Thursday 25 June 2020

Pelaburan RM400 juta bagi penubuhan taman penyelidikan berkaitan benih tanaman tropika di Gambang, Kuantan; mula kerja tapak bulan depan (Julai)


“Jadi kita kena pergi ke arah itu (pembekalan makanan sebagai ‘food security’). Caranya salah satu ialah, kita pastikan mendapat benih yang baik, supaya ‘yield’nya akan menjadi (lebih) tinggi,” kata Menteri Besar

MELANCARKAN GTSRP...


BALLROOM 2, HOTEL CORUS, KUALA LUMPUR – Tidak sampai empat (4) bulan selepas menandatangani perjanjian di Bangkok pada 6 Mac lepas (2020), hari ini, projek bernilai pelaburan RM400 juta bagi penubuhan taman penyelidikan berkaitan benih tanaman tropika di Gambang, Kuantan dilancar, dan kerja-kerja tapak akan bermula bulan depan (Julai 2020).

Taman penyelidikan ini – Global Tropical Seeds Research Park (GTSRP) akan dimajukan oleh Green World Genetics Sdn Bhd (GWG) dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang (PKPP), atas tanah berkeluasan kira-kira 448.8 hektar (1,109 ekar) di Sungai Pohoi, Mukim Hulu Lepar, Gambang.

Ini turut bermakna, pusat penyelidikan milik GWG yang sedia ada di Chiang Mai, Thailand, dipindahkan ke Pahang.

Bakal dibangunkan sepenuhnya dalam tempoh lima (5) tahun, GTSRP disasarkan bagi menjadikan Pahang sebagai hab pertanian termaju di negara ini menjelang tahun 2025, dengan mencipta 1,000 peluang pekerjaan.

Di bawah Fasa 1 ini, GTSRP memerlukan 30 penyelidik berkelulusan kedoktoran dan sarjana; 50 pembantu penyelidik berkeluluan ijazah pertama; lagi 50 pembantu teknikal berkelulusan diploma dan sijil kemahiran; serta, 100 orang lagi untuk mengisi kekosongan jawatan pelbagai bidang.

HASIL BERKUALITI TINGGI YANG DIPAMERKAN...


BENIH HASILKAN ‘YIELD’/HASIL TINGGI

“… supaya setiap benih yang dihasilkan di sini akan mengeluarkan ‘yield’ atau hasil yang tinggi,” kata Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail pada persidangan media sempena Majlis Pelancaran GTSRP tengah hari Khamis, 25 Jun di sini.

“Sebagai contoh, kalau dalam keadaan biasa, padi contohnya – satu (1) ekar mungkin boleh mengeluarkan 4, 5 tan (seekar), tapi kalau ada benih yang baik seteleh dikaji, mungkin boleh dapat sehingga 12, 13 tan (seekar),” katanya.

Ketika ditanya wartawan tentang kemungkinan penubuhan GTSRP boleh menyumbang kepada pengukuhan faktor ‘food security’ negara katanya, sewajarnya ke arah itulah hendaknya.

“… supaya kita dalam keadaan apa sekalipun, tidak menghadapi masalah (pembekalan) makanan sebab makanan ialah sesuatu yang perlu yang tidak dapat tidak, harus kita sediakan kepada rakyat kita.

“Kita sekarang ini belum (bersedia menyediakan makanan mencukupi) sebagai contoh, (stok bekalan) beras kita cuma dapat bertahan selama tiga (3) bulan. Apa jadi sekiranya negara yang kita import – Thailand, Vietnam, India; apabila berlaku apa-apa mereka menghentikan ‘supply’ kepada negara kita?

MESRA-PELABUR – ANTARA TARIKAN FDI KE PAHANG

“Jadi kita kena pergi ke arah itu (pembekalan makanan sebagai ‘food security’). Caranya salah satu ialah, kita pastikan mendapat benih yang baik, supaya ‘yield’nya akan menjadi (lebih) tinggi,” katanya lagi.

Dato’ Sri Wan Rosdy turut ditanyakan tentang kemasukan Pelaburan Langsung Asing (FDI) ke Pahang serta sasaran Kerajaan Negeri untuknya pada tahun ini yang menurutnya, ialah kira-kira RM2,000 juta (RM2 billion) terutamanya dalam sektor-sektor pertanian dan perindustrian.

Dan antara tarikan negeri ini bagi kemasukan FDI ialah kerana Pahang antara lain, mengamalkan sikap ‘mesra pelabur’ – mengurangkan karenah birokrasi yang boleh melambatkan proses kemasukan pelaburan.

Selain itu, Pahang juga memiliki keluasan tanah dan bekalan air mencukupi, disamping menawarkan kemudahan infrastruktur yang baik kepada para pelabur dan golongan perniagaan.

