Monday 28 May 2012

RM106 juta wang Yayasan Pahang sendiri untuk bangunkan kampus induk Kolej Antarabangsa IKIP


MENGAMATI MODEL KAMPUS INDUK... Dato' Sri DiRaja Adnan sedang menunjukkan sesuatu pada model kampus sambil diperhatikan oleh (dari kiri ke kanan) Dato' Prof Dr Zaleha, Dato' Saariah, Tan Sri Abdul Rashid, Dato' Dr Abdul Monir dan ahli Lembaga Pengarah, IKIP Education Sdn Bhd, Dato' Ti Lian Ker.   


KOMPLEKS YAYASAN PAHANG, TANJUNG LUMPUR, KUANTAN – RM106 juta. Inilah nilai pembiayaan yang akan dikeluarkan oleh Yayasan Pahang (YP) sendiri bagi membangunkan kampus induk Kolej Antarabangsa IKIP dalam persekitaran kompleks ini.

Secara tidak langsung, ini membuktikan kemampuan dan keupayaan kewangan yang tinggi oleh YP, dalam membangunkan kampus induk ini seterusnya aspek pendidikan di negeri dan negara ini.  

Sudahpun bermula kerja-kerja tapak, kampus induk ini di atas tanah seluas 6.3 hektar, dijangka siap dalam tempoh lima (5) tahun pada 2017 dengan mampu menampung pelajar 2,000 orang.

Menjadikan keseluruhan jumlah pelajar di kesemua lima (5) kampus Kolej Antarabangsa IKIP termasuk empat (4) yang sedia ada – di Taman Gelora, Kubang Buaya dan Taman Pertanian di Kuantan serta di Taman Bunus Permai, Bentong; kira-kira 5,000 orang!

Oleh itulah, tidak menghairankan apabila dalam ucapannya merasmikan Pelan Induk Pembangunan Kampus IKIP pada petang Isnin, 28 Mei di sini, Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob mahukan usaha digerakkan bagi menjadikan Kolej Antarabangsa IKIP sebagai sebuah ‘full-fledged university’ (universiti sepenuhnya).

TAMBAHKAN LAGI BIDANG-BIDANG PENGAJIAN

Ini katanya, termasuklah usaha untuk menambah dan memperkenalkan bidang-bidang pengajian yang lebih inovatif dan kreatif yang menjurus kepada sektor ekonomi hiliran perindustrian seperti gas dan petroleum, automotif, animasi, multimedia, fesyen serta rekabentuk.

Beliau percaya, hasratnya itu boleh dijayakan sementelah Kolej Antarabangsa IKIP mempunyai keupayaan termasuklah adanya Lembaga Penasihat Akademik yang dianggotai oleh tokoh-tokoh termasuklah Dato’ Prof Dr Zaleha Kamaruddin, yang juga Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).


MENTERI BESAR YANG JUGA MESRA-PELAJAR... Para pelajar Kolej Antarabangsa IKIP ini kelihatan gembira dapat bersua-muka dan bersalaman dengan pemimpin nombor satu negeri. Foto ini dirakam semasa Dato' Sri DiRaja Adnan melawat-tinjau ke gerai-gerai pameran yang dikendalikan oleh para pelajar. 


Ketika ini, Kolej Antarabangsa IKIP menawarkan 30 bidang pengajian bertaraf diploma dan ijazah yang diiktiraf dan diluluskan oleh Kerajaan menerusi Agensi Penarafan Malaysia (MQA : Malaysian Qualifications Agency);

Kesemua bidang pengajian ini terangkum di bawah enam (6) sekolah pengajian iaitu Sekolah Pengajian Diploma, Sekolah Pengajian Islam, Sekolah Sains dan Teknologi, Sekolah Seni Lukis dan Seni Reka, Sekolah Pengurusan dan Perniagaan, dan Sekolah Pengajian Siswazah.

Antara ciri-ciri utama kampus induk Kolej Antarabangsa IKIP yang sedang dalam pembinaan ini ialah bangunan-bangunan Canselori, dewan utama, sekolah-sekolah pengajian, pusat pelajar serta empat (4) blok asrama empat (4) tingkat.

REKTOR UIAM TURUT HADIR  

Selain itu ialah pusat ekuestrian (yang dibangunkan oleh Jabatan Kerja Raya untuk kegunaan segera pada Sukan Malaysia XV, Julai ini yang kemudian akan dikelolakan oleh YP menerusi Maahad Tahfiz Negeri Pahang);

Serta prasarana seperti masing-masing sebuah padang bolasepak dan futsal , sebuah gelanggang badminton, sebuah kawasan tapak gerai serta kawasan-kawasan parkir bas dan kenderaan lain.

Bagi blok asrama sendiri, bilik-bilik yang akan dibina lengkap dengan tandas ialah untuk kapasiti dua (2) orang, empat (4) orang dan enam (6) orang (katil dua-tingkat) dengan keluasan lantai yang sama iaitu 22.2 meter persegi. Bilik-bilik untuk pelajar Orang Kelainan Upaya (OKU) turut diadakan. 

PARA HADIRIN YANG DIHORMATI SEKELIAN... Yang turut berada dalam kalangan hadirin ini ialah wakil rakyat-wakil rakyat parti-parti pembangkang PAS dan DAP yang menandakan sokongan mereka terhadap aktiviti YP khususnya Pengerusinya yang juga Menteri Besar. 
 

Selain Pengurus Besar YP, Dato’ Saariah Saad; Pengerusi, Lembaga Pengarah IKIP Education Sdn Bhd, Dato’ Dr Abdul Monir Yaacob; dan, Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif, Kolej Antarabangsa IKIP, Encik Abu Bakar Hashim;

Yang turut hadir pada majlis perasmian Pelan Induk Pembangunan IKIP ini ialah ahli Exco Kerajaan Negeri, Dato’ Shafik Fauzan Mohd Sharif; bekas Timbalan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman; serta Dato’ Prof Dr Zaleha. – Khabar     

      
MATA KE MATA;

*** Sudahpun bermula kerja-kerja tapak, kampus induk Kolej Antyarabangsa IKIP ini di atas tanah seluas 6.3 hektar, dijangka siap dalam tempoh lima (5) tahun pada 2017 dengan mampu menampung pelajar 2,000 orang.

*** Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob mahukan usaha digerakkan bagi menjadikan Kolej Antarabangsa IKIP sebagai sebuah ‘full-fledged university’ (universiti sepenuhnya).

*** Boleh dijayakan sementelah Kolej Antarabangsa IKIP mempunyai keupayaan termasuklah adanya Lembaga Penasihat Akademik yang dianggotai oleh tokoh-tokoh termasuklah Dato’ Prof Dr Zaleha Kamaruddin, yang juga Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

*** Antara ciri-ciri utama kampus induk Kolej Antarabangsa IKIP yang sedang dalam pembinaan ini ialah bangunan-bangunan Canselori, dewan utama, sekolah-sekolah pengajian, pusat pelajar serta empat (4) blok asrama empat (4) tingkat.