Thursday, 8 August 2013

Meriahnya Rumah Terbuka Menteri Besar


… sempena Hari Raya Aidil Fitri 1434 Hijrah, apatah lagi dengan keberangkatan KDYMM Sultan Pahang dan DYMM Sultanah Pahang serta KDYTM Tengku Mahkota Pahang


NOTA EDITOR

Berikut disiarkan foto-foto yang sempat dirakamkan, pada Majlis Rumah Terbuka Menteri Besar sempena Hari Raya Aidil Fitri 1434 Hijrah pada Khamis, 8 Ogos di Dewan Jubli Perak Sultan Hj Ahmad Shah, Kuantan.

Ia jelas menunjukkan hubungan akrab antara sesama umara’ – KDYMM Sultan Pahang dengan Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob; serta antara umara’ dengan rakyat-jelata berbilang kaum yang turut menghadiri Majlis Rumah Terbuka yang menurut jadual asalnya ditetapkan bermula 10 pagi dan berakhir pada 3 petang.

Oleh kerana hubungan akrab 'tri-partite' inilah yang terus menjamin kemakmuran negeri dan kesejahteraan rakyat-jelata juga. 

KEAKRABAN SESAMA UMARA' KITA... Detik ini dirakamkan ketika KDYMM Sultan Pahang baharu berangkat tiba, disambut oleh Dato' Sri DiRaja Adnan. Turut kelihatan ialah isteri kepada Menteri Besar, Datin Sri DiRaja Junaini Kassim. 

BAGINDA TUANKU, DENGAN RAKYAT-JELATA BAGINDA... Yang turut mengiringi serta menyusuli di belakang ialah DYMM Sultanah Pahang. 

KDYTM TENGKU MAHKOTA, TURUT BERKENAN BERANGKAT SAMA... 

KHALAYAK YANG HADIR... Mungkin boleh disyorkan dan ditegaskan agar rakyat-jelata yang hadir, hendaklah berpakaian lebih sopan, bukannya dengan secara tangkap-muat sahaja termasuk yang berseluar pendek. 

SEGMEN HIBURAN BAGI PELBAGAI KAUM... Dua (2) warganegeri berketurunan Cina dan seorang warga asing dari Libya ini tidak segan-silu untuk tampil menari, dengan menurut rentak-irama lagu dendangan penyanyi sebuah kugiran yang ditempah untuk menghiburkan khalayak pada Majlis Rumah Terbuka ini. 

SAJIAN ENAK, MENYELERAKAN, BERTARAF HOTEL... Semuanya demi meraikan rakyat-jelata ke Majlis Rumah Terbuka Menteri Besar ini.

SUASANA SURAU BAHARU DINAIK-TARAF, DI KAWASAN REHAT DAN RAWAT (R&R) TEMERLOH ARAH BARAT (MENGHALA KE KUALA LUMPUR)...  Penulis sempat merakamkan suasana dalaman surau yang baharu dinaik-taraf di kawasan R&R berkenaan, ketika berhenti menunaikan solat jamak/qasar melibatkan Zohor dan Asar, dalam perjalanan pulang untuk berHari Raya ke kampung di Batu Lapan, Hulu Kinta, Perak, selepas hadir sebagai petugas pada Majlis Rumah Terbuka Menteri Besar.

Lihatlah begitu menarik dan lapangnya surau ini. Konsep terbukanya adalah mirip konsep yang sama yang telah lama diwujudkan di surau-surau binaan PLUS Bhd bagi laluan Lebuhraya Utara-Selatan meliputi jajaran Bukit Kayu Hitam di utara, hingga ke Johor Bharu di selatan. 

Jika tiru yang baik, tidak ada apa yang salah bukan? - Khabar  



Wednesday, 7 August 2013

Selamat Hari Raya Aidil Fitri 1434 Hijrah



Alamaya, INDERA MAHKOTA 5, KUANTAN – Umat Islam di negeri dan negara ini akan menyambut Hari Raya Aidil Fitri pada esok, Khamis, 8 Ogos bersamaa 1 Syawal 1434 Hijrah.

Ini sepertimana diumumkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-raja, Dato’ Sri Syed Danial Syed Ahmad pada siaran menerusi Radio dan Telivisyen Malaysia (RTM) malam ini.

“Bagi menyempurnakan titah perintah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, setelah diperkenankan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, dengan ini saya mengisytiharkan tarikh Hari Raya Puasa bagi negeri-negeri seluruh Malaysia ditetapkan pada hari Khamis, 8 Ogos 2013," katanya.

Sepertimana kelaziman, Majlis Rumah Terbuka Menteri Besar, Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob akan diadakan pada hari esok juga, 8 Ogos, bermula 10 pagi dan berakhir 3 petang bertempat di Dewan Jubli Perak Sultan Hj Ahmad Shah, Kuantan.

