Saturday 12 September 2020

Ketegasan Kerajaan Negeri ramuan utama kejayaan pemulihan Sungai Ichat

… disemarakkan lagi dengan titah KDYMM Al-Sultan Abdullah mengenainya.

BEGITULAH BERSIH DAN SELAMATNYA AIR MENTAH SUNGAI ICHAT KINI, DATO' SRI WAN ROSDY BERSAHAJA MENGAUP DAN MEMINUM SERTA MEMBASAHI MUKANYA... Selain Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Sri Dr Salehuddin Ishak (bertopi putih); yang turut kelihatan dalam foto ini - separuh terlindung, ialah Penasihat Undang-undang Negeri, Dato' Sri Shamsulbahri Ibrahim dan Ahli Parlimen Cameron Highlands, Encik Ramli Mohd Noor (berjaket cokelat).


Oleh AHYA ALIMUDDIN

Alamaya, INDERA MAHKOTA, 5, KUANTAN – Ketegasan Kerajaan Negeri dalam menangani isu penerokaan tanah haram ialah ramuan utama kejayaan memulihkan kembali Sungai Ichat – daripada tercemar teruk Kelas 4, dalam kawasan tadahan air Terla, Cameron Highlands.

Ini disemarakkan lagi oleh keberangkatan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang diPertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang juga KDYMM Sultan Pahang, meninjau ke kawasan tersebut pada 7 September 2019, menitahkan;

“Kerajaan Pahang memang memandang serius perkara ini. Sebab itu tindakan meroboh dan ambil balik tanah (yang diceroboh) dipergiatkan dan Kerajaan Pusat sedang memerhati serta menyokong tindakan ini”.    

Hasilnya, tidak sampaipun satu setengah tahun (1 ½) sejak Februari 2019, Sungai Ichat – satu daripada dua (2) sungai yang mengalir dalam kawasan tadahan air Terla, Mukim Ulu Telom, kini sudah pulih dengan kandungan air mentahnya Kelas 1.

Inipun tanpa mengambil kira tempoh kira-kira enam (6) bulan kerja-kerja penguatkuasaan terpaksa dihentikan, susulan keputusan injunksi oleh Mahkamah Tinggi Kuantan yang dipohon oleh pekebun-pekebun haram terbabit, bermula 3 April hinggalah mereka juga yang memohon penarikannya pada 30 September 2019.   

FAIL FOTO - SUNGAI ICHAT TERUK TERCEMAR, KIRA-KIRA SATU SETENGAH TAHUN YANG LEPAS...
 

PULIH LEBIH SINGKAT DARIPADA DIJANGKAKAN

Dan tempoh satu setengah tahun (1 ½) ini jika hendak diikutkan, merupakan satu tempoh yang singkat kalau berdasarkan jangkaan tiga (3) tahun oleh Pensyarah Kanan, Fakulti Pengajian Alam Sekitar, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Mohd Yusof Ishak.

“Proses pembaikan tebing sungai mungkin boleh disiapkan dengan segera namun untuk memulihkan kualiti air sungai berkenaan memerlukan tempoh hampir tiga tahun dengan perancangan yang teliti serta pemantauan yang berterusan,” katanya sepertimana akhbar Utusan Malaysia melaporkan pada 11 September 2019.

Sebelum ini, pencemaran teruk Kelas 4 kepada Sungai Ichat telah menyebabkan rancangan asal menjadikannya penyumbang air mentah kepada Loji Rawatan Air (LRA) Kuala Terla bersama-sama Sungai Terla, tidak dapat dilakukan.

Dengan pulihnya kembali Sungai Ichat, kini – dengan sumbangan Sungai Terla sedia ada, boleh menjadi penyumbang air mentah mencukupi untuk diproses oleh LRA Kuala Terla menjadi air terawat bagi keperluan 70 peratus penduduk tanahtinggi ini.

Sebagai latar belakang, LRA Kuala Terla yang mula beroperasi tahun 2007 sebenarnya, berkapasiti memproses antara 780 meter padu sejam dan 800 meter padu sejam.

SEPERTIMANA TERSIAR DALAM AKHBAR UTUSAN MALAYSIA TERBITAN ISNIN, 14 SEPTEMBER 2020...


