Tuesday 15 October 2019

Tanah Rizab Orang Asli yang telah dan dalam proses pengwartaan



“Tetapi pokok-pangkalnya di sini; Kerajaan Negeri telahpun memperuntukkan tanah rizab kepada masyarakat Orang Asli di negeri Pahang yang mana penduduknya tidak sampai enam (6) peratuspun daripada jumlah penduduk negeri Pahang yang seramai 1.6 juta (orang),” kata Menteri Besar.

HADIAH SEBUAH BASIKAL BUAT PEMENANG CABUTAN BERTUAH... 


PADANG AWAM, POS ISKANDAR, BERA – Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail meminta masyarakat Orang Asli di Pahang agar tidak risau mengenai soal pengwartaan Tanah Rizab Orang Asli kerana Kerajaan Negeri sama ada telah atau dalam proses mewartakannya.

“Tanah Rizab Orang Asli ini kita telah wartakan sebagaimana saya katakan tadi. Exco (Majlis Mesyuarat) Kerajaan Negeri juga telah meluluskan juga untuk Tanah Rizab Orang Asli dan masih dalam proses pengwartaan.

“Sebab tanah ini ia luas; memerlukan banyak perkaralah (untuk dilaksanakan). Bukan lulus hari ini esok-lusa kita boleh isytihar (wartakan), tidak. Ia kena ukur, kemudian kena ukur halus sebagainya. Ia harus teliti,” katanya kepada wartawan.

“Tetapi pokok-pangkalnya di sini; Kerajaan Negeri telahpun memperuntukkan tanah rizab kepada masyarakat Orang Asli di negeri Pahang yang mana penduduknya tidak sampai enam (6) peratuspun daripada jumlah penduduk negeri Pahang yang seramai 1.6 juta (orang),” katanya lagi ketika ditemui pada Majlis Ramah Mesra Menteri Besar Bersama-sama Masyarakat Orang Asli pada tengah hari Selasa, 15 Oktober di sini.

Beliau berkata demikian setelah diminta mengulas lanjut ucapan 20-minitnya sebelum itu yang antara lain mengulas permintaan wakil Batin yang juga Presiden, Persatuan Orang Asli Semenanjung Malaysia (POASM), Encik Noria Abas yang dalam ucapannya agar Kerajaan Negeri menyegerakan pengwartaan Tanah Rizab Orang Asli tersebut.   

CENDERAHATI DARIPADA BATIN NORIA BUAT MENTERI BESAR... 


ORANG ASLI TAK PERLU RISAU

“Jadi masyarakat Orang Asli tidak perlu risau. Kalau tidak ada tindakan daripada Kerajaan, yang itu mereka perlu risau. Tetapi Kerajaan telah rizabkan kemudian dalam proses nak rizabkan lagi. Cuma proses-proses tertentu sahaja yang mengambil masa sikit,” tegas Dato’ Sri Wan Rosdy.

Menurut maklumat yang disalurkan kepada wartawan, seluas kira-kira 7,156.53 hektar tanah di negeri ini, telahpun diwartakan sebagai Tanah Rizab Orang Asli dan, 8,958.17 hektar lagi telah mendapat kelulusan MMK Negeri untuk pengwartaan.

Manakala lagi 8,571.36 hektar dalam proses permohonan untuk mendapat kelulusan yang dengan itu luas keseluruhannya ialah kira-kira 24,686.06 hektar, atau besar sedikit daripada keluasan seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (seluas 24,346 hektar)

Bahawa masyarakat Orang Asli ialah golongan  minoriti di negara dan negeri ini ialah  berdasarkan fakta bahawa jumlah mereka cuma 198,000 atau 0.62 peratus daripada kira-kira 32 juta penduduk Malaysia, dan hanya kira-kira 89,375 orang atau kira-kira 5.59 peratus daripada kira-kira 1.6 juta penduduk Pahang.

Membandingkan jumlah Orang Asli di Pahang (89,375 orang) dengan jumlahnya di seluruh Semenanjung Malaysia (198,000) maka Orang Asli Pahang menyumbang kira-kira 45.12 peratus – yang merupakan negeri paling ramai Orang Asli di negara ini.

BERCAKAP KEPADA WARTAWAN... 

KERAJAAN NEGERI MAMPU LULUS PROJEK-PROJEK KECIL

Dato’ Sri Wan Rosdy turut ditanya mengenai bantuan-bantuan yang Kerajaan Negeri sediakan untuk golongan minoriti di sini yang menurutnya, ia (bantuan) adalah berdasarkan bentuk permohonan mereka.  