Sebelum itu, Dato’ Sri DiRaja Adnan dijangka turut mengiringi KDYMM Sultan Pahang bagi menyempurnakan solat sunat Aidil Fitri di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1, Kuantan juga. 

TAKBIR RAYA DI SURAU AL-MUHAJIRIN... Foto ini dirakam semasa Imam, Encik Nasharuddin Mohd Salim yang juga bekas Setiausaha, Dewan Undangan Negeri (DUN) memimpin takbir Hari Raya sesudah selesai mengimamkan solat Isyak pada malam Rabu, 7 Ogos di Surau Al-Muhajirin, di sini. – Khabar     


Tuesday, 6 August 2013

Terawih terakhir?

MARILAH KERJAKAN SEMBAHYANG... Bilal sedang beriqamah, mengajak jemaah Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 untuk menunaikan solat Isyak, disusuli kemudian dengan solat Terawih pada malam Selasa, 6 Ogos bersamaan Ramadhan ke-29 sebaik-baik masuk waktu Maghrib sebelum itu. 
  

MASJID NEGERI SULTAN AHMAD 1, KUANTAN – Inikah solat Terawih terakhir kita pada malam ini, Selasa, 6 Ogos bersamaan Ramadan ke-29, 1434 H (sebaik-baik masuk waktu Maghrib tadi)?

Adakah apa-apa jaminan bahawa kita – yang kecil, yang remaja, yang dewasa dan yang tua, akan terus hidup bagi menikmati bulan Ramadan dan mengerjakan solat Terawihnya lagi pada tahun depan, 2014 bersamaan 1435 Hijrah?

Wallahu’alam.


RUANG MENGAMBIL WUDHU YANG SELESA... Ini merupakan ruang mengambil wudhu yang lebih selesa, yang terdapat pada surau lelaki di tingkat 2, sebuah kompleks membeli-belah yang kini dimiliki oleh syarikat dari negara jiran di selatan tanahair. 


LANTAI DALAM SURAU YANG KEMAS & MODERN... Adakah syarikat asing lebih tahu menghargai para pengunjungnya (yang dengan itu menyumbang kepada keuntungan syarikatnya juga) yang kebanyakannya ialah orang Melayu/Islam; lalu tidak kedekut untuk berbelanja sedikit bagi menyediakan kemudahan ruangan surau yang lebih besar, kemas dan selesa ini? - Khabar  
  

Thursday, 1 August 2013

"Janganlah lari dari pegangan kita - berpegang kepada al-Quran dan Sunnah Rasulullah," saran-tegas Dato' Sri DiRaja Adnan


…  dan umat Islam di negeri dan negara ini juga disaran tidak lari daripada Mazhab Shafie, yang tergolong dalam kalangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.  


DALAM UCAPAN RINGKAS TETAPI PADATNYA...
 
PERKARANGAN, MASJID SULTAN HJ AHMAD SHAH, SIMPANG PELANGAI, BENTONG – Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob menyarankan agar umat Islam di negeri dan negara ini, terus berpegang kepada al-Quran dan Sunnah Rasulullah S.A.W.

Selain menyarankan agar mereka tidak lari daripada Mazhab Shafie, iaitu satu daripada empat Mazhab yang tergolong dalam kalangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.  

Saranan-saranan ini dibuatnya dalam pada negara dan umat Islam, sedang dilanda isu tentang berleluasanya Syiah – ajaran yang telah diisytiharkan sebagai sesat oleh pihak berkuasa agama negara ini.   

“… ancaman kepada ugama Islam kita sekarang ini banyak, berbagai-bagai. Oleh sebab itu saya berharap, kita janganlah lari dari pegangan kita, berpegang kepada al-Quran dan sunnah rasulullah.

“Dan jangan lari dari mazhab kita, mazhab (dalam kalangan) Ahli Sunnah Wal Jamaah, salah satu darinya ialah Mazhab Shafie,” saran Dato’ Sri DiRaja Adnan dalam ucapan ringkas 7-minit pada Majlis Berbuka Puasa dan Kesyukuran, petang Khamis, 1 Ogos bersamaan 23 Ramadan, di sini.

SUMBANGAN KEPADA YANG MEMERLUKAN...
 
CARA SEMBAHYANGPUN LAIN  

Menurutnya, beliau difahamkan betapa ‘ramai juga’ umat Islam di negara ini yang terjebak dengan ajaran sesat itu.

“Saya telah menengok salah satu klip video menunjukkan bagaimana mereka bersembahyang. Lain sangat daripada orang. Lain sangat daripada kita. Ingatlah itu,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai perkara yang sama pada persidangan media kemudian, Dato’ Sri DiRaja Adnan meminta umat Islam agar tidak mengamalkan apa-apa perkara atau perbuatan yang tidak disebut di dalam al-Quran dan Sunnah Rasulullah.

