Tuesday 17 June 2014

Jangan keluar lesen judi untuk Berjaya Hills

… jika penentangan kita sebelum ini berjaya, begitulah juga diharapkan kali ini.

ASALNYA, BUKIT TINGGI RESORT... Sempena nama geografi kawasan di Bukit Tinggi, Bentong yang kemudian digantikan dengan nama sempena konglomerat berkenaan - Berjaya Hills. 


Alamaya, INDERA MAHKOTA 5, KUANTAN – Seperti diduga, Kumpulan Berjaya – pemilik pusat peranginan yang mereka namakan dengan gah, Berjaya Hills (asalnya, Bukit Tinggi Resort – nama menurut geografi kawasan) di Bukit Tinggi, Bentong, mahu membuat permohonan semula untuk mendapat lesen judi mengendali kasino bagi kegunaan resort ini.

Ini dipercayai ada kaitan dengan laporan berita sebelum ini tentang kebarangkalian Resorts World Genting (RWG) – pengendali tunggal bagi pusat perjudian di negara ini setakat ini, memohon menambah lagi 100 meja judi di pusat peranginannya di Genting Highlands dalam usaha menaik taraf  bernilai RM3,000 juta di sana.

Permohonan semula bagi mendapat lesen judi di Berjaya Hills ini mungkin berasaskan logik; jika RWG memohon dan dipertimbangkan untuk menambah lagi 100 meja judi, mengapa pula permohonan mereka (Kumpulan Berjaya) yang telah ditolak sebelum ini, tidak mendapat layanan sepertimana RWG?

Rancangan untuk memohon semula lesen judi ini disebut oleh pengasas Kumpulan Berjaya, Tan Sri Vincent Tan sepertimana laporan berita yang disiarkan dalam halaman pertama sisipan Business Times keluaran akhbar New Straits Times pada Selasa, 17 Jun.

Beliau dilaporkan berkata agar permohonan semula ini – dengan menyuntik pelaburan kira-kira RM3,000 juta (sama nilai sepertimana yang diumumkan oleh RWG untuk menaik taraf resort mereka di Genting Highlands); tidak akan menerima tentangan daripada mana-mana pihak.

PELAN LOKASINYA...


TAK BOLEH TUMPU KEPADA SATU PENGENDALI KASINO SAHAJA?

“Kami akan memohon semula lesen itu. Malaysia tidak boleh tertumpu kepada satu pengendali. Ia patut dikongsi dengan pengendali-pengendali lain memandangkan pembangunan pelancongan boleh menjana pendapatan yang banyak kepada negara,” Tan Sri Vincent dilaporkan sebagai berkata.

Beliau juga berkata, “Kami akan memasarkan Berjaya Hills secara global, sebagai destinasi kasino. Saya mempunyai tanah seluas 4,600 hektar di Berjaya Hills dan banyak yang boleh dilakukan dengan pemilikan lesen berkenaan.”

Seperti yang kita masih ingat, Kumpulan Berjaya telah pertama kali memohon mendapatkan lesen judi bagi Berjaya Hills pada awal tahun 2000, semasa negara masih di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bagaimanapun, permohonan itu menerima tentangan keras terutamanya dari Kerajaan Negeri sendiri, yang ketika itu, Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob berada pada awal tempohnya sebagai Menteri Besar lagi.

Tentangan keras tersebut bukan sahaja dinyatakan dengan jelas dan dilaporkan oleh akhbar-akhbar tempatan hingga mendapat reaksi serta sokongan padu daripada pihak-pihak seperti pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO), tetapi turut disampaikan menerusi saluran betul dalam hubungan Kerajaan Negeri ke Karajaan Persekutuan.

COLMAR TROPICALE... Tarikan yang masih belum kuat hingga perlukan lesen judi?


“Bila pulalah Kerajaan suruh Berjaya bersaing dengan Genting?”

Ketika itu juga, penulis sendiri ada bertanyakan kepada seorang pegawai tinggi Kumpulan Berjaya tentang rasional di sebalik permohonan untuk lesen judi berkenaan yang jawabnya, ialah untuk bersaing dengan RWG.

“Bagaimana Kerajaan hendak berharap kami bersaing dengan Genting jika kami tidak diberikan lesen,” begitulah lebih kurang alasan yang diberikan, yang dalam hati penulis tertanya pula, “Bila pulalah Kerajaan suruh Berjaya bersaing dengan Genting?”.

Seingat penulis, semasa Kerajaan Negeri didatangi – ketika Tun Mohd Khalil Yaakob sebagai Menteri Besar; bagi permohonan untuk mendapatkan tanah Kerajaan di Bukit Tinggi itu, yang dicadangkan – sepertimana idea Dr Mahathir juga, ialah membangunkannya seperti kawasan peranginan tanahtinggi Alsace di timur Perancis.

Dan jika kita semak kembali apakah tempat-tempat tarikan di wilayah ini – daripada laluan Tour de France menerusi Lembah Munster, bandar Colmar di tengah-tengahnya atau Alsace Ecomuseum yang menempatkan 70 rumah ‘country’; tidak satupun yang menjurus kepada penganjuran aktiviti perjudian.

Kalaupun yang negatif ialah wujudnya tarikan Alsace Wine Route, yang membawa pengunjung menelusuri laluan dan sejarah pembuatan wainnya, yang dikatakan menghimpunkan kira-kira 1,000 pengeluar bahan minuman tersebut.

TARIKAN DI KAWASAN TANAHTINGGI WILAYAH ALSACE, FRANCE...


NAK JADI DESTINASI KASINO MENYIMPANG DARIPADA MATLAMAT ASAL

Maka kini, jika Kumpulan Berjaya hendak menjadikan kawasan tanahtinggi ini sebagai ‘destinasi kasino antarabangsa’ pula, jelas sekali ia telah menyimpang jauh daripada sasaran asal bagi memajukannya.

Kalau alasan untuk menjana pendapatan negara digunakan termasuk kononnya, bakal mewujudkan kira-kira 10,000 lagi peluang pekerjaan; maka kita boleh katakan kepada Tan Sri Vincent, ‘go fly a kite’lah.

Kita tidak perlukan ‘gula-gula’ sebegini yang, sungguhpun dijanjikan bulan dan bintang sekalipun, masih kita tidak perlukan yang sudah tentu tidak akan ada ‘barakah’nya (istilah dan maksud yang mungkin pula sukar difahami oleh orang bukan Islam).

Maka, jika permohonan daripada Kumpulan Berjaya sebelum ini ditolak oleh Kerajaan Persekutuan khususnya Kementerian Kewangan, ekoran bantahan keras daripada Kerajaan Negeri serta pelbagai pihak lain; begitulah juga diharapkan pada kali ini.

Untuk berlaku adil kepada semua – termasuk juga kepada kedua-dua Kumpulan Berjaya dan RWG (mengenai permohonan untuk tambahan 100 lagi meja judi itu), elok ditolak sahaja permohonan kedua-duanya serta tegaskan ‘once and for all’, cukuplah dengan apa yang telah diperolehi selama ini.

Tak kiralah jika pemilik atau pemimpin kedua-dua konglomerat ini boleh sahaja ‘berlaga bahu’ dengan ‘powers that be’ atau ber‘kenalan rapat’dengan mana-mana pihak istana, yang lebih utama, tentulah rakyat-jelata serta syiar Islam yang hendak terus dipertahankan di sebuah negara Islam seperti Malaysia. – Khabar