Friday 20 November 2020

Tak berasas dan tebalnya syak-wasangka Ahli Dewan Negeri pembangkang!

… dengan bantahan termasuk tindakan biadap keluar Dewan, setelah Rang Undang-undang berkaitan pelantikan tidak lebih lima (5) Ahli Dewan Negeri (Dilantik), diluluskan menurut suara majoriti.  

AKSI DATO' SRI WAN ROSDY PADA SESI PERSIDANGAN DEWAN NEGERI PAGI JUMAAT... 


kamarSUA, WISMA SRI PAHANG, KUANTAN -- Tiba-tiba sahaja ketenangan petang Jumaat, 20 November dalam Dewan Negeri yang dingin, bertukar kalut dan riuh apabila lapan (8) Ahli Dewan Negeri pembangkang (tidak termasuk seorang yang bercuti) seperti ternampak hantu.

Ia tatkala Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail menyudahkan ucapan mengusulkan Rang Undang-undang (RUU) berkaitan pelantikan tidak lebih (5) Ahli Dewan Negeri (Dilantik) pada hari terakhir Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-3 Dewan Negeri Ke-14 yang bersidang sejak Isnin, 16 November lepas .

Palantikan ini sebagai tambahan kepada 42 Ahli Dewan Negeri sedia ada, yang beradanya mereka setelah dipilih pada Plihanraya - kebanyakannya Pilihanraya Umum (PRU) lepas tahun 2018, dan seorang menerusi Pilihanraya Kecil (PRK) Chini Julai lepas.

RUU yang dimaksudkan ialah Enakmen Undang-undang Tubuh Kerajaan Pahang (Bahagian Kedua) (Pindaan) 2020, yang melanjutkan ayat sedia ada pada Perkara 18 yang berakhir dengan - ahli-ahli yang dipilih’; dengan ayat tambahan ‘dan tidak lebih daripada lima (5) orang Ahli yang Dilantik’.

Negeri-negeri Sabah dan Terengganu sebelum ini, telahpun membuat pindaan yang hampir sama lalu berlakulah juga pelantikan Ahli-ahli Dewan Negeri (Dilantik) ke dalam Dewan Negeri masing-masing.  

JUSTIFIKASI PINDAAN IALAH DEMI PERKHIDMATAN TERBAIK KEPADA RAKYAT

Dua (2) Ahli Dewan Negeri - kedua-duanya dari DAP, bangun membantah. Seorang berkata, tiada keperluan bagi pindaan ini sementelah Kerajaan memerintah sudah ada majoriti besar dalam Muafakat Nasional (MN), dan seorang lagi menuduh ia tidak demokratik, kononnya satu contoh kemasukan Ahli Dewan Negeri menerusi ‘pintu belakang’.

Dakwaan-dakwaan ini tentu mudah sahaja ditolak, apabila Dato’ Sri Wan Rosdy juga sendiri menempelak betapa, oleh sebab majoriti besarlah -- UMNO memiliki 24 kerusi, PAS, lapan (8) dan MCA, satu (1) menjadikan 33 kerusi atau lebih 2/3 daripada kesemua 42 kerusi Dewan Negeri; maka ia bukannya alasan bagi Kerajaan Negeri mengemukakan pindaan RUU ini.

(Jika menurut seorang Ahli Dewan Negeri pembangkang itu, beliau lebih percaya kepada kewajaran Kerajaan Sabah mewujudkan kerusi Ahli Dewan Negeri (Dilantik) demi menambah bilangan Ahli Dewan yang menyokong Kerajaan Negeri tersebut, yang ketika itu mempunyai majoriti tipis berbanding kerusi-kerusi milik parti pembangkang).      

Alasan dan justifikasi sebenar antara lain ialah, pelantikan tambahan melibatkan Ahli Dewan Negeri (Dilantik) ini akan mampu mengurangkan nisbah atau ‘ratio’ secara keseluruhan seorang Ahli Dewan Negeri kepada jumlah penduduk di negeri ini.

Dengan nisbah yang dikurangkan sudah tentu mutu perkhidmatan yang disumbangkan oleh seseorang Ahli Dewan Negeri -- sama ada dipilih atau dilantik; akan menjadi semakin baik demi manfaat rakyat-jelata juga.

