Thursday 1 October 2015

Kerajaan Negeri dan UMNO Negeri sokong penuh Mufti Negeri pertahankan khutbah Aidiladha



"Kerajaan Negeri akan memberikan sokongan penuh kepada  beliau dalam mempertahankan isi Khutbah berkenaan". 


NOTA EDITOR

Berikut disiarkan sepenuhnya, kenyataan akhbar-kenyataan akhbar Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob, yang juga Pengerusi, Badan Perhubungan UMNO Negeri.

Kenyataan akhbar-kenyataan akhbar  ini disalurkan menerusi sistem pesanan ringkas (SMS) daripada beliau - yang kini masih dalam lawatan rasmi ke luar negara,kepada media-massa tempatan yang berpengkalan di Kuantan, pada petang Khamis, 1 Oktober.  


KENYATAAN AKHBAR
YAB MENTERI BESAR

1. Kerajaan Negeri menyokong tanpa ragu kenyataan penjelasan yang dibuat oleh Sahibus Samahah Mufti Negeri Pahang Dato Sri Dr. Haji Abdul Rahman bin Haji Osman yang mempertahankan Khutbah Hari 'Aidiladha baru-baru ini.

2. Khutbah merupakan salah satu rukun dalam Sembahyang Jumaat dan kedua-dua Sembahyang  Hari Raya, Hari Raya 'Aidilfitri dan Hari Raya 'Aidiladha.

3. Khutbah merupakan satu amanat yang dibaca kepada Ahli Jama'ah untuk ingat dan mematuhi titah perintah Allah, berselawat ke atas Rasulullah dan menurut Sunnah Baginda serta mengingatkan Ahli Jamaah dan Umat Islam mengenai kehidupan dan kejadian seharian supaya boleh menyesuaikan diri dengan keadaan semasa. Salah satu intipati ialah pentingnya umat Islam hidup bersatu padu serta harmoni antara satu sama lain.

4. Khutbah Hari Raya 'Aidiladha baru-baru ini tidak lari dari landasan yang disebutkan.

5. Kerajaan Negeri mengucapkan Tahniah kepada Mufti Negeri Pahang yang telah menyusun Khutbah yang begitu padat dan penuh bersemangat.

6. Kerajaan Negeri akan memberikan sokongan penuh kepada  beliau dalam mempertahankan isi Khutbah berkenaan.

7. Sokongan Kerajaan Negeri adalah termasuk dan meliputi menyediakan pasukan peguam mempertahankan Mufti jika hal ini dibawa ke Mahkamah oleh mana-mana pihak yang sepatutnya tidak mempertikaikan Khutbah berkenaan yang merupakan sebahagian dari Rukun Sembahyang 'Aidiladha.


KENYATAAN AKHBAR
PENGERUSI BADAN PERHUBUNGAN UMNO NEGERI PAHANG

1. UMNO Negeri Pahang memberikan sokongan penuh kepada Sahibus Samahah Mufti Negeri Pahang Dato' Sri Dr. Haji Abdul Rahman Haji Osman atas tulisan Khutbah Hari Raya 'Aidiladha baru-baru ini yang sangat bermakna dalam usaha mewujudkan tali silaturrahim yang kukuh serta semangat perpaduan yang kuat di kalangan Umat Islam di Negeri Pahang Darul Makmur.

2. Khutbah ini tidak sepatutnya dijadikan isu oleh mana-mana pihak termasuk mempertikaikannya di Mahkamah. 

3. UMNO Negeri bersedia setiap masa untuk membantu mewujudkan pasukan peguam untuk mempertahankan Mufti Negeri Pahang jika hal ini dibawa ke Mahkamah oleh mana-mana pihak.  – Khabar