Beliau turut menyentuh mengenai status terkini berkenaan 19 Memorandum Persefahaman (MoU) dan dua (2) Perjanjian yang telah ditandatangani dengan pelabur-pelabur asing dari Singapura (pada 2 Ogos, 2019), China (pada 20 September 2019) dan Thailand (pada 6 Mac 2020).

21 MoU/PERJANJIAN BERNILAI PELABURAN RM3,733 JUTA (RM3.733 BILLION)

Kesemua 21 MoU dan Perjanjian yang ditandatangani ini bernilai pelaburan kira-kira RM3,733 juta (RM3.733 billion) iaitu RM1,134 juta (RM1.134 billion) dari Singapura, RM1,386 juta (RM1.386 billion) dari China; dan, RM1,213 juta (RM1.213 billion) dari Thailand.

“Daripada (lebih) 20 syarikat yang kita sign Mou dan Agreement (Perjanjian), ada dua (2) sahaja yang tarik diri sebab tidak kesesuaian tanah dengan industri yang hendak dibangunkan,” katanya.

“Ini sekaligus saya hendak tolak tohmahan yang pelabur-pelabur lari dari Pahang kerana atas sebab-sebab tertentu seperti kenaikan kadar cukai tanah sebagainya. Ini tidak benarlah.

“Kalau tidak takkan Dr Chua datang melabur di Gambang, kemudian nak melabur pula ke Cameron Highlands. Lepas itu dia kata, kalau ada di tempat lain dia nak tambah lagi,” kata Dato’ Sri Wan Rosdy.

Dr Chua yang dimaksudkan ialah Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, GWG, Dr Chua Kim Aik dan beliau juga telah turut menyatakan persetujuan untuk melabur di Cameron Highlands di atas tanah berkeluasan 8.1 hektar (20 ekar).

EMPAT (4) DARIPADA 19 MoU SUDAH JADI PERJANJIAN

Berhubung status terkini FDI-FDI ini, maklumat diperolehi ialah, empat (4) daripada 19 MoU yang ditandatangani ketika itu kini, telahpun menandatangani Perjanjian yang lebih konkrit.

Keempat-empatnya ialah satu (1) dari Singapura dan tiga (3) dari China iaitu –

Satu (1) dari Singapura melibatkan Perjanjian antara Ananas Republic Private Limited dengan PKPP pada 15 Januari 2020. Projek bernilai RM10 juta ini ialah bagi pengeluaran nanas di kawasan seluas 101.2 hektar (250 ekar) di Pekoti Timur, Rompin. Malah, kerja-kerja menanam telahpun dimulakan.

Tiga (3) dari China pula melibatkan –

i) Zhongxin Resources Regeneration Technology Sdn Bhd bagi pengeluaran ‘specialty paper, grey board, pulp board, plastic particles’ bernilai pelaburan RM122.48 juta di MCKIP 1, Kuantan.

Perjanjian jual-beli tanah dengan pemaju MCKIP 1 telah ditandatangani manakala Lesen Pengilang telah lulus sejak Mei 2019. Kerja-kerja tapak dijangka bermula pada September 2020.

SELEBIHNYA SEDANG MEMUKTAMADKAN TERMA
ii) TNP Power Sdn Bhd bagi pembinaan kilang penjana bersepadu tenaga dan haba bersepadu (ENG; combined heat and power generation plant) bernilai pelaburan RM341.74 juta di MCKIP 1 juga.

Perjanjian jual-beli tanah dengan pemaju MCKIP 1 telah ditandatangani manakala prmohonan Lesen Janakuasa dibuat kepada Suruhanjaya Tenaga (ST) sejak Ogos 2019 dan sedang tunggu kelulusan. Kerja-kerja tapak dijangka bermula pada September 2020 juga.

iii) ND Paper (M) Sdn Bhd bagi pembinaan kilang pengeluar kertas dan palpa bernilai pelaburan RM522.2 juta di Taman Perindustrian Bentong.

Perjanjian antara syarikat/pelabur dengan Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) telah dilakukan pada 22 April 2020.

MoU selebihnya sama ada dalam peringkat sedang memuktamadkan terma dan syarat sebelum Perjanjian ditandatangani; mahupun peringkat melakukan kajian lanjut oleh pelabur-pelabur tersebut.

ANTARA YANG TURUT HADIR

Antara yang turut hadir pada majlis tengah hari Khamis ini selain Dato’ Sri Wan Rosdy yang juga Pengerusi PKPP, dan Dr Chua ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Sri Dr Salehuddin Ishak;

Ahli Exco Kerajaan Negeri, Encik Abd Rahim Muda yang juga wakil rakyat (BN – Lepar) kawasan GTSRP akan didirikan; Timbalan Pengerusi PKPP, Dato’ Sri Shahiruddin Ab Moin yang juga wakil rakyat (BN – Dong); dan, Ketua Pegawai Eksekutif PKPP, Dato’ Suhaimi Mohd Yunus. – Khabar