“Kalau lain dari al-Quran, lain dari hadith Rasulullah; tidak ada sebut dalam Quran, tidak sebut dalam Hadith sesuatu perbuatan itu, jangan ikut. InsyaAllah, kita akan selamat.

“Dan, ini juga pesan Rasulullah dalam haji selamat tinggal, haji wida’ Rasulullah. Makna, selagi kita pegang kepada dua ini iaitu al-Quran dan Sunnah Rasulullah, kita tidak akan tersesat,” tegasnya.

HADIRIN MEMENUHI MAJLIS... Inilah khayalak yang hadir pada petang Khamis.

 
AGUNG-AGUNGKAN GURU-GURU LEBIH DARIPADA RASULULLAH

Sejak turun-temurun pula katanya, umat Islam di negeri dan negara ini, berpegang kepada Mazhab Syafie yang dalam kalangan Ahli Sunnah Wal Jamaah, yang oleh kerana itulah juga katanya;

“Kita tak dapat ‘reconcile’ dalam kepala otak kita, bagaimana ada orang boleh menerima ajaran selain ini – Orang yang mengagung-agungkan guru-guru lebih daripada Rasulullah”.

Beliau menjelaskan betapa mengagung-agungkan dan memberi penghormatan kepada sesama manusia, adalah dua (2) perkara yang berbeza.  

“Kepada Raja kita, cara hormatnya macam mana. Kepada ketua kita, cara hormatnya macam mana. Kepada ibubapa kita, cara hormatnya macam mana. Kepada guru-guru kita, cara hormatnya macam mana. Itu penghormatan, lain (dengan mengagung-agungkan).

“Yang masalahnya ialah mengikut kata-kata daripada guru-guru, cikgu-cikgu (hingga mengagung-agungkan mereka) yang tidak berpandu kepada Quran dan Sunnah Rasulullah. Ini kitapun pelik,” katanya lagi.
   
                                   
TAWA SEORANG PEMIMPIN SEBELUM MULAKAN PERSIDANGAN MEDIA...

 
PENDIDIKAN TENTANG AJARAN AGAMA DIPERLUASKAN

Menurutnya, mereka yang tersesat, mungkin berhujah bersandarkan hadith-hadith tertentu tetapi hadithpun ada banyak kategori – yang sahih, yang lemah, yang palsu, dan yang bohong.

“Jadi kita, jangan larilah dari pegangan datuk-nenek kita yang berpegang kepada Mazhab Shafie, Ahli Sunnah Wal Jamaah. Kalau tidak, kita sesat, na’uzubillah,” tegasnya.

Dato’ Sri DiRaja Adnan seterusnya memberitahu, pada mesyuarat Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Malayu Pahang (MUIP) yang dipengerusikan oleh KDYTM Tengku Mahkota Pahang baru-baru ini, ada berbincang mengenai isu berkenaan serta mengambil beberapa keputusan.

“Dalam (mesyuarat) Majlis tersebut, kita ada tokoh-tokoh ugama – Prof Emeritus Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin, Prof  Dato’ Mokhtar Shafie, Dato’ Dr Munir Yaakob; kita berbincang.

“Dan antara langkah-langkah yang akan diambil ialah langkah-langkah untuk memberi pendidikan kepada umat Islam dan mengkaji undang-undang sedia ada, dan (berkaitan usaha-usaha) penguatkuasaan,” katanya.

Antara yang turut hadir pada Majlis Berbuka Puasa dan Kesyukuran ini ialah Pegawai Daerah Bentong, Dato’ Toantowee Mohd Lotfie; Ketua Polis Daerah Bentong, Supt Mohamad Mansor Mohd Nor; dan Pengurus Besar, Divisyen Kemasyarakatan, Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER), Encik Zulkifli Yaacob. – Khabar


Tuesday, 30 July 2013

Tambahan 100 lagi meja judi di Genting?


… berdasarkan laporan berita dalam akhbar Star, keluaran 31 Julai pada halaman 3 ruangan StarBiz.

Laporan berita ini mengutip CIMB Research sebagai membuat jangkaan tersebut, lanjutan kepada pengumuman pelaburan RM3,000 juta oleh Genting Malaysia Bhd untuk menaik-taraf resort bersepadunya – Resorts World Genting (RWG) di Genting Highlands, Bentong.

Adalah diharapkan bahawa laporan berita ini merupakan spekulasi semata-mata, maka pihak-pihak berkenaan perlu segera tampil menafikannya.

KOTA KERIANGAN...


Alamaya, INDERA MAHKOTA 5, KUANTAN – Benarkah projek RM3,000 juta bagi menaik-taraf ‘kota keriangan’ Resorts World Genting (RWG) di Genting Highlands, akan turut melibatkan pertambahan lagi 100 meja judi di sana?

