Friday 29 May 2020

Tidak perlu pertandingan bagi PRK kawasan Chini.


“Biarlah DN Chini terus diwakili oleh calon dari UMNO sehingga tempoh penggal berakhir,” saran Persatuan Pengamal Undang-undang Generasi Felda Malaysia (PPUGFM)

PETANG RABU, 13 MAC 2019 LAGI... Perbincangan di pejabat Loji Rawatan Air (LRA) Chini bagi mencari daya-usaha memastikan bekalan air ke seluruh Chini yang terjejas, diatasi. Asalnya, peruntukan telah Kerajaan Persekutuan di bawah BN luluskan tetapi dihentikan apabila PH mengambil-alih tampuk pemerintahan. 

Kini, dengan jatuhnya Kerajaan PH dan kembalinya kita menguasai pemerintahan, insyaAllah, projek menaik-taraf LRA di sini akan diteruskan demi kesejahteraan penduduk DN Chini sekalian. 

Selain Menteri Besar Dato' Sri Wan Rosdy Wan Ismail serta Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri (duduk dari kiri)  - Dato' Sri Ir Mohd Soffi Abdul Razak, yang juga Pengerusi, Pengurusan Air Pahang Bhd (PAIP), Dato' Sri Norol Azali Sulaiman dan Dato' Nazri Ngah; ialah wakil rakyat DN Chini sendiri, Dato' Sri Abu Bakar Harun atau lebih dikenali sebagai 'Dato' Burn' atau Ayah Ngah (duduk, dua dari kanan) dalam kalangan penduduk Chini sekalian.      


Alamaya, INDERA MAHKOTA 5, KUANTAN – Sebuah lagi badan bukan Kerajaan (NGO) – Persatuan Pengamal Undang-undang Generasi Felda Malaysia (PPUGFM),
menyarankan agar tidak diadakan pertandingan bagi Pilihanraya Kecil (PRK) Dewan Negeri (DN) kawasan Chini yang ditetapkan pada 4 Julai ini.

Saranan ini dibuat bersandarkan alasan betapa apabila ada pertandingan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) demi membendung penularan wabak pandemik COVID-19 sekarang, hanya akan memudaratkan lagi keadaan.

Saranan ini juga dibuat sambil akur kepada hakikat tentang kehendak demokrasi serta undang-undang sama ada Undang-undang Tubuh Kerajaan Pahang mahupun Perlembagaan Negara, yang memerlukan PRK diadakan serta kekosongan jawatan sebagai wakil rakyat di situ, diisi.

“... kami dari PPUGFM terpanggil untuk menyarankan agar tidak perlu wujud pertandingan bagi kerusi DN Chini jika PRK dijalankan oleh SPR. Biarlah DN Chini terus diwakili oleh calon dari Umno sehingga tempoh penggal berakhir.

“Keputusan Pilihanraya Umum lepas bagi DN Chini juga menunjukkan bahawa sokongan pengundi kepada UMNO yang diwakili Allahyarham Dato’ Sri Abu Bakar Harun mendapat majoriti yang besar berbanding parti lawan.

BERI LALUAN KEPADA CALON BN SELAKU ‘INCUMBENT’

“Jika diambilkira kewujudan Muafakat Nasional (MN) pada masa kini, sudah tentu kita dapat mengagak parti manakah yang menjadi pilihan para pengundi DN Chini buat masa ini,” demikian saranan PPUGFM menerusi Presidennya, Encik Mohd Rosidi Hassan dalam kenyataan media yang dikeluarkan pagi Sabtu, 30 Mei ini.

Sebelum ini pada 21 Mei, NGO dari Kami Anak Felda (KAF) Wilayah Kuantan turut membuat gesaan yang sama dengan antara lain menyebut;

“Sehubungan dengan itu, KAF menyeru agar parti-parti politik sama ada dari Pakatan Harapan (PH) mahupun mana-mana calon Bebas tidak bertanding pada PRK N23 Chini dan memberi laluan kepada BN selaku penyandang jawatan.