NISBAH SEORANG AHLI DEWAN NEGERI KEPADA LUAS PAHANG, LEBIH BESAR LAGI

Apatah pula Pahang merupakan sebuah negeri yang luas, malah terbesar di Semenanjung Malaysia. Berukuran 3.6 juta hektar, luas Pahang ialah kira-kira gabungan keluasan tiga (3) negeri iaitu Kelantan, 1.5 juta hektar, Terengganu, 1.3 juta hektar dan Selangor, 793,000 hektar.

Dengan keluasan ini sudah tentu nisbah seorang Ahli Dewan Negeri kepada luas kawasan menjadi lebih besar berkali-kali ganda lagi maka sangat wajarlah ianya dikecilkan dengan pewujudan lebih ramai Ahli Dewan Negeri termasuk menerusi kaedah Ahli Dewan Negeri (Dilantik).

Maka, setelah berhujah dan hujah kedua-dua Ahli Dewan Negeri pembangkang ini dipatahkan termasuk oleh bekas Menteri Besar yang juga Ahli Dewan Negeri (BN - Pelangai), Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob tentang mungkin yang bakal dilantik Ahli Dewan Negeri (Dilantik) ini nanti ialah dalam kalangan golongan Orang Asli yang tiada wakil mereka dalam Dewan Negeri setakat ini;

Dan kemudian, Yang Dipertua Dewan meminta Ahli-ahli Dewan Negeri membuat keputusan yang menyaksikan majoriti suara yang menyokong pindaan RUU ini; sepatutnya lapan (8) Ahli Dewan Negeri pembangkang bersikap budiman dengan menerima keputusan demokratik itu.

Tetapi tidak, seperti ‘budak-budak kalah main guli’, dengan bangga mereka bertindak keluar Dewan yang mulia ini. Jadi, apakah yang boleh kita rumuskan daripada tindakan ini jika tidak, biadaplah namanya.      

TEKS PENUH

Berikut disiarkan teks Menteri Besar ketika mengemukakan RUU berkenaan.  

CADANGAN

PEWUJUDAN AHLI DEWAN NEGERI (DILANTIK)

MENERUSI ENAKMEN UNDANG-UNDANG TUBUH KERAJAAN PAHANG (BAHAGIAN KEDUA) (PINDAAN) 2020

MESYUARAT KE-3 PENGGAL KE-3 DEWAN NEGERI KE-14

20 NOVEMBER 2020 (JUMAAT)

Yang Berhormat,

Tuan Yang Dipertua.

Kerajaan mencadangkan pindaan ini bertujuan untuk mewujudkan Ahli-ahli Dewan Negeri (Dilantik) tanpa melalui proses pilihanraya, bagi menduduki dan menyertai Dewan Negeri sebagai Ahli-ahli Yang Berhormat.

Jumlah yang dicadangkan tidak lebih lima (5) orang, menjadikan keseluruhan Ahli Dewan Negeri tidak lebih 47 orang, termasuk 42 Ahli Dewan Negeri sedia ada, yang dipilih menerusi proses pilihanraya.

Oleh itu, Perkara 18 Bahagian Kedua Undang-undang Tubuh Kerajaan Pahang perlu dipinda dengan memasukkan selepas ayat ‘ahli-ahli yang dipilih’ dengan ayat ‘dan tidak lebih daripada lima (5) orang Ahli yang Dilantik’.

Sehubungan dengan itu, Perkara-perkara 18A, 18B dan 18C baharu juga dimasukkan.

Perkara 18A antara lain menetapkan, pelantikan Ahli Dewan Negeri (Dilantik) hendaklah atas usul yang disokong oleh sekurang-kurangnya tujuh (7) Ahli Dewan Negeri dan diluluskan dengan majoriti mudah.

Perkara 18A juga turut menentukan, hak Ahli Dewan Negeri (Dilantik) untuk mengambil bahagian dalam perbahasan di Dewan Negeri serta jawatankuasa yang dia dilantik sebagai Ahli, dan untuk turut mengundi.

Di bawah Perkara 18A yang sama juga menyebut, tiada seorangpun Ahli Dewan Negeri (Dilantik) layak dilantik sebagai Menteri Besar ataupun Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Perkara 18B ialah berkenaan hal-hal penamatan pelantikan Ahli Dewan Negeri (Dilantik).