Ini selain daripada apa yang telah diuar-uarkan untuk membelanjakan kira-kira RM400 juta daripadanya, bagi pembinaan semula taman temanya, dengan usahasama syarikat perfileman Amerika Syarikat, 20th Century Fox. 

Jika menurut laporan berita dalam akhbar Star, keluaran hari ini, 31 Julai pada halaman 3 ruangan StarBiz, begitulah yang dibayangkan di bawah tajuk berbentuk soalan – ‘100 more tables for Genting?’.

Laporan berita ini mengutip badan penyelidikan CIMB Research sebagai membuat jangkaan tersebut, lanjutan kepada pengumuman pelaburan RM3,000 juta oleh Genting Malaysia Bhd untuk menaik-taraf resort bersepadunya itu (RWG).

Jangkaan tambahan 100 meja judi oleh CIMB Research itu dikatakan berasaskan kepada 1,300 bilik hotel baharu yang bakal dibina dan disiapkan, di bawah pelaburan RM3,000 juta tersebut, menjelang tahun 2015.

JUMLAH 100 MASIH JANGKAAN ‘KONSERVATIF’?

Malah, CIMB Research turut menyebut betapa jangkaannya itu masih dikira kecil atau  ‘konservatif’.

Genting Malaysia Bhd menurutnya, boleh sahaja menaikkan bilangan meja judinya kepada 300 buah jika RWG mahu sandarkan kepada amalan di negara-negara lain yang menetapkan bilangan meja judi kepada kadar tiga hingga lima bilik hotel kepada sebuah meja judi.

Apapun bilangannya, dan jikalah benar laporan berita ini, sewajarnya Kementerian Kewangan – pihak berkuasa yang bakal dipohon untuk mendapatkan lesen bagi pertambahan tersebut, menolaknya mentah-mentah.

Kita mungkin boleh menerima hasrat konglemerat berkenaan untuk melabur ribuan juta ringgit bagi meningkatkan lagi taraf resort bersepadunya di sana termasuk kepada taman temanya, tetapi bukanlah dengan turut menambahkan prasarana perjudiannya.

Sungguhpun kita juga tahu betapa perolehan daripada sektor inilah penyumbang terbesar kepada seluruh operasi RWG tetapi, ‘cukup-cukup’lah. Mohon bawalah ia ke negara-negara lain yang ia turut punya pelaburan di sana.

CUKUP-CUKUPLAH

Perlu diingat, ada sebuah lagi resort di sebuah lagi tanahtinggi yang sudah lama mengidam-idamkan untuk mendapat lesen bagi maksud yang sama, atas alasan kononnya ia tidak akan maju dan setanding RWG jika tidak turut memperolehi lesen berkenaan.

Sekiranyalah permohonan RWG ini dilayan, sudah pasti menjadi sebab dan alasan kukuh bagi resort yang satu lagi ini untuk menggerakkan usahanya semula yang sudah sekian lama terbantut, bagi memiliki lesen tersebut.

Cukup-cukuplah. – Khabar
    

Sunday, 21 July 2013

Antara dua (2) darjat?


… berkaitan keadaan surau di sebuah kompleks membeli-belah di Kuantan
  
CANTIKNYA HIASAN, DI RUANGAN 'MAIN CONCOURSE'... 

DI BAWAH SILING YANG TERLOPONG...  


Alamaya, INDERA MAHKOTA 5, KUANTAN – Bersyukur kita kerana di kebanyakan kompleks membeli-belah milik swasta bukan Melayu/Islam di negara ini, ada dikhususkan tempat untuk umat Islam – muslimin mahupun muslimat, mengerjakan solat.

Namun, setimpalkah apabila tempat yang disediakan itu dilihat seolah-olah tidak diselenggarakan dengan baik hingga boleh sahaja timbul keraguan, kot-kot penyediaan tempat itu sekadar mahu melepas batuk di tangga?

Inilah yang penulis musykilkan sejak sekian lama, hanya pada kunjungan bagi mengerjakan solat Asar petang Ahad, 21 Julai di surau, tingkat 3, kompleks membeli-belah milik sebuah konglomerat terkenal negara itu, baharu mendorong kepada tulisan ini.

Penulis tidak mahu bersifat menghukum, hingga mungkin berlaku tidak adil kepada pihak pengurusan kompleks membeli-belah berkenaan. Yang penulis hendak lakukan ialah menimbulkan persoalan untuk sama-sama difikirkan jawapan dan kesimpulannya.  

Persoalannya; Tidak mengapakah bahawa tempat yang dikhaskan ini terletak bersebelahan dengan tandas – tandas lelaki dan wanita? Tidak mengapakah juga apabila ruang yang diberikan agak sempit?