“Tindakan tidak bertanding akan menjimatkan perbelanjaan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) Malaysia RM4.3 juta yang boleh digunakan bagi tujuan lebih penting seperti pembangunan ekonomi,” kata Pengerusi KAF Felda Chini Timur 1, Encik Ahmad Shahril Zailudin.

Berikut disiarkan sepenuhnya kenyataan media oleh PPUGFM tersebut –

ANTARA DEMOKRASI DAN KESELAMATAN NYAWA

‘Antara Demokrasi dan Keselamatan Nyawa’

Pada 15 Mei 2020 yang lepas, Pengerusi, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Azhar Azizan Harun telah mengumumkan PRK DN Chini akan diadakan pada tarikh 4 Julai 2020.

Kita sedar bahawa Perkara 22 (1) Bahagian Kedua Undang-undang Tubuh Kerajaan Pahang mengesahkan sesuatu kerusi Dewan Negeri akan menjadi kosong disebabkan oleh kematian ADN tersebut.

Kita juga akur bahawa Perkara 54 (1) Perlembagaan Persekutuan menetapkan supaya perlu diadakan PRK dalam tempoh 60 hari dari tarikh kekosongan berlaku dan kekosongan ini secara congaknya adalah melebihi tempoh dua (2) tahun sebelum berakhir tempoh penggal pilihanraya umum yang lalu.

Namun begitu, dalam usaha kita secara bersama untuk menangani penularan wabak Covid-19 yang kini merupakan satu ancaman serius kepada dunia di mana Malaysia juga tidak terkecuali menjadi sasaran penyebaran wabak ini, maka adalah menjadi satu kewajipan kepada kita untuk menyelamatkan nyawa berbanding tuntutan-tuntutan dan kehendak-kehendak yang lain. Ini selaras dengan ‘Maqosid Syariah’ yang dituntut Islam supaya menjaga nyawa dan keselamatan diri.

Tidak perlu lagi dihurai apakah wabak Covid 19 ini kerana bukan segelintir orang yang terkesan dengan penularannya, malah seluruh dunia tidak kira jantina, tidak kira usia, pangkat atau bangsa semuanya terjejas teruk disebabkan oleh wabak dahsyat ini. Ramai yang kehilangan sumber pendapatan, ramai yang menganggur dan paling menyedihkan ialah mereka yang kehilangan anggota keluarga dan insan tersayang disebabkan oleh serangan wabak ini.

Maka yang demikian, kami dari PPUGFM terpanggil untuk menyarankan agar tidak perlu wujud pertandingan bagi kerusi DN Chini jika PRK dijalankan oleh SPR. Biarlah DN Chini terus diwakili oleh calon dari UMNO sehingga tempoh penggal berakhir.

Keputusan Pilihanraya Umum lepas bagi DN Chini juga menunjukkan bahawa sokongan pengundi kepada UMNO yang diwakili Allahyarham Dato’ Sri Abu Bakar Harun mendapat majoriti yang besar berbanding parti lawan. Jika diambil-kira kewujudan Muafakat Nasional (MN) pada masa kini, sudah tentu kita dapat mengagak parti manakah yang menjadi pilihan para pengundi DN Chini buat masa ini.

Adakah saranan ini berlawanan dengan semangat demokrasi?

Kita tidak menidakkan tuntutan demokrasi bahkan kita sangat menyanjung tinggi amalan demokrasi di negara ini. Namun jika sekiranya SPR mempunyai satu kaedah lain pada masa akan datang yang dibenarkan secara undang-unadng untuk menjalankan pilihanraya secara atas talian misalnya, maka kami amat menyokong usaha ini supaya diangkat amalan demokrasi ini ke tempat yang selayaknya.

Namun, buat masa ini adalah lebih baik untuk tidak ada pertandingan bagi mengelakkan bencana yang lebih buruk kepada rakyat dan negara. Marilah kita sama-sama putuskan rantaian Covid-19 secara bersungguh-sungguh dan bersepadu. Insya Allah kita akan menang.

Mohd Rosidi Hassan
Presiden PPUGFM – Khabar