Permohonan sepertimana dibuat hari ini menerusi ucapan Batin Noria – memohon peruntukan bagi melebarkan jalan masuk termasuk mewujudkan ‘bahu jalan’ ke Pos Iskandar ini sepanjang 8 km serta untuk menganjurkan Bengkel Adat termasuk bagi mendokumentasikan adat-adat suku kaum Semelai di sini katanya, bolehlah Kerajaan Negeri luluskan.     

Kelulusan itu seperti yang diumumkannya sebagai maklum-balas kepada permintaan Batin Noria itu ialah RM50,000 untuk kerja-kerja pelebaran jalan berkenaan dan lagi RM10,000 bagi penganjuran bengkel serta kerja-kerja pendokumentasian tersebut.
  
“Tapi untuk (Kerajaan Negeri berikan peruntukan yang) banyak tidaklah sebab selama inipun, JAKOA di bawah Kementerian (Pembangunan) Luar Bandar (yang berikan peruntukan tersebut),” katanya.

“Dan bagi kerja-kerja (atau pembinaan) jalan-jalan yang (perlukan peruntukan) besar, semua di bawah Kerajaan Persekutuan (maka) Kerajaan Persekutuanlah yang kena bantu. Yang sikit-sikit ini bolehlah kita bantu,” katanya lagi.  

MENJENGAH HINGGA KE RUMAH... Ditemani oleh Batin Noria, Dato' Sri Wan Rosdy yang dalam perjalan keluar Pos Iskandar setelah selesai majlis ini, telah singgah sebentar ke rumah seorang penghuni ini.


PALING MENDUKACITAKAN

Sehubungan itu, beliau melahirkan perasaan ‘paling mendukacitakan’nya apabila kelulusan untuk projek-projek infrastruktur seperti jalan di Pos Iskandar ini yang telah diberikan oleh Kerajaan Persekutuan pimpinan Barisan Nasional (BN) dulu, telah dibatalkan oleh parti memerintah sekarang.

“Sebenarnya, kalau mereka betul-betul prihatin kepada rakyat, mereka kena teruskan projek tersebut kerana projek tersebut untuk masyarakat Orang Asli, bukan untuk kepentingan-kepentingan tertentu sebagainya,” tegasnya.

Dalam ucapannya pada majlis yang sama sebelum itu, Ahli Parlimen Bera, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob telah mendedahkan betapa projek jalan menghubungkan Kampung Kuin/Lenguit ke Kampung Jelawat dalam kawasan Pos Iskandar yang diluluskan oleh BN sebelum ini, telahpun dibatalkan.

Selain Dato’ Sri Ismail Sabri dan Batin Noria; antara yang turut hadir pada majlis tengah hari Selasa ini ialah Ketua Hakim Syar’ie Negeri, Dato’ Sri Abdul Rahman Md Yunus; Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri, Dato’ Aziz Mat Kiram; Ahli-ahli MMK Negeri yang lain – Dato’ Sri Shahaniza Shamsuddin dan Dato’ Sri Norol Aazali Sulaiman;

Serta, Ahli Dewan Negeri kawasan Kemayan, Dato’ Mohd Fadil Osman; Ahli Parlimen Cameron Highlands, Encik Ramli Mohd Noor dan, Pegawai Daerah Temerloh yang menjalankan tugas-tugas Pegawai Daerah Bera, Dato’ Razihan Azaharuddin.

PENYAMPAIAN NOTIS 5A/HAKMILIK TANAH KEPADA 200 PENDUDUK SETEMPAT

Majlis Ramah Mesra Menteri Besar Bersama-sama Masyarakat Orang Asli di Pos Iskandar ini ialah acara pemula kepada lawatan rasmi 2-hari Menteri Besar ke daerah Bera ini.

Selepas menunaikan solat Isya’ di Masjid Daerah Bera disusuli makan malam, Dato’ Sri Wan Rosdy dijangka menyertai Sesi Santai Bersama Pemimpin Masyarakat Setempat di Rumah Rehat Bera.    

Pagi esok, Rabu, 16 Oktober, acara beliau bermula dengan Sesi Ramah Mesra Bersama Kakitangan Awam Daerah Bera disusuli sarapan pagi di Perkarangan Pejabat Daerah dan Tanah Bera.

Beliau kemudian akan ditaklimatkan mengenai pembangunan daerah Bera di Bilik Gerakan, PDT tersebut yang sesudah itu, akan mempengerusikan mesyuarat mingguan MMK Negeri di tempat yang sama.

Pada sebelah petang dan acara terakhir lawatannya ke daerah Bera ini, beliau akan berlepas ke Dewan Orangramai Kampung Bohor Bharu bagi menyempurnakan Majlis Penyampaian Notis 5A dan Suratan Hakmilik Tanah kepada 200 orang penduduk setempat – Khabar