Tuesday, 20 March 2012

Anak-anak Melayu Pekan pengeluar kereta Mercedes-Benz terbaik dunia!

KERETA MEWAH MERCEDES-BENZ, PEKERJA WANITA MELAYU KITA DAN SCHUMACHER... Tiadalah yang lebih membanggakan melihat foto ini yang menunjukkan pekerja wanita Melayu kita sedang melaksanakan operasi pemasangan kereta mewah Mercedes-Benz sambil diperhatikan oleh kedua-dua pelumba Formula One ternama dunia -- Michael Schumacher (kanan sekali) dan Nico Rosberg. 


Oleh Alamaya

KOMPLEKS AUTOMOTIF DRB-HICOM, KAWASAN PERINDUSTRIAN PERAMU JAYA, PEKAN – Siapa sangka anak-anak Melayu kita ialah tenaga-kerja pemasang kereta mewah Mercedes-Benz yang mutu pengeluarannya lebih baik daripada yang dikeluarkan di kilang asalnya di negara Jerman!

Dan anak-anak Melayu yang kebanyakannya tinggal di kawasan dan kampung-kampung persekitaran ialah pekerja di kilang Mercedes-Benz yang mana konglomerat tempatan, DRB-Hicom ialah pemegang lesen pemasangannya di negara ini.

Keseluruhannya, anak-anak Melayu ini membentuk kira-kira 1,700 tenaga kerja di kilang tersebut, disamping kira-kira 30 lagi yang juga anak-anak Melayu yang digaji sendiri oleh pengeluar kereta Mercedes-Benz selaku penyelia.

Inilah apa yang dimaklumkan oleh Ketua Pegawai Operasi, HICOM Automotive Manufacturers (Malaysia) Sdn Bhd, Encik Azmi Wahap kepada penulis, ketika ditemui pada lawatan pasukan ‘Mercedes AMG Petronas Formula One’ pagi Selasa, 20 Mac di sini.

Kedua-dua pelumba dari pasukan yang bakal bersaing pada edisi ke-14, ‘Formula One PETRONAS Malaysia Grand Prix’ di Sirkit Antarabangsa Sepang antara 23 dan 25 Mac ini – Michael Schumacher dan Nico Rosberg, turut hadir.    

SESUATU YANG MEMBANGGAKAN KITA

Menurut Encik Azmi, perkara ini tidak diumumkan tetapi sebelum ini, Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif, Mercedes-Benz Malaysia, Encik Roland Folger ada memberitahu beberapa kenamaan mengenainya.

Pada hari ini kata Encik Azmi, sekali lagi Encik Roland menyebutnya dalam perbualan dengan Pengurus Besar Kanan, Hal-ehwal Korporat Kumpulan, Petroliam Nasional (PETRONAS), Dato’ Mohammad Medan Abdullah yang turut serta pada lawatan ini.

“Ini tentulah sesuatu yang membanggakan kita,” kata Encik Azmi yang turut menegaskan betapa, anak-anak muda Melayu kita sebenarnya mempunyai keupayaan dan disiplin yang tinggi, yang menyumbang kepada kejayaan tersebut.

Kebanggaan ini turut penulis rasai semasa mengikuti lawatan ke dalam bahagian operasi kilang ini sendiri yang mana kelihatan, anak-anak Melayu kita – yang perempuannya bertudung-litup, sedang melakukan tugasan harian masing-masing dengan cekapnya.   

“Tidak dapat (miliki) sebuahpun tak mengapa. Sekurang-kurangnya, apabila lihat Mercedes di atas jalan, saya boleh bangga bahawa saya ialah antara pekerja yang memasang dan mengeluarkannya,” kata seorang tenaga kerja, anak muda Melayu kita kepada penulis ketika dirapati. 

TANDA BAGUS DAN BAGUS... Penulis dan Nico Rosberg mengangkat jari tanda bagus sebelum Nico membuat pemanduan dengan kelajuan 250 km/jamnya.  Inilah tempoh 3-minit perjalanan yang terpanjang dalam hidup penulis.


PERJALANAN 3-MINIT YANG TERLALU PANJANG DALAM HIDUP

Dalam pada itu, penulis bagaikan mengalami ‘perjalanan tiga (3) minit yang terlalu panjang dalam hidup’ apabila diberi kesempatan menjadi penumpang kepada pelumba Nico Rosberg dalam kereta Mercedes-Benz E63 AMG.

Sebelum itu, pengacara majlis, Cik Julie Voon yang terkenal sebagai pengacara ruangan ‘Quickie’ di rangkaian televisyen 8TV, telah menanyakan kepada penulis apakah kelajuan tertinggi yang pernah penulis pandu dan jawab penulis cuma 170 km sejam.

Maka, sebaik-baik penulis duduk di kerusi sebelah Nico, soalan pertama daripada penulis terhadap pelumba dari Jerman berusia 26 tahun ini ialah, “How fast are you to drive? Jawab Nico, “250 (km/jam)” yang serentak itu berderau darah penulis.

Dan sebaik-baik kereta dipandu, penulis sudahpun terasa ‘seram-sejuk’nya badan sambil-sambil kedua-dua tapak kaki kejap menekan ke lantai kereta yang jika di bawahnya ada ‘pedal’ brek, sudah pasti terhentilah kereta.

‘Konar baring’ yang dilakukan tak usahlah dikata akan kerisauan penulis. Namun, sepanjang ‘perjalanan’, tidaklah pula timbul sebarang kerisauan yang melampau mungkin kerana yakin dengan pemandunya yang memang terkenal pakar dan cekap dalam pemanduannya.

LAGAK ‘DRIFT’ DIPANGGIL ‘DOUGH-NUT’

Ini termasuklah semasa Nico melakukan apa yang disebutnya, ‘dough-nut’ atau gelagat pemanduan sepertimana kereta ‘drift’ dengan pembentukan huruf lapan (8) hingga terbau hangit kesan geseran tayar-tayarnya.

Adakah apa-apa unsur ‘jangkitan’ terhadap pemanduan penulis selepas itu? Tidak sama sekali, dan kembalilah penulis mengambil perjalanan pulang ke pejabat di Kuantan dengan kereta buatan nasional kita, dengan kelajuan paling tinggipun cuma 120 km/jam. – Khabar          

MATA KE MATA;

*** Anak-anak Melayu ini membentuk kira-kira 1,700 tenaga kerja di kilang tersebut, disamping kira-kira 30 lagi yang juga anak-anak Melayu yang bertindak sebagai penyelia.

*** Sungguhgpun tidak dapat miliki namun pekerja-pekerja anak-anak Melayu kita bangga dapat menjadi pemasang dan pengeluar kereta mewah Mercedes-Benz ini. 
 
*** Pemanduan hingga mencecah kelajuan 250 km/jam.

*** ‘Perjalanan tiga (3) minit yang terlalu panjang dalam hidup’ bersama pemandu Nico Rosberg.