Saturday 18 January 2014

Gejala nak untung besar punca pencemaran alam sekitar



“Tapi kadang-kadang, al-maklum sahajalah, pembalak-pembalak, kontraktor-kontraktor (pembalakan) ini, kebanyakan ingin memaksimakan keuntungan maka mereka tidak mematuhi (undang-undang dan) peraturan.

“Kita kuatkuasakan dari masa ke semasa tetapi biasalah, mereka yang melanggar undang-undang (dan peraturan) ini terlampau ramai daripada mereka yang menguatkuasakan undang-undang,” kata Menteri Besar.

MESRANYA... Sepertimana KDYMM Sultan Pahang, paduka isteri Baginda, DYMM Sultanah Pahang juga seorang yang mudah mesra dengan rakyat-jelata termasuk golongan kanak-kanak seperti terpancar dalam foto yang dirakam pada program tengah hari Sabtu, 18 Januari ini. 

Sementara DYMM Sultanah turut mengurniakan sumbangan termasuk kepada murid perempuan ini, Baginda sempat beramah-mesra dengannya. 


SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN SERI PELANGAI, SIMPANG PELANGAI, BENTONG – Gejala pembalak yang mahu memaksimumkan keuntungan ialah pendorong kepada pelanggaran undang-undang dan peraturan mengenai kerja-kerja pembalakan lestari, hingga menyumbang kepada pencemaran alam sekitar.

Inilah ‘sequel’ yang Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja beri dalam ucapan 15-minitnya pada program pagi Sabtu, 18 Januari di sini, sebagai menjelaskan tentang kaitan antara sikap buruk sesetengah pembalak dengan pencemaran alam sekitar di negeri ini

Berucap pada Karnival Pencinta Alam Kesedaran Masyarakat Kepada Masyarakat anjuran ‘Sultan Ahmad Shah Environment Trust’ (SASET) yang disempurnakan oleh DYMM Sultanah Pahang mewakili KDYMM Sultan Pahang katanya, negara mempunyai sebuah kementerian khusus – Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, untuk menjagai alam sekitar.

Selain itu, Kerajaan menggubal undang-undang, peraturan-peraturan dan kaedah-kaedah tertentu yang wajib dipatuhi agar apa-apa kerja yang dilakukan berkaitan hutan termasuk pembalakan, tidak mencemarkan.    

“… hutan perlu juga ditebang kerana pokok-pokok yang tua jika tidak ditebang akan mati dan akan melindungi pokok-pokok lain dari cahaya matahari (lalu merencatkan pertumbuhan). Kaedah penebangan dan juga bagaimana caranya, had tebangannya, telahpun ditentukan.
 
PENGURNIAAN SUMBANGAN... DYMM Sultanah Pahang sedang mengurniakan sumbangan sambil Dato' Sri DiRaja Adnan dan Datin Sri DiRaja Junaini menyaksikan. 


HUTAN SEBAGAI PUNCA AIR

“Tapi kadang-kadang, al-maklum sahajalah, pembalak-pembalak, kontraktor-kontraktor (pembalakan) ini, kebanyakan ingin memaksimakan keuntungan maka mereka tidak mematuhi (undang-undang dan) peraturan.

“Kita kuatkuasakan dari masa ke semasa tetapi biasalah, mereka yang melanggar undang-undang (dan peraturan) ini terlampau ramai daripada mereka yang menguatkusakan undang-undang,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan.

Sedangkan, hutan khususnya di kawasan-kawasan tadahan air katanya, merupakan punca kepada aliran sungai-sungai yang ada yang menjadi pembekal kepada keperluan air untuk manusia.

Yang dalam pada itupun, sungai juga perlu dipelihara dengan tidak mencemarinya dengan buangan sampah-sarap hingga menyumbang kepada kejadian banjir lalu mengancam kehidupan manusia, katanya.

Sehubungan itu, Dato’ Sri DiRaja Adnan meminta agar tabiat menjagai alam sekitar termasuk memelihara hutan, sungai dan persekitaran kita, dimulakan di rumah dan di sekolah.

