Friday 16 October 2015

Pusat pemindahan mangsa banjir bertambah jadi 653 buah, bakal tampung 153,000 orang!


“Dan ini saya harap, akan memberi sikit-sebanyak keselesaan kepada mereka, mangsa-mangsa yang terlibat,” titah KDYTM Tengku Mahkota Pahang

'POSE' UNTUK KAMERA SEBELUM BERMULANYA MAJLIS PERSEMBAHAN TAKLIMAT... KDYTM Tengku Mahkota kelihatan sedang melemparkan senyuman manis ke arah jurufoto bagi dirakamkan, sebelum bermulanya majlis petang Jumaat ini. 

Begitulah juga dengan Dato' Sri DiRaja Adnan dan yang lain, antara yang kelihatan dalam foto ini ialah Dato' Sri Muhammad Safian dan Orang Kaya Indera Pahlawan Pahang, Dato' Sri Wan Wahid Wan Hassan.      


BILIK MESYUARAT GUNASAMA, TINGKAT 10, WISMA PERSEKUTUAN, KUANTAN – Lebih banyak pusat pemindahan mangsa banjir akan dibuka di seluruh negeri Pahang tahun ini – 653 buah, yang mampu menampung sehingga kira-kira 153,000 orang.

Dan ini, menurut titah KDYTM Tengku Mahkota Pahang, merupakan partambahan kepada hanya 627 buah pusat pemindahan , yang mampu menampung penghuni seramai kira-kira 139,000 tahun lepas.

“Pusat-pusat ini ialah di lokasi-lokasi yang lebih strategik. Dan ini saya harap, akan memberi sikit-sebanyak keselesaan kepada mereka, mangsa-mangsa yang terlibat,” titah Baginda lagi.

Ini dititah-nyatakan pada persidangan media sempena keberangkatan Baginda pada Majlis Persembahan Taklimat Persediaan Menghadapi Musim Tengkujuh 2015/2016 petang Jumaat, 16 Oktober di sini.

Taklimat kira-kira setengah jam itu telah dipersembahkan oleh Setiausaha, Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri, Encik Zairasyahli Syah Zakaria. Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob telah mengiringi Baginda pada Majlis Persembahan Taklimat ini.

SESI BERSAMA MEDIA...


PENTING KERJASAMA MKN/APM – AGENSI BAHARU SEBAGAI URUSETIA

Baginda turut menitah-sebut beberapa perkara lagi berkaitan persediaan menghadapi banjir tahun ini – dengan jangkaan turunan hujan tertinggi antara 380 mm dan lebih 900 mm bermula awal Disember, hingga boleh mengakibatkan banjir jika bertembung dengan air laut pasang khususnya di daerah-daerah Kuantan, Pekan dan Rompin.

Antara perkara itu ialah tentang kerjasama yang Baginda harap dapat terjalin antara MKN dengan Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia (JPAM) atau kini, Agensi Pertahanan Malaysia (APM) Negeri – agensi Kerajaan yang pertama kali diberi tugas oleh Kerajaan Pusat untuk menjadi urusetia bagi hal-hal berkaitan bencana alam.

Begitu juga tentang betapa sebuah hab bekalan makanan akan diwujudkan di Temerloh khusus bagi kerja-kerja pembekalan makanan untuk kawasan-kawasan dilanda banjir di bahagian sebelah Pahang Barat.

Baginda turut menitah-sebutkan tentang pentingnya para petugas bencana banjir supaya bersikap amanah, dengan memastikan; “Segala makanan harus sampai kepada mereka yang memerlukan. Jangan ada sesiapun yang mengeksploitasikan (keadaan)”.  

Perkara yang sama juga Baginda bangkitkan dalam titah ucapan luar teks 16-minit Baginda pada Majlis Persembahan Taklimat yang sama ini;

BERAMANAH DALAM SOAL ‘FOOD DISTRIBUTION’

“… berkenaan  dengan ‘food distribution’. Masih lagi saya dapat terdengar, sikit-sebanyak rintihan daripada pengalaman yang lepas, bukan masalah makanan tak cukup (tapi) masalah makanan tak sampai kepada mereka yang memerlukan oleh sebab adanya mereka yang tidak beramanah.

“Saya nak mengingatkan, sepertimana saya dengar dalam khutbah Jumaat hari ini iaitu fasal pemimpin di semua peringkat harus beramanah. Itu satu nasihat bersesuaian dengan hari ini.

“Saya harap mana-mana pemimpin khususnya dalam bilik ini, apabila diamanah, tentukan pegawai-pegawai yang bawah pada tuan-tuan atau puan-puan, harus melaksanakan amanah ini.

“Kerana makanan yang diberi, disediakan oleh pihak Kerajaan atau pihak swasta dan individu, harus disampaikan kepada pihak yang memerlukan, bukan sebaliknya.

“Dan jangan ada pihak yang cuba nak mengeksploitasikan dengan mendapat keuntungan. Saya ingin mengingatkan (bahawa) saya tidak rela perkara ini berlaku dan jika ia sudahpun berlaku, saya harap dapat diperbetulkan,” tegas Baginda.

TITAH-ARAH DIRIKAN SOLAT HAJAT, MOHON ELAK BANJIR

Baginda juga menitahkan agar Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) serta Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) mengeluarkan arahan kepada masjid-masjid agar solat hajat mula diadakan setiap malam Jumaat, bagi memohon agar bencana banjir tidak berlaku di negeri ini tahun ini.

“Setiap doa itu adalah satu ibadah dan kita perlu teruskan sebelum perkara-perkara, musibah-musibah yang besar berlaku. Janganlah bila dah berlaku baharu kita nak ‘start’ sembahyang hajat,” titah Baginda.

Yang turut hadir ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Sri Muhammad Safian Ismail; Mufti Negeri Dato’ Sri Abdul Rahman Osman; Ahli-ahli Exco Kerajaan Negeri; Ahli-ahli Kerabat DiRaja; Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Zulki-fly Osman; serta, Ketua-ketua Jabatan Kerajaan Negeri dan Persekutuan. – Khabar