Tuesday 14 January 2014

"Tanpa Islam, Melayu akan kehilangan segala-galanya termasuk maruah dan keperibadian," titah KDYMM Sultan Pahang



“Sebarang usaha meninggalkan Islam juga bererti menghilangkan nilai keMelayuan itu sendiri,” titah Baginda sempena Sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri tahun 1435H/2014M

MENTERI BESAR BERSAMA-SAMA PEMENANG... Sempena Sambutan Maulidur Rasul ini, pertandingan sepanduk turut dianjurkan dan inilah antara para pemenang yang bergambar bersama-sama Menteri Besar yang diiringi Dato' Syed Ibrahim dan Dato' Mohamad Roslan (kiri dan kanan Dato' Sri DiRaja Adnan). 


DEWAN JUBLI PERAK SULTAN HJ AHMAD SHAH, KUANTAN – KDYMM Sultan Pahang menitahkan agar orang Melayu di negeri ini, sedar akan keMelayuan mereka sepertimana termaktub dan diistilahkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan mendefinasikan Melayu sebagai seseorang yang beragama Islam, boleh bertutur dalam Bahasa Melayu serta mengamalkan adat-resam, budaya Melayu.

Oleh itu titah Baginda sempena Sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri pada pagi Selasa, 14 Januari di sini, “Tanpa Islam, Melayu akan kehilangan segala-galanya termasuk maruah dan keperibadian.

“Sebarang usaha meninggalkan Islam juga bererti menghilangkan nilai keMelayuan itu sendiri,” titah Baginda dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob yang turut mewakili Baginda.

Sehubungan itu, Baginda menitahkan agar Kerajaan Negeri membantu Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) untuk memperluaskan usaha meningkatkan kefahaman Islam kepada masyarakat di negeri ini demi membanteras apa juga bentuk ajaran sesat atau kumpulan yang menyelewengkan akidah umat Islam.

LHDN, JOHAN PERTANDINGAN SEPANDUK KATEGORI JABATAN/AGENSI PERSEKUTUAN DAN NEGERI...


PERANGI IDEOLOGI BERTENTANGAN ISLAM

“Tanpa kerjasama, bantuan dan kesedaran daripada semua pihak, ia tidak akan berjaya. Program-program dan aktiviti-aktiviti yang menjurus kepada penghayatan Islam perlu dilaksanakan kepada masyarakat Islam di negeri ini agar mereka lebih memahami tentang cara hidup Islam yang sebenar-benarnya,” titah Baginda lagi.

Hanya dengan ilmu keagamaan yang mantap, dan jatidiri yang teguh dalam kalangan Melayu titah Baginda, dapat mengelakkan mereka terjebak dan terpengaruh dengan ideologi-ideologi yang bertentangan dengan ajaran Islam.

Baginda kemudian memetik firman Allah SWT, dalam Surah Ali-Imran, ayat 103 yang menitik-beratkan soal kesepakatan sesame Melayu dan umat Islam sepertimana maksudnya; “Dan berpeganglah kamu semua dengan tali Allah, dan jangan berpecah-belah”.

Mengenai Sambutan Maulidur Rasul ini titah Baginda, tarikh 12 Rabiul Awal atau tarikh kelahiran Nabi Muhammad SAW, merupakan satu detik istimewa dan bermakna buat seluruh umat Islam lalu meraikannya.

Sementelah ia (sambutan ini) titah Baginda, berkait rapat dengan keunggulan dan kemuliaan Baginda Rasulullah SAW sebagai pemimpin terunggul, yang begitu menyayangi umatNya dengan meninggalkan al-Quran dan Sunnah sebagai petunjuk kehidupan manusia sepanjang zaman.

DATANG CAHAYA KEBENARAN – NABI MUHAMAD SAW

Baginda turut memetik firman Allah SWT, Surah Al-Maidah, ayat 15 yang bermaksud; “Sesungguhnya telah datang kepada kamu cahaya kebenaran yakni Nabi Muhamad dari Allah, dan sebuah kitab yakni al-Quran yang jelas nyata keterangannya”.

Menurut Baginda, Nabi Muhamad SAW telah diutuskan kepada umatNya, untuk memberi sinar keimanan agar mereka patuh kepada Allah SWT, setelah begitu lama mereka berada dalam kejahilan dan kekufuran.

Islam yang dibawa oleh Nabi Muhamad pula titah Baginda lagi, tidak menolak pembangunan material tetapi mementingkan pembangunan material dan rohani, yang mampu diselaraskan demi melihat kejayaan umatnya di dunia dan akhirat.

“Pada hari ini kita dapat melihat, pembangunan  material begitu hebat dan canggih dari masa ke semasa, bertambah maju dan modern. Tetapi apa yang berlaku, pembangunan rohaniah makin menurun, semakin merosot.

“Tidak ada lagi kejujuran, sifat amanah, pemurah dan kasih sayang sesama insan. Perkembangan ideologi-ideologi seperti liberalisme dan ajaran-ajaran sesat, telah mula meracuni mentaliti masyarakat Islam yang kian mengambil mudah mengenai hukum-hukum, syariat Islam.

JADIKAN SAMBUTAN INI SEBAGAI TITIK-TOLAK

“Malah, sesetengah masyarakat pada hari ini, sudah tidak menitik-beratkan tuntutan syariat hingga semakin terbawa-bawa dengan cara pemikiran terbuka yang mengikut budaya Barat tanpa mengira halal dan haram, seterusnya mencalar kesucian ugama Islam sebagai sebuah ugama yang mulia,” titah Baginda.

Oleh itulah, Baginda menitahkan agar Sambutan Maulidur Rasul kali ini, dapat menjadi titik-tolak untuk umat Islam mengambil contoh keperibadian dan perjuangan Nabi Muhamad SAW, bagi mempertingkatkan usaha mempertahankan ugama, bangsa dan negara.

Selain Dato’ Sri DiRaja Adnan sendiri yang hadir ditemani isteri, Datin Sri DiRaja Junaini Kassim; antara yang turut hadir ialah YAM Tengku Besar Pahang dan isteri; Speaker, Dewan Undangan Negeri, Dato’ Ishak Muhamad dan isteri;

Timbalan Yang DiPertua, Dewan Rakyat yang juga wakil rakyat parlimen (BN – Kuala Krau), Dato’ Ismail Mohamad Said dan isteri; Timbalan Menteri Sumber Manusia yang juga wakil rakyat parlimen (BN – Maran), Dato’ Ismail Abdul Mutalib dan isteri;

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Sri Muhammad Safian Ismail; Pengerusi, Jawatankuasa Dakwah Islamiah dan Tugas-tugas Khas Negeri, Dato’ Syed Ibrahim Syed Ahmad; dan, Pengarah, JAIP, Dato’ Mohamad Roslan Harun. – Khabar