Monday, 14 May 2012

Beta bangga!



… titah KDYMM Sultan Pahang ekoran kemasukan pelaburan ke Pahang bernilai RM30,270 juta dalam tempoh 20 tahun (1990 – 2010), dengan tahun lepas (2011) sahaja ialah RM6,300 juta!

DISIPLIN SERTA KETEGASAN BAGINDA... KDYMM Sultan Pahang sedang bertitah sesuatu semasa melakukan pemeriksaan perbarisan di halaman Wisma Sri Pahang, sebelum memasuki Dewan untuk menyempurnakan Istiadat Pembukaan Penggal Kelima, Dewan Undangan Negeri Pahang ke-12.  


DEWAN UNDANGAN NEGERI, WISMA SRI PAHANG, KUANTAN – KDYMM Sultan Pahang telah menitah-sebutkan kebanggaan Baginda ekoran kejayaan Kerajaan Negeri menarik pelaburan sama ada dalam mahupun luar negeri, hingga mencecah RM30,270 juta (RM30.27 billion) dalam tempoh 20 tahun lepas (1990 – 2010).

Dan, pada tahun sudah (2011) sahaja, negeri Pahang menerima kelulusan pelaburan tertinggi dalam sejarahnya dengan nilai mencecah sehingga kira-kira RM6,300 juta! (RM6.3 billion).

“Beta berasa bangga kerana semenjak 20 tahun yang lalu, Pahang telah menerima aliran masuk pelaburan domestik dan luar negeri sebanyak RM30.27 bilion,” titah KDYMM Sultan Pahang ketika berangkat merasmikan Istiadat Pembukaan Penggal Kelima, Dewan Undangan Negeri Pahang ke-12, pada pagi Isnin, 14 Mei di sini.

Dengan nilai pelaburan RM30,270 juta untuk tempoh 20 tahun, menjadikan purata tahunan kemasukan pelaburan ke negeri ini kira-kira RM1,514 juta (RM1.514 billion) – angka yang cukup besar, sekaligus menafikan persepsi negatif  pembangkang mengenai iklim pelaburan di negeri ini.

Dalam titah-ucapan Baginda juga, KDYMM Sultan Pahang mengucapkan tahniah kepada Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob atas usaha dan kejayaan Kerajaan Negeri menganjurkan Konvensyen Ekonomi Negeri Pahang 2012. 


BUAT KENANG-KENANGAN... Adakah ini merupakan persidangan Dewan Undangan Negeri terakhir sebelum Pilihanraya Umum yang diura-urakan tidak Jun, September ini? 


RUMAH UNTUK BERPENDAPATAN BULANAN RM2,000 HINGGA RM4,000

Menerusi konvensyen yang dianjurkan selama dua (2) hari pada 29 Februari dan 1 Mac lepas titah Baginda, Kerajaan Negeri dapat menilai pencapaian, kekurangan serta langkah-langkah penambah-baikan seterusnya.

Ekoran konvensyen inilah titah Baginda, beberapa lagi projek mesra-rakyat dirancang untuk dilaksanakan antaranya bagi mewujudkan skim perumahan rakyat berharga antara RM70,000 dan RM150,000.

“Rumah ini dikhususkan untuk golongan berpendapatan (bulanan) RM2,000 hingga RM4,000, mengambil kira semua kaum dan kelompok pekerjaan.
“Disamping itu, projek-projek lain adalah seperti terminal pengangkutan bersepadu, pusat perniagaan IKS dan galeri seni kreatif di daerah-daerah,” titah KDYMM Sultan Pahang lagi.

“Beta yakin,” titah Baginda, “Kerajaan Negeri akan terus melaksanakan program untuk faedah rakyat pada masa hadapan. Ini meliputi rancangan pembangunan dalam bidang agama Islam, pendidikan, pertanian, kesihatan, keusahawanan, perumahan,

PROGRAM TRANSFORMASI KERAJAAN

“Pengangkutan, sains, teknologi, inovasi, belia, sukan, kebudayaan, pembangunan luar bandar, hal ehwal Orang Asli, sumber manusia, hal ehwal pengguna, perpaduan dan pelancongan”.

Pada awal titah-ucapan KDYMM Sultan Pahang lagi, Baginda mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Abdul Razak yang telah membangunkan kerangka program transformasi berlandaskan konsep 1Malaysia; Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

Ini pula titah Baginda, disokong oleh program-program  transformasi kerajaan, transformasi ekonomi, transformasi politik dan transformasi luar bandar serta pelaksanaan Rancangan Malaysia ke-10 dan ke-11.

“Pengisian program seperti Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA), Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M), Klinik 1Malaysia dan program bantuan persekolahan telah membawa impak kepada kehidupan rakyat tanpa mengira kaum, kedudukan dan fahaman politik,” titah Baginda lagi.

Baginda juga turut menitah-sebutkan tentang urusan penyenaraian ke Bursa Malaysia, Felda Global Ventures Holdings (FGVH) yang turut melibatkan pemberian ‘durian runtuh’ RM15,000 kepada para peneroka Felda termasuk 43,124 orang di negeri ini.   

KECEKAPAN PM JADIKAN FELDA KONGLOMERAT KOMODITI GLOBAL

“Ini melambangkan kecekapan Kerajaan Orang Tua Beta (Perdana Menteri) dalam menjadikan Felda sebagai konglomerat komoditi di peringkat global.

“Ia sebagai menghargai kesungguhan dan pengorbanan yang dilakukan oleh peneroka Felda selama ini sejak rancangan Felda pertama di Lurah Bilut dibuka pada tahun 1956.

“Beta yakin pada masa yang sama, penduduk-penduduk yang bukan peneroka dan tidak tinggal di rancangan Felda tidak akan dilupakan oleh Kerajaan,” titah Baginda.

Yang turut berangkat pada Istiadat Pembukaan ini ialah KDYTM Tengku Mahkota Pahang dan isteri, KDYTM Tengku Puan Pahang, serta YAM Tengku Muda Pahang.

Yang hadir selain Menteri Besar, ialah Speaker, Dewan Undangan Negeri, Dato’ Sri Wan Razali Wan Mahussin;  Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Sri Muhammad Safian Ismail serta ahli-ahli Exco Kerajaan Negeri dan ahli-ahli Dewan Undangan Negeri sekelian. – Khabar


MATA KE MATA;

*** Dengan nilai pelaburan RM30,270 juta untuk tempoh 20 tahun, menjadikan purata tahunan kemasukan pelaburan ke negeri ini kira-kira RM1,514 juta (RM1.514 billion) – angka yang cukup besar, sekaligus menafikan persepsi negatif  pembangkang mengenai iklim pelaburan di negeri ini.

*** Ekoran Konvensyen Ekonomi Negeri Pahang 2012 titah Baginda, beberapa lagi projek mesra-rakyat dirancang untuk dilaksanakan antaranya bagi mewujudkan skim perumahan rakyat berharga antara RM70,000 dan RM150,000.

*** “Pengisian program seperti Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA), Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M), Klinik 1Malaysia dan program bantuan persekolahan telah membawa impak kepada kehidupan rakyat tanpa mengira kaum, kedudukan dan fahaman politik”.     

*** “Ini melambangkan kecekapan Kerajaan Orang Tua Beta (Perdana Menteri) dalam menjadikan Felda sebagai konglomerat komoditi di peringkat global.

“Ia sebagai menghargai kesungguhan dan pengorbanan yang dilakukan oleh peneroka Felda selama ini sejak rancangan Felda pertama di Lurah Bilut dibuka pada tahun 1956”.