Saturday 16 June 2012

Taman Bandar -- satu lagi taman rekreasi menarik dan mendamaikan di bandar Kuantan


tapi… trek ‘jogging’nya keras berbanding yang berpasir lagi ‘natural’ di Taman Gelora

TAMAN BANDAR YANG MENDAMAIKAN... Selain tasik yang luas, seluas tiga hektar, ialah bangunan KDN (kelihatan di celah pokok) dan jeti kecil. 


Alamaya, INDERA MAHKOTA 5, KUANTAN – Taman Bandar atau nama rasminya, Taman Jubli Perak Sultan Ahmad Shah di Indera Mahkota dekat sini, ialah satu lagi taman rekreasi tumpuan awam di bandar ini selain daripada yang lebih popular di Taman Gelora.

Berbanding Taman Gelora yang terletak di tepian laut – Laut China Selatan, Taman Bandar ialah di pinggir bandar Kuantan ini (kira-kira 10-minit perjalanan berkenderaan) tanpa laut atau sungai menyempadaninya.

Yang bersempadan dengannya hanyalah;

Ke sebelah timur, stadium tertutup Sukan Pahang (SUKPA) dan jimnasium serta stadium mini hoki terbuka dan lapangan sasar menembak yang sedang giat diperbaiki dan dinaikkan taraf untuk Sukan Malaysia ke-15 yang bakal Pahang jadi tuanrumah antara 7 dan 16 Julai ini serta, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) kampus Kuantan.

Ke barat, bangunan kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) negeri serta beberapa lagi pejabat kerajaan berstruktur bangunan menarik seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Lembaga Pelesenan dan Pendaftaran Minyak Sawit (PORLA).

GELANGGANG ‘WOODBALL’ YANG DIABAIKAN

Ke utara, jalanraya Pintasan Kuantan-Pelabuhan Kuantan yang semakin memudah-lancarkan perjalanan ke Pelabuhan Kuantan menerusi kawasan perindustrian Gebeng atau ke sempadan negeri Terengganu dekat Jabor dengan laluan empat-lorongnya.

Dan, ke selatan, pusat perniagaan ala-Pekan Rabu, Alor Setar – Kompleks Dagangan Mahkota (KDM) yang didirikan oleh syarikat berkaitan kerajaan negeri (S-GLC) yakni Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) serta hotel 3-bintang terbaharu dibangunkan swasta, Hotel Sri Manja.

Ciri utama Taman Bandar bagaimanapun, ialah sebuah tasik luas kira-kira tiga (3) hektar yang dikelilingi trek ‘jogging’ dengan beberapa kemudahan senaman di sepanjang laluan ini dan beberapa ‘wakaf’ serta sebuah gelanggang ‘woodball’ dan bola keranjang yang semakin terbiar, daif.

Sejak penulis berpindah ke sini pada awal tahun ini dari kuarters kerajaan di Jalan Teluk Sisek yang berdekatan dengan Taman Gelora; Taman Bandar ialah sasaran hujung minggu bagi aktiviti ber‘jogging’ dan ber‘brisk-walking’ sekeluarga.

MENTERI BESAR DI TAMAN BANDAR... Menteri Besar, Dato' Sri DiRaja Adnan Yaakob disamping Presiden, Majlis Belia Negeri, Encik Norol Azali Sulaiman yang juga wakil rakyat (BN - Guai) turut berada di Taman Bandar sempena sambutan Hari Belia peringkat negeri pada Mei lepas.   


HANYA 15 ½ MINIT UNTUK SATU PUSINGAN

Dengan mengambil perjalanan berkenderaan tidak sampai lima (5) minit, melalui Jalan Sultan Abdullah melepasi dua (2) lampu isyarat di persimpangan jalan-persimpangan jalan berdekatan Sekolah Menengah Panglima Perang dan Jalan Sultan Abdullah/Jalan Sungai Lembing; belok ke kiri melepasi KDM, Hotel Sri Manja dan KDN, maka sampailah ke Taman Bandar yang mempunyai banyak petak parkir kereta ini.

