Thursday 9 April 2020

RM200 tunai seorang kepada 670 pelajar anak Pahang di Timur Tengah


Kerajaan Negeri peruntukkan lagi RM134,000 menerusi sumbangan Yayasan Pahang

TEMUBUAL 'LIVE' PETANG KHAMIS... Bukan sahaja pelajar anak Pahang dalam negara yang dibantu, yang berada di luar negara turut dijagai kebajikan mereka sungguhpun sebahagian besarnya bukan pelajar tajaan YP. 

Begitulah amat ambil peduli, ambil beratnya Kerajaan Negeri pimpinan Dato' Sri Wan Rosdy kita.


Alamaya, INDERA MAHKOTA 5, KUANTAN – Selain 22 iniasitif yang telah Kerajaan Negeri perkenal dan laksanakan bagi membantu rakyat negeri terkesan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung wabak pandemik COVID-19;

Kerajaan Negeri juga turut menyediakan bantuan tunai RM200 seorang dengan peruntukan keseluruhan RM134,000, bagi membantu 670 pelajar anak Pahang yang kekal berada di Timur Tengah ketika ini.

Peruntukan ini ialah sumbangan Yayasan Pahang (YP) dan Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail ialah juga Pengerusinya.

Daripada 670 pelajar anak Pahang ini, 600 orang ialah di Mesir, 60 orang di Jordan dan 10 orang lagi di Maghribi. Sebahagian besar mereka bukan pelajar tajaan YP tetapi tetap diberikan bantuan atas dasar mengambil peduli atas kebajikan mereka di sana.

Ini dinyatakan oleh Dato’ Sri Wan Rosdy dalam Temubual Eksklusif Menteri Besar Bersama Radio Malaysia Pahang petang Khamis, 9 April di Kompleks Penyiaran Sultan Ahmad Shah (KOMPSAS), Kamunting dekat sini.         

BAYARAN SECARA ATAS TALIAN BERMULA 13 APRIL

“Senarai nama mahasiswa-mahasiswa ini diperolehi daripada Pegawai Atase Pendidikan YP di Mesir dan Yang DiPertua, Badan Kebajikan Pahang di Jordan,” kata Dato’ Sri Wan Rosdy.

“Bayaran akan dibuat secara atas talian ke akaun masing-masing bermula 13 April 2020. Semoga dengan sumbangan ini dapat meringankan beban perbelanjaan yang dihadapi dalam tempoh kawalan pergerakan akibat wabak COVID-19,” katanya lagi. – Khabar