HIASAN INDAH, SAMBUT PENGUNJUNG... Menjangkakan pulangan lumayan daripada kos promosinya?

LAGI SILING YANG TERLOPONG... Tiada pulangan?

MASIH TETAP KHUSYUK BERSOLAT... 


SILING TERLOPONG

Tidak mengapakah apabila mendongak ke atas ternampak, siling yang pada bahagian-bahagian tertentunya terlopong, manakala pada kepingan yang ada terkesan tompok-tompok bekas lelehan air?

Dan, tidak mengapakah apabila melihat ke bawah, ialah lantai lepa simen yang dihampar tikar getah di atasnya yang semakin lusuh warna hijaunya?  

Bandingkan keadaan ini dengan surau di sebuah kompleks membeli-belah lain yang berdekatan, milik asal sebuah syarikat tempatan yang kemudian dijual kepada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) milik Kerajaan di seberang Tambak Johor sana.

Bukan sahaja ruangan yang disediakan luas – baik ruang solat mahupun untuk mengambil wudhu’, malah lebih kontemporari sepertimana kontemporari pada luaran kompleks membeli-belah tersebut, mahupun dalamannya.

Dan pula penulis dapati, tak sampaipun setahun kompleks membeli-belah ini ‘jatuh’ kepada pegangan asing, sudahpun telah dilakukan kerja-kerja penambah-baikan kepada ruangan suraunya itu – untuk muslimin di tingkat 1, dan muslimat di tingkat 2.

Mungkin pengurusan kompleks membeli-belah yang penulis sedang perkatakan ini, mahu mempelajari sesuatu daripadanya? – Khabar


Thursday, 18 July 2013

Berbuka puasa dengan media tempatan

KUIH MUIH UNTUK WARTAWAN... Dato' Shahaniza sedang menyampaikan 'goodies' berupa kuih-muih Raya sumbangan bersama Yayasan Pahang (YP), Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) dan Lembaga Kemajuan Perusahaan Pertanian (LKPP) Negeri Pahang, kepada wartawan dari akhbar Cina yang turut hadir. 

Yang turut kelihatan ialah Encik Abdul Wahab.    


Alamaya, INDERA MAHKOTA 5, KUANTAN – Anggota-anggota media tempatan – wartawan, jurufoto, jurukamera dan para ‘blogger’ dari kumpulan ‘Pahang-ku’, telah diraikan pada Majlis Iftar petang Khamis, 18 Julai bersamaan 9 Ramadan di sebuah hotel tepian laut di Teluk Chempedak, dekat sini.

Pengerusi, Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Komunikasi dan Multimedia Negeri, Dato’ Shahaniza Shamsuddin yang mewakili Menteri Besar, telah hadir meraikan mereka.

Yang turut hadir ialah Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar, Encik Abdul Wahab Mohamad Ali.

Selain majlis berbuka puasa, mereka – kira-kira 100 orang termasuk dalam kalangan wartawan dan jurufoto dari akhbar-akhbar Cina, telah turut diberikan cenderahati berupa kuih Raya sumbangan Yayasan Pahang (YP), Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) dan Lembaga Kemajuan Perusahaan Pertanian (LKPP) Negeri Pahang.

Dato’ Shahaniza yang diiringi oleh Encik Abdul Wahab, telah menyampaikan cenderahati ini kepada mereka.

MELAYAN-BERI, DAGING KAMBING PANGGANG... Dato' Shahaniza sedang melayan-berikan kepingan daging kambing panggang kepada wartawan.

DIBUAI MUZIK TRADISIONAL OLEH '3-PIECE BAND' INI... Buat santapan halwa telinga. - Khabar  

Wednesday, 10 July 2013

Berpuasa kita weh...



Alamaya, INDERA MAHKOTA 5, KUANTAN – Ramadhan al-Mubarak menjelma lagi dan hari ini, Rabu, 10 Julai, ialah hari pertama umat Islam di negara ini memulakan ibadah puasa mereka.

Jika pada siangnya umat Islam mengerjakan ibadah tersebut – menahan diri daripada lapar dan dahaga, serta perkara-perkara yang boleh membatalkannya; malamnya dipenuhi dengan mengerjakan solat sunat Terawih yang bermula sejak selepas Isya', Selasa, 9 Julai lagi.

Maka malam ini, Rabu, 10 Julai, ialah malam kedua menunaikan ibadah tersebut yang di negeri ini telah ditetapkan, masjid-masjid dan surau-surau mengerjakan penuh 20 rakaat, disusuli (3) rakaat solat sunat Witir.  

Namun, sepertimana biasa, ahli-ahli jemaah termasuklah penulis, lebih tertumpu untuk mengerjakan setakat lapan (8) rakaat kemudian berhenti, dan masing-masing pulanglah meninggalkan rumah ibadat berkenaan dengan jumlah jemaah yang ketara kurang.