Turun sahaja dari kenderaan, penulis dan keluarga terus ke trek ‘jogging’. Pada Sabtu, 16 Jun, ‘timing’ yang diambil ialah; mula pada 7.23 pagi dan berakhir pada 7.54 pagi atau 31 minit untuk dua pusingan atau kira-kira 15 ½ minit satu pusingan.

Selain penulis dan keluarga ialah ramai lagi penduduk Kuantan berdekatan termasuk murid-murid dari Sekolah Kebangsaan Indera Mahkota (SKIM) yang berdekatan. Dan, kemeriahan di sini tidak jauh berbeza daripada yang pernah penulis alami di Taman Gelora.

Dan, penulis lebih gembira kerana sepanjang ber‘jogging’ dan ber‘brisk-walking’ di sini, belum lagi penulis terserempak dengan mana-mana ‘joggers’ atau ‘brisk-walkers’ yang berpakaian-T berlambangkan logo anti projek RM2,300 juta pemprosesan logam tanah jarang Lynas di Gebeng.

Jika di Taman Gelora, pada hari-hari biasa tanpa berpakatpun cuma adalah empat-lima ‘kerat’ yang mengenakan pakaian-T tersebut (dan bila dilakukan secara berpakat, tidakpun sampai 700 orang).

TREK KERAS?... Hingga turut menyakitkan tapak kaki dan seluruh badan. Perlu ditukarkan kepada yang lebih 'natural' sepertimana d Taman Gelora?


LANGSUNG TIADA PUAK ANTI-LYNAS DI TAMAN BANDAR INI

Di Taman Bandar ini, langsung tiada seorang maka kesimpulan yang boleh penulis ambil ialah; isu anti-Lynas langsung tidak ‘laku’ di sini. Jadi, cukup-cukuplah kepada puak segelintir penentang projek ini.

Kalaupun ada apa-apa ‘complaint’, datangnya daripada sahabat penulis, Dato’ Ismail Mohd Noor, bekas Pengarah, Jabatan Bekalan Air Negeri (kini diperbadankan dikenali Pengurusan Air Pahang atau PAIP) yang jawatan terakhir sebelum bersara ialah ketua, Projek Penyaluran Air Mentah Pahang-Selangor (PPAMPS) yang penulis temui pagi itu.

"Haji, bagi tahulah MPK (Majlis Perbanaran Kuantan), buatlah ‘jogging track’ macam di Taman Gelora tu. Di sini, keraslah…,” katanya dengan isteri di sisi, dan mereka tinggal di kawasan perumahan Indera Mahkota 2 berdekatan.

Penulis juga bersetuju dengan ‘complaint’ Dato’ Ismail tentang trek ‘jogging’ berlapisan batu simen itu tetapi, tidaklah cukup besar dan amat merungsingkan hingga perlu membuat ‘complaint’ rasmi terhadapnya. – Khabar     


MATA KE MATA;

*** Ciri utama Taman Bandar ialah sebuah tasik luas kira-kira tiga (3) hektar yang dikelilingi trek ‘jogging’ dengan beberapa kemudahan senaman di sepanjang laluan ini dan beberapa ‘wakaf’ serta sebuah gelanggang ‘woodball’ dan bola keranjang yang semakin terbiar, daif.

*** Penulis lebih gembira kerana sepanjang ber‘jogging’ dan ber‘brisk-walking’ di sini, belum lagi penulis terserempak dengan mana-mana ‘joggers’ atau ‘brisk-walkers’ yang berpakaian-T berlambangkan logo anti projek RM2,300 juta pemprosesan logam tanah jarang Lynas di Gebeng.

*** Di Taman Bandar ini, langsung tiada seorang maka kesimpulan yang boleh penulis ambil ialah; isu anti-Lynas langsung tidak ‘laku’ di sini. Jadi, cukup-cukuplah kepada puak segelintir penentang projek ini.

*** "Haji, bagi tahulah MPK (Majlis Perbanaran Kuantan), buatlah ‘jogging track’ macam di Taman Gelora tu. Di sini, keraslah…,” katanya dengan isteri di sisi, dan mereka tinggal di kawasan perumahan Indera Mahkota 2 berdekatan.