Thursday 12 September 2019

Politik berhemah, berpada-pada;


... ramuan kejayaan yang dipertahankan di Pahang

PADA MAJLIS PERASMIAN MESYUARAT PERWAKILAN UMNO BAHAGIAN KETEREH... Dato' Sri Wan Rosdy diapit sebelah kanannya oleh Tan Sri Annuar - seorang 'orator' yang hebat, serta sebelah kirinya, Timbalan Ketua UMNO Bahagian yang sama, Dato' Md Alwi Che Ahmad.  


Oleh ALAMAYA

kamarSUA, WISMA SRI PAHANG, KUANTAN – Politik berhemah dan berpada-pada. Inilah ramuan kejayaan yang kelihatan dibawa oleh pemimpin-pemimpin negeri Pahang di bawah era Menteri Besar terdahulu seperti Tun Mohd Khalil Yaakob dan Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob, serta dipertahankan oleh Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail ketika ini.

Oleh itulah terbukti betapa – tatkala Kerajaan Persekutuan serta Kerajaan Negeri-Kerajaan Negeri di bawah penguasaan Barisan Nasional (BN) lebih enam (6) dekad jatuh kepada Pakatan Harapan (PH) pada Pilihanraya Umum ke-14 Mei 2018, namun Pahang hanyalah satu daripada dua (2) negeri yang masih BN kuasai. 

Dan pula pada Pilihanraya Kecil (PRK) Cameron Highlands Januari lepas, ‘against all odds’ apabila BN Negeri diketuai Dato’ Sri Wan Rosdy, terpaksa menghadapi jentera pilihanraya PH yang menguasai Kerajaan Persekutan, calonnya – Ramli Mohd Nor tetap menang.

Kemenangan ini pula lebih manis, setelah menempuhi empat (4) PRK pasca PRU-14 sebelum itu yang kesemuanya menyaksikan calon BN kecundang pada PRK-PRK Dewan Negeri Sungai Kandis, Dewan Negeri Balakong, Dewan Negeri Seri Setia dan Parlimen Port Dickson.

Apakah yang dimaksudkan dengan politik berhemah dan berpada-pada ini?

PEMIMPIN TAK BOLEH ‘OVERDO’ 

Politik berhemah ialah apabila pemimpin-pemimpin negeri ini sentiasa sahaja memberi keutamaan kepada kemesraan sesama pemimpin serta dengan rakyat-jelata, sehingga turut membuat dasar-dasar dan program-program pembangunan yang rakyat-jelata manfaati.

Berpada-pada pula bermaksud, masing-masing tahu sempadan peranan dan kuasa terutamanya betapa – sungguhpun pemimpin-pemimpin ini mempunyai kuasa eksekutif namun mereka juga bernaung di bawah Raja Pemerintah sementalah Baginda sekarang ialah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang sangat sensitif dan amat rapat dengan rakyat-jelata.

Oleh itulah, pemimpin-pemimpin ini tidak boleh ‘overdo’ atau melangkaui batas peranan dan kuasa masing-masing yang menurut sesetengah orang pula, ini termasuklah dalam soal-soal titik bengik seperti pemakaian dan gaya hidup sekalipun.

Bahawa berhemahnya kepemimpinan Dato’ Sri Wan Rosdy sekarang ialah dengan melihat kepada hubungan mesra yang terus dijalinkan dengan para pemimpin lain termasuklah dengan bekas ketua serta ‘predecessor’nya, Dato’ Sri DiRaja Adnan.

Oleh sebab hubungan baik dan mesra inilah juga, Dato’ Sri DiRaja Adnan telah membantu jentera pilihanraya BN semasa kempen PRK Cameron Highlands, dengan sanggup ke sebuah perkampungan Orang Asli terpencil demi ‘Long Nan’ meraih sokongan mereka kepada calon BN.

SENTIASA TERSELIT JADUAL TEMUI RAKYAT

Daripada segi berhemahnya Dato’ Sri Wan Rosdy dengan yang lain seperti dengan para penjawat awam mahupun pihak swasta apatah lagi dengan rakyat-jelata daripada pelbagai latar kaum dan ekonomi, memang tidak dapat dinafikan lagi.

Boleh dikatakan pada setiap kali beliau berada di pejabatnya di Wisma Sri Pahang, Kuantan kerana pelbagai urusan termasuk mempengerusikan mesyuarat mingguan Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri, akan turut terselit jadualnya menemui pelbagai pihak termasuk rakyat-jelata yang memerlukan.

