Monday 30 March 2020

Lima lagi inisiatif, jadi 13 demi tangani kebajikan rakyat terkesan PKP COVID-19


Duduk Di Rumah Duduklah Kita,
Takpun Dipaksa Jadi Buruh Kerahan,
Inisiatif Kerajaan Demi Rakyat-jelata,
Hargailah Ia, Patuhilah Arahan

Takpun Dipaksa Jadi Buruh Kerahan,
Mak, Anak Rajin Buat Masakan,
Hargailah Ia, Patuhilah Arahan,
Penjarakan Sosial, Bersih Diutamakan.

ARAHAN DUDUK DI RUMAH SAHAJAPUN, BUKAN DIJADIKAN BURUH KERAHAN... 

NOTA EDITOR ;

Berikut disiarkan sepenuhnya, kenyataan media oleh Menteri Besar Dato' Sri Wan Rosdy Wan Ismail sepertimana dikeluarkan oleh Pejabat Setiausaah Akhbar kepada Menteri Besar petang Isnin, 30 Mac.

KENYATAAN MEDIA
MENTERI BESAR PAHANG

Lagi inisiatif Kerajaan Negeri tangani tempoh PKP COVID-19

01. Sepertimana semua sedia maklum, pada 23 Mac lepas, saya telah mengumumkan lapan (8) inisiatif yang diperkenal dan dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri dalam membantu rakyat yang terkesan dengan penularan wabak pandemik COVID-19 terutamanya dengan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang asalnya bermula 18 Mac sehingga 31 Mac, kemudian dipanjangkan kepada 14 April 2020.

02. Antara kelapan-lapan inisiatif itu termasuklah sumbangan tunai bernilai RM150 dan barangan keperluan bernilai RM50, kepada mereka khususnya dalam kalangan golongan yang memerlukan.

03. Setelah seminggu inisiatif-inisiatif ini diperkenal dan dilaksanakan terutamanya berkaitan sumbangan tunai dan barangan keperluan, sukacita saya katakan bahawa sehingga kini, seramai 18,000 orang telahpun menerima dan memanfaatkannya.
04. Lanjutan itu, sukacita saya umumkan pada hari ini, lima (5) lagi inisiatif terbaharu yang masih berteraskan menjagai kebajikan demi kesejahteraan rakyat.

05. Inisiatif-inisiatif ini ialah -

I) Sumbangan tunai RM100 dan barangan bernilai RM50 kepada 500 orang lagi penerima yang sangat memerlukan di semua 42 kawasan Dewan Negeri (DN) di Pahang.

Senarai penerima akan ditentukan dengan kerjasama Penghulu-penghulu serta Ketua Kampung-Ketua Kampung berkenaan.

Nilai peruntukan bagi melaksanakan inisiatif ini ialah RM3.15 juta.

II) Bantuan tunai RM300 kepada Penghulu-penghulu serta RM200 kepada Pengerusi-pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung (JKKK).

Terdapat 80 orang Penghulu dan 542 Pengerusi JKKK seluruh Pahang.

Nilai peruntukan yang disediakan untuk maksud ini ialah RM132,400.

III) Selain itu, Kerajaan Negeri juga telah meluluskan pemberian 500 kampit beras kepada semua 42 kawasan Dewan Negeri (DN) untuk disumbangkan juga kepada golongan yang memerlukan.

Nilai peruntukan untuk ini pula ialah RM304,500.

IV) Sumbangan barangan keperluan bernilai RM50 kepada 1,500 orang dalam kalangan miskin tegar di negeri ini.

Nilai peruntukan untuk bantuan ‘one-off’ ini ialah RM75,000.

V) Sumbangan tunai RM100 dan barangan keperluan bernilai RM50 kepada masyarakat Orang Asli di seluruh negeri, melibatkan 3,975 orang.

Nilai peruntukan untuk maksud ini ialah RM596,250.

06. Nilai keseluruhan untuk kelima-lima inisiatif yang diumumkan hari ini ialah RM4.258 juta.

07. Sebelum ini, nilai peruntukan bagi pelaksanaan lapan (8) inisiatif ialah RM14.99 juta.

Dengan itu, nilai keseluruhan 13 inisiatif termasuk lima (5) yang diumumkan hari ini ialah RM19.248 juta.

08. Semoga dengan ini, dapat saling melengkapi kepada usaha Kerajaan Persekutuan meringankan beban rakyat dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin (PRIHATIN), In Sya Allah.

(PANTUN)

Duduk Di Rumah Duduklah Kita,
Takpun Dipaksa Jadi Buruh Kerahan,
Inisiatif Kerajaan Demi Rakyat-jelata,
Hargailah Ia, Patuhilah Arahan

Takpun Dipaksa Jadi Buruh Kerahan,
Mak, Anak Rajin Buat Masakan,
Hargailah Ia, Patuhilah Arahan,
Penjarakan Sosial, Bersih Diutamakan.


YAB DATO' SRI WAN ROSDY BIN WAN ISMAIL
Menteri Besar Pahang
30 Mac 2020 – Khabar