‘… NAK ‘MAINTAIN’, JAGA SUPAYA TAK BERULANG LAGI’

Namun, dengan Sungai Ichat yang tercemar lalu bergantung kepada cuma kepada Sungai Terla, menyebabkan LRA ini hanya mampu memproses dan merawat antara 480 meter padu sejam dan 550 meter padu sejam sahaja.

Kepada Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail yang melakukan lawatan kerja bersama-sama Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri serta para Ex-Officio petang Khamis, 10 September ke muka sauk, LRA Kuala Terla ini, beliau berpuas hati dengan kejayaan di Sungai Ichat.

“… hari ini, kita dapat lihat dengan mata kita sendiri, airnya sangat jernih seolah-olah seperti air mineral –  satu bukti yang sangat jelaslah bahawa tindakan penguatkuasaan terhadap pencemaran di gigi sungai sangat berjaya. Sekarang ini kita nak ‘maintain’, menjaga supaya ianya tidak berulang kembali”, tegasnya.

Bagi memastikan Sungai Ichat, Mukim Ulu Telom ini terus terpelihara, mesyuarat MMK Negeri pada 13 Mac 2019 lagi, telah meluluskan pewartaan kawasan terbabit dengan keluasan 121.12 hektar (300 ekar) sebagai Hutan Simpan Sungai Ichat.

Aktiviti kawalan termasuk penjagaan dan penanaman pokok bagi tujuan pemuliharaan, telah dilaksanakan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) sebaik sahaja tindakan penguatkuasaan selesai dijalankan.

SEPERTIMANA TERSIAR DALAM AHKBAR BERITA HARIAN TERBITAN ISNIN, 14 SEPTEMBER 2020 JUGA...

PELBAGAI SPESIS POKOK DITANAM

Selepas Ops Lestari 1 yang dilaksanakan pada 23 Februari 2019, JPNP telah memulihkan seluas 16 hektar kawasan Sungai Ichat, dengan penanaman 13,615 anak pokok dari spesis ‘Cupressus’, ‘Meranti Bukit’, ‘Merawan Siput Jantan’, ‘Rhu’, ‘Petai’, ‘Damar Minyak’ dan ‘Gerok’.

Susulan Ops Lestari 2 yang dilaksanakan pada 23 Disember 2019 pula, JPNP telah mengambil tindakan pantas dengan menanam 4,000 pokok daripada spesis ‘Damar Minyak’, ‘Merawan Siput Jantan’ dan ‘Meranti Bukit’, melibatkan kawasan seluas kira-kira 9.75 hektar.

Tindakan pantas ini bertujuan untuk mengelakkan pekebun-pekebun yang terbabit, melakukan semula aktiviti mereka di dalam kawasan tersebut.

Selain itu, tiga (3) aktiviti ‘CEPA’ atau Komunikasi, Pendidikan dan Kesedaran Awam; telah dilaksanakan bersama-sama dengan Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan universiti tempatan melibatkan Majlis Belia Negeri (MBN) Pahang, Sultan Ahmad Shah Environmental Trust (SASET), dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL).

Hasilnya, seluas 12.25 hektar kawasan Hutan Simpan Sungai Ichat telah dipulihkan dengan menanam sebanyak 11,200 anak pokok daripada pelbagai spesis.

KUNCI KATANYA – KETEGASAN, DAN TINDAKAN SUSULAN PENUH KOMITED

Sehingga kini, seluas 38 hektar kawasan Hutan Simpan Sungai Ichat telah dipulihkan melalui penanaman 28,815 anak pokok. Baki kawasan yang belum ditanam akan ditanam secara kontrak.

Kunci katanya di sini ialah ketegasan, dan tindakan susulan secara penuh komited bagi menjayakan aspek-aspek pemuliharaan dan pemeliharaan di Sungai Ichat, Mukim Ulu Telom, Cameron Highlands ini.

Inilah ramuan yang terbukti berjaya yang kita percaya, akan terus diguna-pakai dan dijayakan oleh Kerajaan Negeri kepemimpinan Dato’ Sri Wan Rosdy dalam menangani banyak lagi isu penerokaan tanah haram di negeri ini. – Khabar