Kebiasaannya pula, keketaraan ini akan semakin terserlah menjelang pertengahan bulan yang mulia ini, yang mungkin juga – jika kita mahu bersangka baik, kebanyakan kita telahpun mengambil cuti panjang untuk pulang ke kampung halaman untuk berHari Raya.   

SUASANA DI SURAU AL-MUHAJIRIN... Foto ini dirakam dari bawah khemah di sisi bangunan surau Al-Muhajirin, Indera Mahkota 5, Kuantan pada malam Rabu, 10 Julai atau malam kedua umat Islam menunaikan solat sunat Terawih. 

Lihat banyaknya kasut yang menandakan besarnya jumlah jemaah, sebahagian besarnya juga disumbangkan oleh anak-anak pelajar Kolej Antarabangsa IKIP dan Pusat Pembangunan Kemahiran Pahang (PSDC). Kedua-dua institusi pengajian tersebut menyewa beberapa blok bangunan milik PASDEC dekat sini, dan dijadikan asrama.  


ANALOGI TENTANG KEHADIRAN JEMAAH

Berkenaan dengan jemaah ini, ia ada disentuh oleh Encik Badli Shah Alauddin yang diundang berceramah sempena Majlis Penyampaian Sumbangan Ramadhan anjuran Badan Amal dan Kebajikan Isteri Wakil-wakil Rakyat Pahang (TERATAI) petang Isnin, 8 Julai di Dewan Jubli Perak Sultan Hj Ahmad Shah, dekat sini.

Beliau analogikan tentang kehadiran jemaah ke solat sunat Terawih di masjid-masjid dan surau-surau seumpama sebuah kejohanan bolasepak yang mana, pasukan yang bertanding tentulah banyak di peringkat pusingan tetapi mengecil pada peringkat separuh akhir, dan, akhir.

Begitulah katanya, pada 10 Ramadhan pertama, masjid-masjid dan surau-surau penuh dikunjungi; tetapi mengecil pada 10 malam berikutnya; dan, terus mengecil pada 10 malam terakhir bulan tersebut.

Secara berjenaka beliau berkata betapa, sewajarnya ‘Lailatul Qadar’ yang dicari sebaliknya, ‘Lailatul Qamdar’ – yang seolah-olah merujuk kepada sebuah gedung membeli-belah terkemuka di bandar ini; yang ditemui. – Khabar
     



Tuesday, 9 July 2013

Asalkan layak dan memerlukan!

… tentang kriteria pemberian bantuan pendidikan – pinjaman dan biasiswa Yayasan Pahang, tanpa sebarang kuota atau menurut kaum dan fahaman politik

RIANG, CERIA BERSAMA MENTERI BESAR... Seorang budiman, bersama-sama anak-anak pelajar 'creme de la creme'.


DEWAN JUBLI PERAK SULTAN HJ AHMAD SHAH, KUANTAN – Asalkan layak dan memerlukan. Dan pula, tanpa penetapan apa-apa kuota atau mengambil-kira latar-belakang kaum dan fahaman politik.  

Inilah sandaran utama Yayasan Pahang (YP) dalam menghulurkan bantuan-bantuan pendidikan – termasuk biasiswa dan pinjaman; kepada anak-anak Pahang, sepertimana ditegaskan oleh Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob;

“Kepada ibubapa saya nak beritahu. Yayasan Pahang ini tak ada pilih(-pilih). Layak sahaja, jalan… Apa yang menyebabkan layak? Pertama, pelajar itu cemerlang. Kedua, pelajar itu dari golongan yang susah tapi cemerlang, ha kita bagi.

“Tak kira Cina, Melayu, India, kita bagi semua. Kita tak kira fahaman politik emak-ayah masing-masing.,.,” katanya dalam ucapan luar teks 21-minitnya pada Majlis Kecemerlangan Pendidikan Negeri Pahang 2013 – Hadiah Menteri Besar Pahang (HMBP) petang Selasa, 9 Julai di sini.

“Kita tak ada kuota. Tak ada kuota untuk Orang Asli, tak ada kuota untuk orang Melayu, Cina, India tak dak…

MENTERI BESAR BERSAMA PENERIMA-PENERIMA HMBP... Selain Dato' Sri DiRaja Adnan bersama-sama dengan penerima HMBP yang terdiri daripada pelbagai kaum; yang turut kelihatan ialah Encik Norul (sebelah kanan Dato' Sri DiRaja Adnan); Dato' Ahmad Munawar (kanan sekali) dan Dato' Saariah.


MEMBERI, SEBAB LAYAK

“Kuota kita ialah; kelayakan dan keperluan seseorang itu! Dia perlu, dia layak, ha itu kuota, ambillah awak,” tegas Dato’ Sri DiRaja Adnan yang juga Pengerusi YP.