Manakala Perkara 18C ialah berkaitan Perkara-perkara 19, 20, 21, 24, 25, 28 dan 31 yang sedia ada, adalah turut terpakai ke atas seseorang Ahli Dewan Negeri (Dilantik).     

Pindaan ini sudah tentu akan melibatkan perbelanjaan tambahan kepada Kerajaan Negeri tetapi jumlahnya belum dapat ditentukan setakat ini.

Yang Berhormat,

Tuan Yang Dipertua.

Sebelum saya mengulas lanjut, sukalah saya memaklumkan kepada Dewan yang mulia ini bahawa pindaan yang dicadang bagi pelantikan Ahli-ahli Dewan Negeri (Dilantik), bukanlah sesuatu luar biasa atau dengan izin, ‘abnormal’.

Sebelum daripada inipun, Kerajaan-kerajaan Sabah dan jiran kita Terengganu, telahpun melaksanakannya. Kerajaan Pahang dengan itu, hanya menuruti dengan izin, ‘precedent’ atau pemula, yang telah dilakukan oleh kedua-dua negeri tersebut.

Secara kronologinya, pindaan ini telah diangkat ke mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Ke-29/2020 pada 22 Julai 2020, yang kemudian memberi persetujuan supaya ia diperhalusi oleh Yang Berhormat, Penasihat Undang-undang Negeri.

Pada 3 Ogos 2020, Mesyuarat Pasca MMK yang dipengerusikan oleh Yang Berhormat Setiausaha Kerajaan bersetuju agar beberapa justifikasi dan implikasi dilakukan.

Pada 2 Oktober 2020, Mesyuarat Penyelarasan Cadangan Penambahan Ahli Dewan Negeri yang dipengerusikan oleh Yang Berhormat, Penasihat Undang-undang Negeri telah memperincikan justifikasi dan implikasi tersebut.

Dan pada hari ini, 20 November 2020, pindaan ini dibentangkan pada persidangan Dewan Negeri ini untuk mendapat sokongan dan kelulusan, In Sya Allah.

Yang Berhormat,

Tuan Yang Dipertua.

Adapun pindaan ini dibuat ialah berasaskan beberapa justifikasi atau pertimbangan, dan antaranya ialah –

01. Pelantikan Ahli Dewan Negeri (Dilantik) dipercayai akan dapat meluaskan perkhidmatan Kerajaan Negeri kepada rakyat-jelata, terutamanya dalam situasi politik dan sosio-ekonomi yang mencabar akibat penularan wabak pandemik COVID-19 yang belum pasti kesudahannya.    

02. Ahli Dewan Negeri (Dilantik) tentunya akan dibuat dalam kalangan mereka yang berkaliber dan berkemahiran tertentu, dengan ini dapat berganding bahu bersama Ahli-ahli Dewan Negeri untuk menyumbangkan perkhidmatan terbaik demi kesejahteraan rakyat-jelata.

03. Pelantikan tambahan melibatkan Ahli Dewan Negeri (Dilantik) ini juga mampu mengurangkan nisbah atau ‘ratio’ secara keseluruhan seorang Ahli Dewan Negeri kepada jumlah penduduk yang diwakilinya.

Dengan ini, perkhidmatan seseorang Ahli Dewan Negeri termasuk Ahli Dewan Negeri (Dilantik) akan menjadi lebih berkesan lagi, In Sya Allah.

04. Dengan adanya Ahli Dewan Negeri (Dilantik) ini juga, ia akan menjadi daya saling melengkapi atau dengan izin, ‘complementary’ BUKAN pertindihan, kepada perkhidmatan Ahli Dewan Negeri sedia ada.

Dengan ini juga dapat melengkapkan malah meningkatkan lagi perkhidmatan Ahli-ahli Dewan Negeri secara keseluruhannya kepada rakyat-jelata.

Yang Berhormat,

Tuan Yang Dipertua.

Sekian sahaja hujah yang hendak saya sampaikan. Dengan ini saya berharap, akan mendapat sokongan Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian.

Saya mohon mencadangkan.

Wabillahitaufik Walhidayah, Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. -- Khabar