Thursday 10 September 2020

Sungai Ichat sudah pulih, kandungan air mentah kini Kelas 1

... hasil ketegasan Kerajaan Negeri dalam meneruskan kerja-kerja penguatkuasaan dan pembersihan/pemulihan

BEGITULAH BERSIHNYA, HINGGA BOLEH DIMINUM TERUS...  Aksi kepercayaan penuh Dato' Sri Wan Rosdy pada tahap kebersihan air mentah Sungai Ichat ini. 


MUKA SAUK, LOJI RAWATAN AIR (LRA) KUALA TERLA, MUKIM ULU TELOM, CAMERON HIGHLANDS – Ekoran ketegasan Kerajaan Negeri dalam meneruskan kerja-kerja penguatkuasaan ke atas tanah-tanah diterokai haram hingga mencemarkan kawasan tadahan air Terla di sini, disusuli kerja-kerja pembersihan dan pemulihan;

Hasilnya, tidak sampaipun dua (2) tahun sejak Februari 2019, Sungai Ichat – satu daripada dua (2) sungai yang mengalir dalam kawasan tadahan air Terla, kini sudah pulih dengan kandungan air mentahnya Kelas 1.

Sebelum ini, pencemaran teruk Kelas 4 kepada Sungai Ichat telah menyebabkan rancangan asal menjadikannya penyumbang air mentah kepada Loji Rawatan Air (LRA) Kuala Terla di sini bersama-sama Sungai Terla, tidak dapat dilakukan.

Dengan pulihnya kembali Sungai Ichat, kini – dengan sumbangan Sungai Terla sedia ada, boleh menjadi penyumbang air mentah mencukupi untuk diproses oleh LRA Kuala Terla menjadi air terawat bagi keperluan 70 peratus penduduk tanahtinggi ini.

(LRA Kuala Terla yang mula beroperasi tahun 2007 sebenarnya, berkapasiti memproses antara 780 meter padu sejam dan 800 meter padu sejam. Namun, dengan Sungai Ichat yang tercemar lalu bergantung kepada cuma kepada Sungai Terla, menyebabkan LRA ini hanya mampu memproses dan merawat antara 480 meter padu sejam dan 550 meter padu sejam sahaja).

PERTEMUAN ANTARA SUNGAI TERLA DAN SUNGAI ICHAT YANG SUDAH DIPULIHKAN...

‘INI ADALAH SATU KEJAYAAN’

Inilah yang dikatakan oleh Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail pada persidangan media sempena lawatan kerjanya bersama-sama Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri serta para Ex-Officio petang Khamis, 10 September ke sini.

“Ketika itu, saya telah difahamkan bahawa tahap pencemaran air Sungai Ichat ini ialah Kelas 4. Hari ini, saya telah dimaklumkan oleh CEO PAIP mengatakan bahawa tahap Sungai Ichat pada hari ini ialah Kelas 1.

“Dan ini adalah satu kejayaan,” katanya, sambil menyingkap kembali ketegangan ekoran bantahan para peneroka haram terbabit hingga tertanggguhnya kerja-kerja penguatkuasaan ‘Ops Lestari 2’ – sepatutnya bermula 1 April 2019, akibat 23 pekebun haram memperolehi perintah injunksi daripada Mahkamah Tinggi Kuantan.

Pada 30 September bagaimanapun, merekalah juga telah menarik balik perintah injunksi tersebut. Susulan itu, mesyuarat Jawatan Tindakan Bersama Pemulihan Cameron Highlands yang pengerusikannya bersama dengan Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Dato’ Sri Dr Wan Aizah Wan Ismail pada 9 Disember 2019, memutuskan agar ‘Ops Lestari 2’ dilancarkan semula bermula 16 Disember 2019.

“… Kerajaan Negeri tetap bertegas untuk meneruskan tindakan, kerana kita dapati air di Sungai Ichat ini telah tercemar. Dan sebelum apa-apa perkara yang lebih buruk berlaku, tindakan segera perlu diambil.

KEPRIHATINANNYA...

‘KERAJAAN NEGERI SANGAT BERPUAS HATI’

“Tambahan pula di Cameron Highlands ini kita dapati, lebih daripada 500 hektar (atau, 532.05 hektar) tanah yang telah dicerobohi dan di Sungai Ichat ini sahaja, lebih kurang 100 lebih hektar (atau, 121 hektar),” katanya lagi.

Kepada soalan wartawan TV3 sama ada beliau berpuas hati dengan hasil yang diperolehi hari ini kata Dato’ Sri Wan Rosdy; “Kerajaan Negeri sangat berpuas hati dan hari ini kita dapat lihat dengan mata kita sendiri, airnya sangat jernih seolah-olah seperti air mineral.

“Dan ini satu bukti yang sangat jelaslah bahawa tindakan penguatkuasaan terhadap pencemaran di gigi sungai sangat berjaya. Sekarang ini kita nak ‘maintain’, menjaga supaya ianya tidak berulang kembali”. – Khabar