Friday 3 January 2014

Ole, pengurus baharu Cardiff City



… semoga berakhirlah kontroversi, berjayalah kelab yang kita (rakyat Malaysia) sama-sama taja kit pakaian ‘Visit Malaysia’nya

OLE... OLE, OLE, OLE... 'The baby-faced assassin' - gelaran yang pernah dilekatkan padanya semasa menyarung jersi Manchester United, ekoran kegarangannya menjaringkan gol disebalik wajah keanak-anakannya. 


Alamaya, INDERA MAHKOTA 5, KUANTAN – Semoga berakhirlah kontroversi melanda kelab bola sepak Liga Perdana Inggeris (EPL) milik jutawan Tan Sri Vincent Tan – Cardiff City, dengan pelantikan bekas pemain pasukan kelab Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer sebagai pengurus baharunya.

Ini diumumkan pada Khamis, 2 Januari menerusi laman sesawang kelab yang setakat Jumaat, 3 Januari, berada pada kedudukan antara terbawah EPL (ke-17 daripada 20 pasukan, dengan cuma empat (4) menang, enam (6) seri, dan 10 kalah).

Ole, 40, yang berbangsa Norway dengan jawatan terakhir sebagai pengurus kelab Molde FK dari negara Scandinavia itu, mengambil alih daripada Malky Mackay yang dipecat pada Jumaat, 27 Disember ekoran hubungan hambarnya dengan Tan Sri Vincent.

“Kelab Bolasepak Cardiff City sukacita untuk umumkan bahawa Ole Gunnar Solskjaer telah menyertai kelab ini sebagai pengurus pasukan utama.

“Hasil perbincangan dengan Tan Sri Vincent Tan dan pengerusi kelab, Melmet Dalman, Ole menyertai Cardiff City dari Molde FK pada hari ini, bertemu dengan pemain-pemain di padang latihan Vale dan akan segera didedahkan kepada wartawan di Stadium Cardiff City,” menurut pengumuman tersebut.

CAN SOMEONE GET THIS FIXED?... Terlalu besarkah permintaan kepada Tan Sri Vincent - pemilik yang kini telah menyerahkan konglomerat Berjaya Corporation kepada anaknya, Dato' Robin; untuk memperbaiki keadaan di surau dalam Kompleks Membeli-belah Berjaya Megamall di Kuantan ini?  


BERTUAH DAPAT KEMBALI KE EPL

Ole, yang juga bekas pemain kebangsaan Norway, seperti yang dilaporkan menerusi laman sesawang yang sama sebagai berkata, beliau berasa bertuah kerana dapat kembali dalam EPL, kali ini sebagai seorang pengurus pula.

“Sudah tentu saya perlu berbincang mengenainya (tawaran sebagai pengurus Cardiff City) dengan keluarga dan nyata sekali, ini peluang yang hebat,” Ole dipetik sebagai berkata. – Khabar