Beliau turut mengisahkan tentang maklumat yang diperolehi, ada ibubapa yang anak mereka ditaja YP bagi pembelajaran di Mesir, tetapi memberi sokongan kuat kepada parti pembangkang pada pilihanraya umum lepas.

Ekoran itu, beliau diminta oleh banyak pihak supaya membuat keputusan menarik balik tajaan berbentuk biasiswa yang diperolehi oleh anak pasangan ibubapa tersebut tetapi,  “Saya kata tak boleh. Biarlah,” katanya, disusuli tepukan para hadirin tanda menghargai sikap budimannya.

“Sebab, kita memberi bukan sebab emak-ayah dia orang PAS atau orang UMNO, atau orang DAP, atau orang PKR.

“Kita beri mereka hadiah, kita beri mereka biasiswa, pinjaman; sebab mereka layak. Itu yang penting,” katanya disambut tepukan lagi. “Tapi kalau boleh, bila dah anak dapat biasiswa tu, ayahya undi UMNO lagi elok…,” disambut pula dengan ketawa kecil tanda bersetuju.

HADIRIN, PENUHI DEWAN...


PATI SEGALA PATI, CRÈME DE LA CRÈME

Dato’ Sri DiRaja Adnan  turut berkata betapa anak-anak pelajar yang hadir pada majlis petang Selasa ini – yang seramai 302 orang, ialah golongan ‘pati segala pati’ atau ‘cream of the cream’, yang dalam Bahasa Perancis, ‘crème de la crème’.

“Anak-anak yang ada ni – ‘cream of the cream’, ‘crème de la crème’, pati sagala pati ini, insyaAllah, pada satu masa nanti, akan menjadi pemimpin-pemimpin dalam bidang masing-masing,” yang disusuli tepukan.

“Mungkin (apabila berada di alam pekerjaan selepas belajar, akan) ada (yang) jadi Pengurus Besar, Yayasan Pahang. Mungkin ada juga jadi Tan Sri. Mungkin juga menjadi ahli Exco. Mungkin juga menjadi Menteri Besar,” katanya sambil menasihatkan mereka untuk terus rajin belajar.

Beliau juga mengulang-sebut tentang peruntukan besar – kira-kira RM757 juta yang dimanfaati oleh kira-kira 740,000 anak Pahang; yang telah YP sumbangkan demi pendidikan, sejak penubuhannya pada tahun 1983 semasa Dato’ Sri Mohd Najib Abdul Razak ialah Menteri Besar.     

Selain Pengurus Besar, YP, Dato’ Saariah Saad; yang turut hadir pada majlis yang menyaksikan dewan penuh dengan kehadiran sama ibubapa kepada 302 pelajar; serta, para guru khususnya daripada 66 sekolah cemerlang ialah;

SERAH/TERIMA SIJIL PENGHARGAAN...


YANG TURUT HADIR

Ahli-ahli Lembaga Pemegang Amanah YP, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman, Dato’ Mohamad Jaafar, yang juga Timbalan Speaker, Dewan Undangan Negeri, dan, Dato’ Ahmad Munawar Abdul Jalil;

Ahli-ahli Exco Kerajaan Negeri, Encik Norul Azali Sulaiman dan Syed Ibrahim Syed Ahmad; Ketua Polis Negeri, DCP Dato’ Sharifuddin Ab. Ghani; dan, Timbalan Pengarah, Pelajaran Negeri, Encik Rosdi Ismail. – Khabar

Monday, 8 July 2013

Wujudkan peruntukan larangan menghina Raja-raja dalam Akta Hasutan, tegas Menteri Besar


… selain itu, Kerajaan Negeri juga mahu kajian menyeluruh dibuat ke arah mewujudkan ‘sedikit-sebanyak’ ‘regulation’ bagi bendungi gejala fitnah dalam media maya

SINGGAH KE MAJLIS ANJURAN TERATAI... Disebalik sibuk dengan persidangan Dewan Undangan Negeri, Dato' Sri DiRaja Adnan masih mahu hadir pada Majlis Penyampaian Sumbangan Ramadhan kepada masjid-masjid, surau-surau - setiap satu di kesemua Dewan Undangan Negeri, serta, pusat-pusat pemulihan dalam komuniti (PDK) sebanyak 39 buah di seluruh negeri; petang Isnin, 8 Julai di Dewan Jubli Perak Sultan Hj Ahmad Shah, Kuantan. 

Foto ini dirakam ketika Dato' Sri DiRaja Adnan hendak berjalan keluar selepas menyampaikan ucapannya. Beliau perlu berkejar pula ke Kompleks Yayasan Pahang, Tanjung Lumpur kerana menghadiri taklimat tertutup mengenai sistem baharu pemilihan bagi kepimpinan UMNO peringkat nasional. 


