Thursday 12 November 2020

Belanjawan Negeri 2021 – Belanjawan Negeri kali ketiga Dato’ Sri Wan Rosdy bentangkan

Belanjawan Negeri 2019 bernilai RM703.8 juta yang dibentang pertama kali pada Isnin, 19 November 2018 (kira-kira enam (6) bulan selepas pelantikan); telahpun mencatatkan kejayaan dengan pencapaian kira-kira 120 peratus. 

PUSAT PENTADBIRAN SULTAN AHMAD SHAH (PPSAS) YANG BAKAL SIAP DALAM TEMPOH BELANJAWAN NEGERI 2021, INSYAALLAH...
 

kamarSUA, WISMA SRI PAHANG, KUANTAN – Diam tak diam, Belanjawan Negeri 2021 ialah Belanjawan Negeri ketiga akan dibentangkan oleh Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail pada Isnin, 16 November ini. 

Ia bakal dibentangkan pada Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-3 Dewan Negeri Pahang Ke-14 yang akan berlangsung lima (5) hari bermula 16 November hinggalah Jumaat, 20 November, di sini. 

Untuk rekod, Dato’ Sri Wan Rosdy dilantik sebagai Menteri Besar Ke-15 kira-kira 2 ½ tahun lepas pada 15 Mei 2018 dan beliau ialah juga Pengerusi Jawatankuasa Perancangan, Kewangan, Tanah, Sumber Asli, Tenaga dan Air Negeri.

Belanjawan Negeri 2019 bernilai RM703.8 juta yang dibentang pertama kali pada Isnin, 19 November 2018 (kira-kira enam (6) bulan selepas pelantikan); telahpun mencatatkan kejayaan dengan pencapaian kira-kira 120 peratus.

Jangkaan hasil ialah RM703.8 juta tetapi kutipan hasil sebenar pada akhir tahun 2019 ialah RM847.3 juta, atau lebihan RM143.5 juta (bersamaan dengan lebihan kira-kira 20 peratus).


‘TREND’ POSITIF KEWANGAN NEGERI

Belanjawan Negeri 2020 bernilai RM744.02 juta yang dibentang kali kedua pada Isnin, 18 November 2019 juga berjaya - disebalik kekangan COVID-19 dan langkah-langkah ketat membendungnya bermula Mac 2020.

Kejayaan itu bersandarkan pencapaian 91.49 peratus setakat 30 Oktober 2020, atau RM680.74 juta dan dijangka ‘surpassing the 100 percent mark’ menjelang 31 Disember 2020. 

Belanjawan Negeri 2021 yang akan dibentang kali ketiga oleh Dato' Sri Wan Rosdy pada Isnin, 16 November 2020 bertemakan - Kemakmuran Negeri, Manfaat Bersama. 

Dengan ‘trend’ yang positif ini, sasaran Belanjawan Negeri sebanyak RM1,000 juta (RM1 billion) dijangka boleh dicapai dalam tempoh dua-tiga tahun akan datang, In Sya Allah.  – Khabar