Monday 12 October 2015

Fokus untuk sediakan PR1MA Negeri bagi rumah teres setingkat, RM80,000 pula


… sasarannya ialah bagi yang berpendapatan seisi rumah, RM5,000 ke bawah

“Sekarang ini, ‘the stumbling block is to get loan from the banks’,  mendapatkan ‘loan’ daripada bank. Sebab bank nakkan penyata. Ramai orang, duit ada tapi tak boleh nak bagi penyata,” kata Menteri Besar.

MENYAMPAIKAN KUNCI RUMAH... Dengan diiringi Dato' Sri Wan Rosdy, Dato' Sri DiRaja Adnan sedang menyampaikan sendiri kunci-kunci rumah ini kepada 213 penerima. 


PERUMAHAN MAKMUR SENTRAL JAYA, BERA – Setelah berjaya melepasi sekali ganda sasaran 5-tahun berjumlah 15,000 unit dalam pembinaan PR1MA Negeri kategori rumah berkembar bernilai RM150,000 sebuah dalam tempoh hanya dua (2) tahun sejak 2014;

Kerajaan Negeri kini mahu memfokuskan kepada menjayakan satu lagi jenis kategori di bawah PR1MA Negeri yang sama – untuk membina kategori teres setingkat bernilai RM80,000 sebuah pula.

Dengan mempunyai 3-bilik tidur, 2-bilik air, berkeluasan antara 750 dan 800 kaki persegi, sasarannya ialah kepada keluarga yang berpendapatan bulanan kira-kira RM5,000 ke bawah.

“Selama dua (2) tahun yang lalu, kita telah memberikan kelulusan dan dalam peringkat pelaksanaan berbagai-bagai fasa, jumlahnya 30,000 unit.

“Kita telah putuskan dalam – dua (2) bulan yang lepas, fokus kita sekarang ini ialah kepada membina rumah yang setiap unit boleh dijual dalam harga RM80,000 (pula),” demikian kata Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob.

SEMPURNALAH... Menteri Besar sedang bersalaman dengan Encik Chua sambil yang lain memerhatikan. Antara yang turut kelihatan dalam foto ini ialah Dato' Ishak; Dato' Norol Azali; dan Dato' Mohamad. 


TEPATI SASARAN MANIFESTO, TIGA (3) TAHUN LEBIH AWAL

Beliau menyatakan ini pada persidangan media sempena Majlis Penyerahan Kunci PR1MA Negeri kepada 213 penerima bagi Perumahan Makmur Sentral Jaya ini pada pagi Isnin, 12 Oktober.

Beliau telah diminta mengulas ucapan luar teks 34-minitnya sebelum itu, yang antara lain menyebut tentang betapa hanya dalam tempoh dua (2) tahun, PR1MA Negeri telah berjaya membina kira-kira 30,000 unit rumah berkembar di seluruh negeri.

Jumlah ini mengatasi sekali ganda sasaran yang telah ditetapkan serta awal tiga (3) tahun, sepertimana turut terkandung dalam  manifesto Barisan Nasional (BN) Negeri pada Pilihanraya Umum ke-13 lepas, bagi membina 15,000 unit rumah tersebut antara tahun 2014 dan 2018.

Menyedari betapa pemaju mungkin kurang berminat untuk membina rumah bernilai RM80,000 yang tidak menjanjikan keuntungan itu, Dato’ Sri DiRaja Adnan berkata betapa, elemen subsidi bersilang akan turut diaplikasikan untuk menjayakannya

“… mungkin kita beri tanah dengan keluasan yang berkadar, untuk pemaju membuat rumah yang bernilai lebih (tinggi) supaya pemaju dapat ‘cover’ (kerugian daripada membina) rumah yang RM80,000 tadi.

DALAM UCAPAN LUAR TEKS 34-MINITNYA... 


ELEMEN ‘CROSS-SUBSIDY’ DITERUSKAN

“Maknanya, (masih) ada elemen ‘cross-subsidy’lah.

“Katalah kita beri tanah 20 ekar. Ok, syarikat pemaju ‘XYZ’ buat sekian-sekian unit, awak jual RM80,000 seunit sahaja. Buat yang itu dulu, bila siap kita beri tanah lain, katalah (lagi) 20 ekar, ha yang itu, pemaju boleh buat rumah banglo (dengan harga jualan lebih tinggi lalu memperolehi ‘margin’ keuntungan yang sewajarnya),” katanya.

Jika pembinaan rumah-rumah PR1MA Negeri ini penting – baik rumah berkembar atau teres setingkat, sama pentingnya menurut Dato’ Sri DiRaja Adnan lagi, ialah kemudahan pinjaman bagi rakyat untuk membeli rumah-rumat tersebut.

Menurutnya, beliau ada membangkitkan hal ini pada Mesyuarat Menteri-menteri Besar pada minggu lepas betapa, “… saya telah ketengahkan masalah bank tidak mahu beri pinjaman sebab orang tak ada penyata kewangan”.

Bagi mereka yang bekerja dengan majikan katanya, mereka mempunyai penyata gaji bulanan yang boleh dijadikan bukti pendapatan apabila berurusan dengan institusi-institusi kewangan untuk mendapatkan pinjaman.

MAMPU BELI TAPI TIADA PENYATA

“… tapi, ramai juga orang kampung yang berniaga kecil-kecilan pasar minggu; ramai juga orang Cina jual kuew-tiaw semua ini; ramai juga orang-orang India jual tosai, jual capati semua; yang tak ada penyata pendapatan tapi dia dapat RM4,000-RM5,000 sebulan.

“Jadi saya minta – hari itu dalam mesyuarat, supaya pihak Kerajaan pastikan institusi-institusi kewangan memberikan sedikit kelonggaran. Kalau tidak, orang yang ada penyata sahajalah (yang diberi pinjaman),” katanya.  

“Sekarang ini, ‘the stumbling block is to get loan from the banks’, mendapatkan ‘loan’ daripada bank. Sebab bank nakkan penyata. Ramai orang, duit ada tapi tak boleh nak bagi penyata,” katanya lagi.

Beliau seterusnya mencadangkan agar institusi kewangan – demi menjaga kepentingannya, boleh sahaja menerima rumah-rumah yang hendak dibeli oleh mereka yang tidak berpenyata pendapatan bulanan, supaya menerima rumah-rumah itu sendiri sebagai cagaran.

Yang turut hadir pada majlis di Perumahan Makmur Sentral Jaya ini – dengan siapnya 304 unit rumah berkembar yang dimajukan oleh Syarikat Kekal Serbaneka Sdn Bhd; ialah Yang Dipertua, Dewan Undangan Negeri, Dato’ Ishak Mohamad; Pengerusi, Jawatankuasa Perumahan dan Perbandaran Negeri, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail;

Ahli Exco Kerajaan Negeri, Dato’ Norol Azali Sulaiman yang juga wakil rakyat negeri (BN – Guai); Timbalan Speaker, Dewan Undangan Negeri, Dato' Mohamad Jaafar; wakil rakyat negeri, Dato' Mohd Fadil Osman (BN - Kemayan); Pegawai Daerah Bera, Encik Mohd Razihan Adzharuddin; dan, Pengarah, Syarikat Kekal Serbaneka Sdn Bhd, Encik Chua Chin Seng. – Khabar