DEWAN UNDANGAN NEGERI, WISMA SRI PAHANG, KUANTAN – Wujudkan peruntukan tentang larangan menghina Raja-raja dalam Akta Hasutan, dan, lakukan  kajian menyeluruh bagi mengadakan peraturan demi membendung gejala fitnah dalam media maya.

Inilah dua (2) perkara utama yang dibawa oleh Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob pada sesi soal-jawab sebelah pagi, dan semasa mencelah ketika penggulungan perbahasan sebelah tengah hari, persidangan Dewan Undangan Negeri, Isnin, 8 Julai di sini.   

“… yang pentingnya insya-Allah, Kerajaan Negeri akan menulis kepada pihak SKMM (Kerajaan Persekutuan) supaya perbuatan menghina Raja-raja ini mesti dibuat undang-undang khusus.

“Kalau dalam Sedition Act itu – yang salah seorang pemimpin pembangkang (yakni) Naib Ketua PKR cadangkan supaya dihapuskan dan telahpun dijawab oleh Menteri Keselamatan Dalam Negeri, ianya tidak akan dihapuskan;

“Maka dalam Sedition Act ini, Akta Hasutan ini, wajar dimasukkan satu perkara khusus iaitu larangan menghina Raja-raja,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan ketika menjawab soalan yang dikemukakan oleh Dato’ Mohd Suhaimi Mohd Shah (BN – Sungai Lembing).

HULUR SUMBANGAN... Isteri Menteri Besar, Datin Sri DiRaja Junaini Kassim yang juga Yang Dipertua, Badan Amal dan Kebajikan Isteri Wakil-wakil Rakyat Pahang (TERATAI) sedang bermesra dengan para penerima. 

Yang turut kelihatan ialah Speaker, Dewan Undangan Negeri, Dato' Ishak Mohamad yang sepemergian awal Menteri Besar, telah mewakili beliau menyampaikan sumbangan berupa wang tunai masing-masing RM1,000 untuk masjid dan surau, dan, RM1,200 untuk setiap PDK. Wang tunai ialah untuk kegunaan penerima menganjurkan aktiviti 'moreh' pada bulan puasa Ramadhan bermula Rabu, 10 Julai. 


SKMM PERLU BERSUNGGUH-SUNGGUH KUATKUASAKAN UNDANG-UNDANG

Dalam pada itu katanya, SKMM atau Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia, hendaklah menguatkuasakan ‘dengan bersungguh-sungguh’ undang-undang yang ada berkaitan dengan media maya.

“Kita hanya tahu ada penguatkuasaan jika ada pendakwaan dijalankan. Setakat ini, tidak banyak pendakwaan dijalankan. Sedangkan kita tahu, fitnah ini berleluasa,” katanya sambil menyebut beberapa undang-undang sedia ada.  

Antaranya; Seksyen 500, Kanun Keseksaan mengenai fitnah; Seksyen 4 (1) (B) Akta Hasutan 1948 , yang menyebut tentang apa-apa perkataan yang disifatkan menghasut, serta, Seksyen 233, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, tentang penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

Saranan agar Kerajaan Persekutuan lakukan kajian bagi mengadakan peraturan demi membendung gejala fitnah dalam media maya pula ada Dato’ Sri DiRaja Adnan sebut semasa mencelah ketika Ahli Exco Kerajaan Negeri, Dato’ Ir Mohd Soffi Abdul Razak menggulung perbahasan bagi pihak Jawatankuasa Negerinya, terhadap usul menjunjung kasih atas titah KDYMM Sultan Pahang merasmikan Dewan Undangan Negeri ini.

“Kerajaan Negeri akan menulis secara rasmi kepada Kerajaan Persekutuan, supaya media sosial, media maya ini, diberikan sedikit-sebanyak ‘regulation’, maknanya diselaraskan; supaya tidak membuta-tuli menghentam atas nama demokrasi, atas nama ‘fundamental rights’.

DATIN SRI DIRAJA JUNAINI, BERSAMA-SAMA PARA PENERIMA... 


‘GOOGLE’PUN TIDAK DAPAT DICAPAI DI NEGARA CHINA

“Kita akan cadangkan supaya pihak Kerajaan buat kajian sepenuhnya dan menghantar rombongan pergi ke Amerika (Syarikat) yang terdapat luasnya, bebasnya, penggunaan media maya ini.


“Dan pergi juga ke Singapura dan juga negara China, bagaimana ‘googgle’pun tidak dapat ‘access’ (mudah-capai). Kita perlu hantar rombongan pergi ke Singapura, pergi ke China, belajar bagaimana sikit-sebanyak media mayanya boleh diselaras dan dikawal,” katanya lagi. – Khabar