Kalau sindrom ‘kaduk naik junjung’ jelas kelihatan pada sesetengah pemimpin yang baharu naik menjadi pemimpin khususnya dalam PH yang memerintah negara; ini langsung tidak kelihatan pada Dato’ Sri Wan Rosdy yang terus-menerus menunjukkan sikap berhemah dan berpada-padanya.

Daripada segi publisitipun, memang berpada-pada dan terbukti ianya strategi yang berkesan. Berbanding Kerajaan Persekutuan serta negeri lain pimpinan BN yang kecundang pada PRU-14 tersebut, yang akhirnya belajar betapa pahitnya peribahasa ‘menang sorak kampung tergadai’.

“Kita di Pahang sangat berpada-pada tentang publisiti ini, hendak pula sedar betapa publisiti merupakan ‘a double-edged sword’ yang jika ianya tidak menikam lawan, boleh menikam diri sendiri.

MENANG SORAK KAMPUNG TERBELA

“Oleh itulah juga maka prinsip publisiti di Pahang ialah, biarlah ‘menang sorak’ walaupun tak sebesar mana tetapi, ‘kampung’ atau negeri, perlu terus terbela dan terpelihara dengan BN Negeri terus-menerus mengemudinya”, demikian kata seorang pegawai di Pejabat Menteri Besar.

Dalam hal ini juga menurutnya, peranan pegawai-pegawai turut penting dalam membantu pemimpin-pemimpin ini dan betapa pula sebagai ‘backroom boys’, tempat dan peranan mereka hendaklah berada di belakang tabir tanpa perlu menonjolkan diri dalam kalangan khalayak.

Jika tidak apatah lagi sekiranya berlebih-lebihan, akan menyusup pula nanti amalan disusuli sindiran – ‘lebih sudu daripada kuah’ yang tempiasnya pasti terkena secara negatif terhadap pemimpinnya juga.  

Dalam pada berhemah dan berpada-pada, Dato’ Sri Wan Rosdy kini sudahpun mula terkenal sebagai seorang ‘strategist’ dan antara ‘buah tangan’nya yang jelas ternampak ialah hubungan erat terjalin antara UMNO dan PAS di negeri ini.

Buktinya ialah kemenangan besar calon BN pada PRK Cameron Highlands 26 Januari lepas itu ekoran sokongan kuat pemimpin serta ahli kedua-dua parti itu, disusuli penganjuran Himpunan Penyatuan Ummah Pahang pada 27 April lepas di Padang MPK 1 dengan kehadiran lebih 10,000 orang.  

KERJASAMA UMNO-PAS SEJAK SEBELUM SIDANG DEWAN NEGERI PERTAMA PASCA PRU-14 LAGI

Ramai yang melihat, kerjasama UMNO-PAS di negeri ini bermula dengan PRK Cameron Highlands tersebut sedangkan ia sebenarnya berlaku lebih awal lagi, sebelumpun bermulanya persidangan Dewan Negeri pertama selepas PRU-14, pada akhir Julai 2018.

Sungguhpun mengetahui betapa PAS Negeri ketika itu, menerusi Pesuruhjaya Negeri, Haji Rosli Jabar mengumumkan untuk membuat usul cuti mingguan kepada Jumaat/Sabtu pada persidangan Dewan Negeri berkenaan, dan ini dilihat sebagai satu ancaman kepada kepemimpinannya;

Namun Dato’ Sri Wan Rosdy tetap meneruskan usaha awalnya untuk bertemu secara santai dengan Haji Rosli serta tujuh Ahli Dewan Negeri PAS yang lain, sehingga berlakulah pertemuan mesra itu kira-kira seminggu sebelum bermulanya persidangan Dewan Negeri berkenaan.

Sejak tarikh itu hinggalah kepada PRK Cameron Highlands, kemudian HPU Pahang, kerjasama UMNO dan PAS di negeri ini terus dieratkan termasuklah dengan kehadiran beliau pada Himpunan Tiga (3) Menteri Besar Pantai Timur di Kuala Terengganu 22 Ogos lepas.  

“Daripada segi ini, beliau (Dato Sri Wan Rosdy) memang seorang ‘strategist’ sungguhpun beliau sendiri mengakui dalam ucapannya merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Ketereh yang diketuai Tan Sri Annuar Musa baru-baru ini (3 Ogos) betapa beliau bukanlah seorang ‘orator’ yang baik berbanding Annuar.

“Tak mengapalah beliau bukan ‘orator’ yang baik asalkan Pahang terus kekal makmur dan sejahtera serta dikuasai UMNO dan BN – insyaAllah bersama-sama PAS kelak; dengan perancangan serta politik berhemah dan berpada-pada,” kata pegawai yang sama. – Khabar