Tuesday 10 June 2014

Tuntutan kepada komitmen dan semangat tinggi bagi majukan persatuan belia

… sepertimana saranan Menteri Besar pada Malam Anugerah Belia Negara peringkat negeri Pahang 2014

MENTERI BESAR DAN PEMENANG-PEMENANG ANUGERAH...


HOTEL ZENITH, KUANTAN – Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob menyarankan para belia agar dapat memberikan komitmen dan bersemangat tinggi dalam memajukan persatuan belia masing-masing.

Menurutnya, ketika beliau masih belasan tahun lagi dengan menyertai Persatuan Belia Bersekutu Mukim Bentong (PBBMB), banyak aktiviti belia dapat dilakukan secara sukarela dan dengan peruntukan yang terhad.     

“Bukan pula saya ingin menyatakan di sini iaitu Saudara-saudari mesti menghabiskan wang ringgit (sendiri) untuk kegiatan belia, tidak...

“Tetapi yang saya maksudkan ialah supaya sekurang-kurangnya komitmen, semangat itu mesti ada untuk memajukan persatuan belia kita,” katanya dalam ucapan luar teks 17-minit pada Malam Anugerah Belia Negara peringkat negeri 2014, Selasa, 10 Jun di sini.

Menurutnya lagi, menerusi penglibatan dalam persatuan belialah seseorang berpeluang untuk melatih diri dalam aspek kepimpinan – sama ada dalam kedudukan sebagai pengerusi mahupun jawatan-jawatan lain.  

KEBANGGAAN SEORANG MB, DAN SEBAGAI WAKIL RAKYAT... Kejayaan Persatuan Belia Satu Pelangai yang dinobatkan sebagai pemeang utama dengan membawa pulang wang tunai RM10,000, tentu sekali membanggakan Dato' Sri DiRaja Adnan yang juga wakil rakyat negeri (BN - Pelangai). 


‘BENARKAN YANG ADA TOKOH KE HADAPAN’

Dan beliau percaya betapa dalam persatuan belia di negeri ini, tidak banyak politiking seperti gejala guling-mengguling atau menganjurkan undi tidak percaya terhadap pemimpin.

“Seboleh-bolehnya biarlah kegiatan belia ini kita laksanakan sebaik-baiknya dan dalam masa pemilihan, biarlah proses itu berjalan supaya mereka yang ada ketokohan akan ke hadapan.

“Dan kita sebagai orang yang menyokong tetap menyokong, kalau ada yang menjadi ahli biasa, biarlah (berperanan sebagai) ahli biasa,” katanya lagi.

Beliau seterusnya menyarankan agar golongan belia – selain memastikan mereka mendapat perhatian sewajarnya daripada Kerajaan, mereka juga mesti sedar betapa mereka adalah golongan yang penting dalam negara.

“Bermakna, kalau golongan belia kita ini mempunyai prestasi yang tinggi dalam bidang pendidikan, mempunyai disiplin yang tinggi dan setiap perkara yang kita lakukan, laksanakan adalah mengikut kaedah-kaedah tertentu yang menjamin kejayaan sesuatu perkara yang kita lakukan itu, maka ini akan menjamin masa depan negara,” katanya.

CEK BUAT IKON BELIA NEGERI... Dato' Sri DiRaja Adnan sedang menyampaikan cek kepada pendakwah terkenal yang juga kakitangan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Encik Badli Shah Alauddin.


BELIA IALAH ANTARA 15 DAN 40 TAHUN

Beliau seterusnya memberikan takrifan kepada ‘belia’ sepertimana diistilahkan oleh Dasar Pembangunan Belia Negara, iaitu yang berumur antara 15 dan 40 tahun.

Dan di negara ini, terdapat 13.676 juta orang belia, yang membentuk kira-kira 49 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk negara yang kini mencecah kira-kira 28 juta orang.

Daripada 13.676 juta orang ini, belia lelaki ialah kira-kira 7.112 juta manakala belia perempuan ialah kira-kira 6.564 juta orang.

Di Pahang pula, jumlah belia ialah seramai 703,400 orang atau kira-kira 47 peratus daripada jumlah penduduk negeri yang seramai kira-kira 1.5 juta orang, yang daripadanya, belia lelaki ialah kira-kira 384,600 orang manakala belia perempuan ialah kira-kira 318,800 orang.

“Ini sahaja menjadikan golongan belia sebagai kumpulan umur terbesar di negara dan negeri ini, maka sewajarnya diberikan perhatian khusus terhadapnya,” katanya.

