Friday 6 March 2020

Pahang bakal tarik RM1,213 juta (RM1.213 billion) pelaburan Thailand

… menerusi pemeteraian dua (2) Perjanjian dan dua (2) lagi MoU dengan pelabur negara gajah putih itu.

MENJADI SAKSI... Dato' Sri Wan Rosdy yang diapit kanan dan kirinya oleh Dato' Jojie Samuel dan Dato' Sri Dr Sallehuddin; sedang menyaksikan majlis menandantangani dokumen yang berkenaan pada pagi Jumaat ini. 


kamarSUA, WISMA SRI PAHANG, KUANTAN – Pahang bakal menarik pelaburan bernilai RM1,213 juta (RM1.213 billion) dari negara Thailand dengan termeterainya Perjanjian dan Memorandum Persefahaman (MoU) dengan pelabur-pelabur negara itu pagi Jumaat, 6 Mac ini.

Majlis pemeteraian Perjanjian dan MoU ini berlangsung di sebuah hotel terkemuka di Bangkok sambil disaksikan oleh Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, dan Yang Dipertua Dewan Negeri, Dato’ Sri Ishak Mohammad.

Yang turut menyaksikan ialah Duta Malaysia ke Thailand, Dato’ Jojie Samuel M.C.Samuel, serta delegasi Kerajaan Pahang yang lain termasuklah Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Sri Dr Sallehuddin Ishak; dan Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri – Dato’ Sri Ir Mohd Soffi Abdul Razak, Dato’ Sri Mohd Johari Hussain, Dato’ Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff dan Dato’ Nazri Ngah.

Ini sepertimana kenyataan media yang dikeluarkan oleh Pejabat Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar di Wisma Sri Pahang, Kuantan pada tengah hari Jumaat ini.

Sebanyak dua (2) Perjanjian termeterai antara Perbadanan Setiausaha Kerajaan (PSK) dengan Green World Genetics bernilai pelaburan RM400 juta; dan antara Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) dengan AE Carbon Capital (Bentong), bernilai pelaburan RM380 juta.

'GROUP PHOTO'... 


PELABURAN BAGI TAMAN PENYELIDIKAN BENIH TROPIKAL GLOBAL

Pelaburan oleh Green World Genetics ialah bagi pembangunan Taman Penyelidikan Benih Tropikal Global termasuk pembinaan Pusat Latihan Inkubator Agropreneur di kawasan seluas kira-kira 518 hektar (1,280 ekar) di Gambang, Kuantan.

Pelaburan oleh AE Carbon Capital (Bentong) pula ialah bagi pembangunan Taman-Eko untuk pengeluaran pelbagai produk teknologi hijau bagi pasaran dalam dan luar negara di kawasan seluas kira-kira 11.33 hektar (28 ekar) di Bentong.

Dua (2) MoU pula termeterai antara PKNP dengan AE Carbon Capital (Bera) bernilai RM320 juta; dan antara PSK dengan Golden Sea Farm (Thai) Co Ltd bernilai pelaburan RM113 juta.

Pelaburan oleh AE Carbon Capital (Bera) ialah bagi pembangunan Taman Eko untuk pengeluaran pelbagai produk teknologi hijau bagi pasaran dalam dan luar negara di kawasan seluas 20.23 hektar (50 ekar) di Bera.

Pelaburan oleh Golden Sea Farm (Thai) Co Ltd pula ialah bagi pembangunan Taman Akuakultur termasuk pembinaan Pusat Penyelidikan dan Pembangunan di kawasan seluas 101.17 hektar (250 ekar) di Rompin.

SEDANG MENYAMPAIKAN UCAPANNYA... 


PENGHARGAAN BUAT DUTA MALAYSIA KE THAILAND

Dalam ucapannya pada majlis menandatangani Perjanjian dan MoU ini, Dato’ Sri Wan Rosdy berkata, majlis hari ini ialah susulan kepada usaha berterusan dalam mempromosi dan menarik pelaburan asing ke Pahang.

“Majlis ini ialah susulan kepada promosi ‘Invest Pahang’ yang berterusan yang dianjurkan menerusi pendekatan langsung (direct approach) dengan syarikat-syarikat yang berpotensi serta juga menerusi sesi ‘High Tea’ seperti yang dianjurkan Januari lepas di Hotel Marriott, Bangkok,” katanya.

Beliau menyatakan penghargaannya kepada Dato’ Jojie Samuel serta kakitangan Kedutaan Malaysia di Bangkok, yang telah memberikan kerjasama mereka dalam menjayakan majlis di kotaraya itu.

Beliau turut menyatakan penghargaan dan ucapan tahniah kepada Dato’ Sri Dr Sallehuddin serta pegarai-pegawainya, ekoran kejayaan penganjuran satu lagi sesi ‘Invest Pahang’ di sini.

“Belajar daripada pengalaman lampau, saya sedar bahawa kita tidak akan dapat memberi penyelesaian hanya menerusi set soal-jawab (Q&A) dan penyediaan panduan. Saya sangat percaya kepada perjumpaan bersemuka dan perbincangan.

PADA SESI PERJUMPAAN DAN PERBINCANGAN SEBELUM MAJLIS SEBENAR... 


‘DIRECT ENGAGEMENT’

“Oleh kerana kepercayaan inilah maka saya menegaskan supaya majlis seumpama ini diadakan bagi mendampingi bakal-bakal pelabur secara langsung (ENG; to directly engaged with potential investors),” tegasnya lagi.

Beliau juga berkata, Pahang menyediakan beberapa lokasi strategik kepada pelabur-pelabur antaranya ialah Kawasan Perindustrian Gebeng, Kuantan dan Taman Maritim Tanjung Agas, Pekan.

Dalam pada itupun katanya, Kerajaan Negeri sedang mengkaji lokasi yang paling sesuai di Kuantan, bagi pengwujudan Taman Aerospace Pahang sepertimana Taman Automatif yang sedia terdapat di Pekan.

Sebelum majlis menandatangani Perjanjian dan MoU ini, Dato’ Sri Wan Rosdy turut mengadakan sesi pertemuan dan perbincangan dengan kepemimpinan syarikat-syarikat Berli Jucker Public Ltd dan Garden Office Holdings Co, serta Dewan Perniagaan Thailand-Malaysia. – Khabar