… satu lagi tindakan Kerajaan Negeri dalam mensejahterakan kehidupan rakyat khususnya golongan yang memerlukan
DEWAN TUN RAZAK, TEMERLOH – Lagi usaha Kerajaan Negeri dalam mensejahterakan kehidupan rakyat, kali ini melibatkan golongan yang berkelayakan dalam kalangan Orang Kelainan Upaya (OKU) di negeri ini.
OKU berkenaan yang selama ini menikmati bantuan kebajikan bulanan sebanyak RM70 akan memperolehi RM300 pula atau kenaikan lebih empat kali ganda, berkuatkuasa 1 Januari 2012.
Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob membuat pengumuman gembira ini ketika berucap merasmikan Sambutan Hari OKU peringkat negeri pada pagi Selasa, 13 Mac di sini.
Mengulas lanjut pada persidangan media kemudian, yang diapit oleh isterinya, Datin Sri DiRaja Junaini Kassim, Pegawai Daerah Temerloh, Dato’ Abdul Muain Hamid, dan Pengarah, Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri, Dato’ Shamsiah Hussin katanya;
“Saya telahpun buat satu pengumuman penting tadi iaitu mulai 1 Januari 2012, bantuan kebajikan (bulanan) kepada penerima-penerima yang layak yang sekarang ini menerima RM70 dari Kerajaan Negeri, kita akan naikkan kepada RM300.
JIKA BANGKRAP TAK MUNGKIN KERAJAAN DAPAT NAIKKAN KADAR
“Saya telah kaji implikasi kewangannya , ianya boleh boleh dipikul oleh Kerajaan Negeri. Setakat ini saya dimaklumkan, ada 4,000 penerima yang sedemikian”.
Sehubungan itu, Dato’ Sri DiRaja Adnan meminta Dato’ Shamsiah supaya menyediakan kertas Exco untuk dibawa ke mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MK) Negeri Rabu depan untuk dimuktamadkan.
“Kalau misalannya ia (urusan mengenai kenaikan kadar tersebut) diselesaikan bulan empat, bulan lima; mereka (penerima-penerima OKU berkenaan) akan dapat ‘arrears’ untuk bulan satu, bulan dua, bulan tiga,” katanya lagi.
Dalam pada keputusan Kerajaan Negeri ini ialah untuk membantu meringankan lagi beban kewangan bulanan golongan OKU yang dimaksudkan menurutnya, ia sekaligus menolak tohmahan pembangkang kononnya negeri ini bangkrap.
“Tidak bangkrap… Kalau kerajaan bangkrap, ia takkan boleh beri tambahan sebanyak RM230 untuk 4,000 orang, menurut syarat-syarat tertentu,” tegas Dato’ Sri DiRaja Adnan lagi.
TANAH FELDA TAK SAH DIJUAL KECUALI…
Menteri Besar turut ditanya beberapa isu lain termasuk gejala penjualan tanah yang sudah memperolehi hak milik oleh segelintir peneroka Rancangan Tanah Felda yang turut dilaporkan berlaku di daerah ini.
“Saya ingin menasihatkan, kalau benar perkara ini berlaku, penjualan tanah Felda kepada orang lain dengan tidak membawa kepada Kerajaan Negeri sebab kuasa melulus tu ialah pada Kerajaan Negeri, pihak berkuasa negeri;
“Pihak berkuasa negeri telah menurunkan kuasanya kepada Menteri Besar, dan saya biasanya tidak akan meluluskan penjualan lot-lot Felda ini kecuali di kalangan saudara rapat.
“Kalau ada yang membuat jual-beli melalui ‘power attorney’ dan sebagainya, saya nasihatkan dan saya yakin, orang yang membeli itu membeli kertas sahajalah. Sebabnya, tanah itu tidak akan sekali-kali dipindah-milikkan kepada orang yang membeli. Memang tak boleh betul..,” katanya.
Beliau seterusnya memberikan rasional disebalik syarat ketat dikenakan dalam urusan jual-beli tanah-tanah Felda ini, yang matlamat utamanya bagi memastikan tanah-tanah Felda yang telah diperolehi hak milik tanah oleh para peneroka, tidak terlepas dengan mudah.
FUNGSI GSA UNTUK JAGA KEPENTINGAN PENEROKA
“Kalau kita biarkan orang Felda menjual tanah,” katanya, “… tiga hari habis tanah Felda di Malaysia ini, semua bertukar tangan. Itu sebab Kerajaan mengadakan Akta Pertempatan Berkelompok (GSA), untuk menjaga kepentingan peneroka Felda, (kebanyakannya ialah dalam kalangan kaum) Melayu pula”.
Disebalik ‘jual-beli’ berrlaku antara para peneroka Felda dengan pembeli namun kata Menteri Besar, Kerajaan Negeri tetap menganggap peneroka berkenaan sebagai peneroka Felda kerana Kerajaan Negeri tidak menganggap tanah yang terlibat sudah dijual-beli. – Khabar
MATA KE MATA;
*** Kerajaan Negeri mampu pikul implikasi kewangan daripada kenaikan RM70 kepada RM300 sebulan ini, dengan jumlah penerima kira-kira 4,000 orang.
*** “Kalau kerajaan bangkrap, ia takkan boleh beri tambahan sebanyak RM230 untuk 4,000 orang, menurut syarat-syarat tertentu”.
*** Pihak Berkuasa Negeri khususnya Menteri Besar, tidak akan meluluskan penjualan lot-lot tanah Felda yang berhak milik, kecuali dalam kalangan saudara-mara kepada peneroka berkenaan.
*** Kerajaan merangka Akta Pertempatan Berkelompok (GSA) demi menjaga kepentingan peneroka Felda yang kebanyakannya Melayu, dalam pemilikan tanah di negara ini.