MESRA BERSAMA PESERTA CILIK... Mereka mungkin bukan belia, tetapi persembahan anak-anak cilik dalam seni mempertahankan diri pada Malam Anugerah ini telah turut menarik perhatian Menteri Besar.


ENAM PERKARA TENTANG BELIA DALAM MENIFESTO

Dato’ Sri DiRaja Adnan seterusnya mengulangi enam (6) perkara mengenai belia, yang termaktub dalam Manifesto Barisan Nasional (BN) Negeri bagi menghadapi Pilihanraya Umum ke-13 pada Mei tahun lepas.

Keenam-enamnya ialah untuk menyalurkan bantuan pengurusan kepada semua persatuan belia di peringkat akar umbi sebanyak rm 3,000 setahun; untuk menambahbaik dan melengkapkan semua gelanggang futsal dengan pencahayaan, pagar dan kemudahan tandas;

Bagi menyediakan premis perniagaan khusus untuk membangunkan usahawan belia di kawasan berdaya maju di semua daerah; ke arah memperkasakan capaian ekonomi di kalangan graduan anak pahang termasuklah dari timur tengah dengan melahirkan sekurang-kurangnya 100 usahawan dalam tempoh lima (5) tahun.

Demi mewujudkan tabung amanah usahawan muda bernilai RM5 juta; dan, untuk menggalakkan program sukarelawan bagi meningkatkan penglibatan belia di dalam masyarakat.

“Janji enam (6) perkara ini, memang sedang dalam usaha pelaksanaan. Kebanyakan daripadanya telahpun ada cuma perlu dipertingkatkan sahaja lagi.

CERIANYA MENTERI BESAR, DALAM MENYAMPAIKAN UCAPAN LUAR TEKS 17-MINITNYA...


BANTUAN PENGURUSAN DINAIKKAN KEPADA RM3,000

“Misalnya, daripada segi bantuan pengurusan untuk persatuan-persatuan belia, sebelum ini, Kerajaan Negeri salurkan ialah RM2,000 setahun kepada 16 persatuan yang di bawah Majlis Belia Negeri.

“Yang perlu dilaksanakan demi menetapi janji, ialah meningkatkan nilainya kepada RM3,000 setahun dan pula meliputi semua persatuan belia termasuk di peringkat akar-umbi,” katanya.

“Saya berharap, tuan-tuan dan puan-puan golongan belia sekelian, dapat bersabarlah. Saya pernah sebutkan sebelum ini, Kerajaan Negeri hanya berjanji atas perkara-perkara yang berupaya dilaksanakannya.

“Ia tidak sekali-kali menjanjikan ‘bulan dan bintang’ yang tentu tidak dapat tercapai,” katanya lagi.

Pun begitu, beliau menambah kata betapa janji untuk membina 15,000 unit rumah mampu milik di bawah Program Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) Negeri Pahang dalam tempoh antara 2014 dan 2018 seperti juga termaktub dalam Manifesto BN Negeri itu, turut melibatkan golongan belia.

BELIA DIUTAMAKAN UNTUK BELI PR1MA NEGERI PAHANG

Misalnya, kriteria yang ditetapkan bagi mereka yang layak memohon untuk memiliki unit-unit rumah di bawah PR1MA Negeri ini ialah – selain dianya rakyat Malaysia dengan keutamaan kepada rakyat KDYMM Sultan Pahang, berpendapatan seisi rumah tidak lebih RM5,000 sebulan, telah menetap di negeri ini secara berterusan tidak kurang lima (5) tahun ialah;

Keutamaan kepada mereka yang berumur 40 tahun ke bawah atau kategori di bawah takrifan ‘belia’.

“Kita janji 15,000 ni kalau kot 15,000 ni payah dicapai. Rupanya mudah sangat, tak sampai setahun hampir dah 15,000. Kalau macam tu patut kita boleh janjikan 15 (,000) X 5, 75,000 unit!

“Di sini saya ingin sebutkan, kita akan teruskan usaha ini. Apabila sasaran (15,000 unit) telah dicapai, kita akan teruskan. Dan setakat ini, kita telahpun melaksanakan beberapa projek dan keluasan yang terlibat 29 kawasan, seluas 1,200 ekar,” katanya.

Selain Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Sri Muhammad Safian Ismail, yang turut hadir ialah Pengerusi, Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri, Dato’ Mohd Johari Hussin; beberapa ahli Exco Kerajaan Negeri dan wakil-wakil rakyat;

Serta, Pengarah, Jabatan Belia dan Sukan Negeri, Kamarulzaman Hassan Mansor; dan, Presiden, Majlis Belia Negeri, Encik Khairul Amin Osman. – Khabar