'FLASHBACK'... Foto yang dirakamkan pada majlis tengah hari Jumaat, 20 September di sebuah hotel terkemuka di bandar Nanning, China. Selain Dato' Sri Wan Rosdy, yang turut kelihatan ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Sri Dr Sallehuddin Ishak.  


kamarSUA, WISMA SRI PAHANG, KUANTAN – Sedarkah atau tidak bahawa, dalam tempoh tidak sampaipun dua (2) bulan, Pahang menerima komitmen pelaburan asing kira-kira RM 2.52 billion atau bersamaan RM 2,520 juta!

Ini berdasarkan termeterainya Memorandum Persefahaman (MoU) dengan 11 syarikat dari Singapura pada 2 Ogos lepas sebanyak kira-kira RM 1.134 billion atau RM 1,134 juta; dan dengan enam (6) syarikat dari China pada 20 September lepas sebanyak RM 1.386 billion atau RM 1,386 juta.

Mungkin juga secara kebetulan, kedua-dua tarikh berlangsungnya majlis menandatangani MoU ini yang disaksikan oleh Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Ismail ialah pada hari Jumaat yang barakah.

Jika hendak diikutkan, keseluruhan pelaburan RM 2.52 billion atau RM 2,520 juta ini ialah bersamaan dengan tiga (3) tahun dan enam (6) bulan nilai bajet tahunan negeri Pahang yang puratanya kira-kira RM 700 juta.

Dengan RM 2.52 billion atau RM 2,520 juta ini juga boleh membina dua (2) buah lagi Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 1 sepanjang 173 km menghubungkan Karak-Jabor yang siap dan beroperasi pada tahun 2004 dengan kos RM 1.3 billion atau RM 1,300 juta.

Dengan RM 2.52 billion atau RM 2,520 juta ini juga boleh membina 31,500 unit Rumah Makmur - rumah teres setingkat bernilai RM 80,000 seunit, atau, 16,800 unit rumah PR1MA Pahang - rumah berkembar setingkat bernilai RM 150,000 seunit.

Demikianlah bayangan serta gambaran tentang besarnya jumlah pelaburan RM 2.52 billion atau RM 2,520 juta ini. – Khabar