Tuesday 8 October 2019

Loji Rawatan Efluen Kilang Sawit yang ‘super-mesra alam’ di kilang sawit milik LKPP Corporation



“Saya istilahkan loji ini sebagai ‘super-mesra alam’ kerana ia satu-satunya loji yang boleh merawat efluen atau sisa, sehingga ke tahap paling minimum dengan nilai ‘Biological Oxygen Demand’ (BOD) yang dilepaskan ke alur air ialah 20 part per million (p.p.m) ke bawah.

“Sedangkan, tahap yang dibenarkan oleh undang-undang dan masih dikira selamat serta bersih selama ini ialah kira-kira 100 part per million (p.p.m). Oleh itu, jika hendak diikutkan, loji ini ialah kira-kira lima (5) kali ganda lebih selamat serta bersih daripada yang dibenarkan,” kata Menteri Besar.

RASMILAH... Dato' Sri Wan Rosdy sedang menurunkan tanda tangannya pada 'plaque' yang disediakan. Yang turut kelihatan ialah Dato' Sri Ishak, Dato' Sri Ir Mohd Soffi, Encik Abdul Rahim (kiri sekali) dan Dato' Mohd Suhaimi (kanan sekali). Foto dipetik daripada BH Online.


KILANG SAWIT DOMINION SQUARE SDN BHD, NO 37, LEBUHRAYA TUN RAZAK (KUANTAN – SEGAMAT), PEKAN – Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail pagi Selasa, 8 Oktober telah hadir ke sini bagi merasmikan Loji Rawatan Efluen I.H.I Kilang Sawit yang diistilahkannya sebagai ‘super-mesra alam’.

Sambil mengucapkan penghargaannya kepada pihak-pihak terlibat – kilang sawit Dominion Square Sdn Bhd ini sendiri yang dimiliki oleh LKPP Corporation Sdn Bhd, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan syarikat Jepun, IHI Corporation katanya;

“Saya istilahkan loji ini sebagai ‘super-mesra alam’ kerana ia satu-satunya loji yang boleh merawat efluen atau sisa, sehingga ke tahap paling minimum dengan nilai ‘Biological Oxygen Demand’ (BOD) yang dilepaskan ke alur air ialah 20 part per million (p.p.m) ke bawah.

“Sedangkan, tahap yang dibenarkan oleh undang-undang dan masih dikira selamat serta bersih selama ini ialah kira-kira 100 part per million (p.p.m). Oleh itu, jika hendak diikutkan, loji ini ialah kira-kira lima (5) kali ganda lebih selamat serta bersih daripada yang dibenarkan,” katanya dalam ucapan 15-minitnya.

Menurutnya, loji rawatan ini ialah yang pertama dibina dalam industri sawit bukan sahaja di negeri dan negara ini, tetapi juga seluruh dunia dan beliau menyatakan kebanggan kerana daripada 450  kilang sawit di negara ini, kilang sawit Dominion Square Sdn Bhd dipilih untuk menjadi tapak bagi pembinaan loji ini.

TEKUN PADA SESI PENERANGAN... 


IHI BELANJA RM 15 JUTA TERMASUK UNTUK R&D

Sebagai latar belakang katanya, projek ini merupakan kerjasama tiga (3) pihak iaitu MPOB, IHI Corporation dan Dominion Square Sdn Bhd, yang telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) pada tahun 2018 lagi.

Dan skop kerjasamanya ialah – Dominion Square Sdn Bhd selaku tuan rumah, menyediakan tapak, efluen atau sisa, dan utiliti seperti air mentah dan elektrik; MPOB bertanggungjawab menganalisis mutu air dan membantu menggerakkan projek;

Manakala IHI Corporation ialah sebagai pembekal teknologi, peralatan dan pemaju projek ini, dengan turut mengeluarkan peruntukan kira-kira RM 15 juta bagi pelaksanaan peranan-peranannya ini termasuk kerja-kerja Penyelidikan dan Pembangunan (R & D).   

Menurut Dato’ Sri Wan Rosdy lagi, projek ini sebenarnya bermula sejak tahun 2016 lagi setelah menyaksikan kejayaan loji perintis berskala kecil untuk merawat efluen kilang sawit yang dibina di Pusat Teknologi Kilang Kelapa Sawit (POMTEC), Labu, Negeri Sembilan.

“Memandangkan keputusan ujikaji yang amat memberangsangkan, IHI Corporation telah menyatakan hasrat untuk membina satu lagi loji tetapi berskala komersil di negara ini, dan sejak itulah bermulanya kerjasama antara wakil Jepun dan Malaysia, yang akhirnya diputuskan bagi pembinaan loji berkenaan di kilang sawit Dominion Square Sdn Bhd,” katanya lagi.

LOJI SIAP DAN BEROPERASI SEJAK SETAHUN LEPAS

Loji ini yang siap dan beroperasi sejak Oktober 2018 berada di atas tapak berkeluasan 40 meter X 30 meter yang setakat ini bagaimanapun katanya, tidak mengambil 100 peratus efluen yang dihasilkan oleh kilang sawit ini.

Oleh itu beliau berharap, LKPP Corporation Sdn Bhd dapat memulakan perbincangan untuk mengkaji semua aspek termasuk kos yang perlu dibiayai, kawasan, skim projek dan impak ekonomi kepada kilang dalam usaha untuk membesarkan loji rawatan ini supaya dapat merawat semua efluen yang dihasilkan.

Beliau juga berkata betapa LKPP Corporation Sdn Bhd mempunyai ladang-ladang sawit sendiri yang berkeluasan melebihi 9,000 hektar selain menguruskan hampir 32,000 hektar ladang-ladang lain, serta memiliki dua (2) kilang sawit.

Yang dengan itu beliau percaya, LKPP Corpoartion Sdn Bhd mempunyai cukup sumber ‘biomas’ yang berpotensi tinggi untuk dimajukan lalu memintanya dapat terus bersama-sama IHI Corporation untuk meninjau kemungkinan bekerjasama lagi dalam bidang rawatan ‘biomas’ ini pula.

“Ini misalnya dalam usaha memproses tandan kosong kepada bahan bakar, dan batang kelapa sawit kepada material baharu.

KOMITMEN TINGGI JAMIN KEJAYAAN

“Dengan komitmen yang tinggi yang ditunjukkan kedua-dua pihak saya percaya, kerjasama dalam bidang baharu ini juga akan mencapai kejayaan yang membanggakan kelak, In Sya Allah,” katanya yang juga Pengerusi Perbadanan Kemajuan Pertanian Pahang (PKPP).

Antara yang turut hadir ialah Yang Dipertua Dewan Negeri, Dato’ Sri Ishak Mohamad; Ahli-ahli Exco Kerajaan Negeri – Dato’ Sri Ir Mohd Soffi Abdul Razak dan Encik Abdul Rahim Muda; Ketua Pegawai Eksekutif PKPP, Dato’ Mohd Suhaimi Yunus; serta, Pengarah IHI Corporation, Encik Nobuhiko Kubota. – Khabar