LAGI SUMBANGAN DIKURNIAKAN, KEPADA YANG MEMERLUKAN... 


DIDIKAN JAGA ALAM SEKITAR SEMASA DI SEKOLAH

“Saya masih ingat lagi semasa bersekolah rendah dahulu di Sekolah Rendah Sulaiman, Sulaiman Primary School, kemudian Sulaiman Secondary School; kita memang diajar untuk tidak mencampak sampah merata-rata.

“Bahkan, kalau kita lihat bungkus coklat, kertas – walaupun bukan kita membuatnya (berselerak) tapi kita diminta untuk membawa (membersihkannya). Dan setiap orang diminta membawa plastik kecil untuk disumbatkan sampah-sarap yang dijumpai. Begitulah latihan yang diberikan pada masa itu.

“Tapi sayang sekali keadaan masyarakat kita (hari ini), kalau kita pergi ke sungai-sungai, kalau kita pergi ke tempat perkelahan; maka yang banyak dapat kita lihat bukanlah tumbuh-tumbuhan yang segar tetapi sampah-sarap terutama sekali plastik,” katanya lagi.

Beliau kemudian menceritakan bagaimana DYMM Sultanah Pahang sendiri perlu menitahkan pegawal-pengawal keselamatan yang mengiringi Baginda semasa beriadah mengeliling sebuah taman pinggiran laut di Kuantan, supaya berbekalkan plastik sampah untuk mengutip sampah-sarap sambil melakukan aktiviti sukan di sana.

“Tuanku terpaksa menitahkan pengawal keselamatan untuk membawa plastik sampah, plastik hitam kerana, di sepanjang pantai itu, sampah-sarap bertaburan terutama plastik,” katanya.
 
SAMBUTAN MERIAH BUAT DYMM SULTANAH PAHANG...  


SUNGGUHPUN MUDA-REMAJA…  

“Jadi kalau boleh, kita mulakanlah dari rumah. Jangan kita menyepahkan sampah-sarap dan pada ketika yang sama, kita juga boleh mengajar anak kita dan kita juga berharap guru-guru di sekolah akan menyemaikan semangat cinta kepada alam ini di sekolah-sekolah,” katanya lagi.

Mengenai program tengah hari Sabtu ini, Menteri Besar memuji SASET yang di bawah kendalian anakanda bongsu KDYMM Sultan Pahang dengan DYMM Sultanah Pahang –
YAM Tengku Arif Temenggong Pahang, yang telah menganjurkannya.   

Sungguhpun YAM Tengku Arif Temenggong Pahang, Tengku Fahad Muadzam masih muda-remaja, tetapi katanya, YAM Tengku Fahad Muadzam telah menunjukkan kebijaksanaan hingga lahirlah SASET, yang merupakan idea dan juga ‘brainchild’nya.

“Yang penting ialah, kempen yang dijalankan oleh SASET ini mestilah juga diambil atau diterima dan juga diberikan sokongan sepenuhnya oleh pertubuhan-pertubuhan yang lain, bukan sahaja jabatan-jabatan Kerajaan tetapi juga oleh NGO-NGO yang lain.

“Patik percaya, jika NGO-NGO yang lain bersama-sama menyokong usaha SASET ini, maka matlamat utama SASET untuk memlihara alam sekitar, mencintai alam sekitar, insyaAllah, akan tercapai,” katanya lagi.

TERSERLAH, KEMESRAAN BAGINDA...


TIMBALAN MENTERI TURUT HADIR

Selain isteri, Datin Sri DiRaja Junaini Kassim; yang turut hadir pada program seharian ini ialah Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Dato’ Sri James Davos Damit; Timbalan Menteri Pendidikan, Dato’ Sri Mary Yap; Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri; Ahli-ahli Majlis Jemaah Pangkuan Negeri;

Timbalan Ketua Setiausaha, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, Dr Ali Mohd Nor; Pegawai Daerah Bentong, Dato’ Toantowee Mohd Lotfie; Presiden, Kelab Putera 1Malaysia, Dato’ Abdul Azeez Abdul Rahim; dan, Pengarah Operasi SASET, Dato’ Aida Yusoh. – Khabar