Wednesday 30 March 2016

Kembalikan kegemilangan tulisan Jawi, titah KDYTM Tengku Mahkota


DUA WAJAH MESRA, UMARA' KITA...  KDYTM Tengku Mahkota kelihatan tersenyum semasa bersemayam di atas pentas sempena Majlis Perasmian Penutup Seminar Antarabangsa Tulisan Jawi tengah hari Rabu ini. 

Dato' Sri DiRaja Adnan kelihatan, turut tersenyum sama.  
 

KOLEJ UNIVERSITI ISLAM PAHANG SULTAN AHMAD SHAH (KUIPSAS), KUANTAN – KDYTM Tengku Mahkota Pahang yang menyempurnakan penutupan Seminar Antarabangsa Tulisan Jawi di sini, menitahkan agar kegemilangan tulisan Jawi dikembalikan.

Ini kerana titah Baginda, tulisan Jawi merupakan warisan sejarah dan budaya bangsa yang digunakan secara meluas dalam kehidupan seharian pada masa lepas, termasuklah dalam aspek perdagangan.

“Malah, ia digunakan (oleh) pegawai Inggeris pada zaman penjajahan Inggeris untuk berurusan dengan Raja-raja dan Pembesar Melayu,” titah Baginda pada majlis penutupan tengah hari Rabu, 30 Mac.

Tulisan Jawi bagaimanapun titah Baginda lagi, telah mengalami keadaan ‘pasang-surut’ sehinggalah ia dipinggirkan terutamanya setelah Bahasa Melayu turut ditulis dalam tulisan Rumi.

Sewajarnya kegemilangan tulisan Jawi dikembalikan kerana sekarangpun, menurut Baginda, tulisan ini dalam bentuk seni khat, sudahpun menjadi satu punca perniagaan dan  komersil.

PADA SEGMEN PAMERAN... Sempena majlis perasmian penutupan ini juga, KDYTM Tengku Mahkota turut berkenan mencemar duli, melawat ke segmen pameran. Kelihatan, Baginda sedang bertanya sesuatu mengenai bahan yang dipamerkan.  
 

LAKUKAN KAJIAN PADA MANUSKRIP TULISAN JAWI

Ke arah mengembalikan kegemilangan tersebut, KDYTM Tengku Mahkota turut menitah-sarankan agar kajian dilakukan ke atas manuskrip-manuskrip lama yang dalam tulisan Jawi.

Baginda turut menitah-sarankan semua pihak – jabatan-jabatan Kerajaan, badan-badan berkanun, majlis-majlis daerah serta swasya di negeri ini, supaya memperkasakan penggunaan tulisan Jawi menerusi setiap aktiviti mereka.

Kerajaan Negeri pula titah Baginda, hendaklah memperkenalkan kembali tulisan Jawi secara berperingkat-peringkat dalam urusan pentadbiran, selain menggunakannya pada papan tanda arah.

“Kementerian Pendidikan juga diharap dapat lebih ke hadapan untuk memainkan peranan supaya tulisan Jawi dapat dipertingkat penggunaannya di sekolah dan dalam kalangan masyarakat.

“Apabila terlaksana hasrat ini, zaman kegemilangan tulisan Jawi dapat dikembalikan kerana sesuatu bangsa itu akan dihormati kerana ketinggian budayanya,”
titah KDYTM Tengku Mahkota lagi.

DALAM KALANGAN HADIRIN SEKELIAN...
 

SEMINAR ANTARABANGSA ANJURAN KUIPSAS

Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob turut hadir pada majlis perasmian penutupan ini. Begitu juga, antara lainnya, Yang Dipertua, Dewan Undangan Negeri, Dato’ Sri Ishak Mohamad;

Timbalan Yang Dipertua, Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), Orang Kaya Indera Pahlawan Dato’ Sri Wan Wahid Wan Hassan; serta Rektor KUIPSAS, Dato’ Yahya Zainal Abidin.  

Seminar dua (2) hari anjuran KUIPSAS ini bertemakan ‘Tulisan Jawi Pemangkin Kegemilangan Peradaban Ummah’ dengan penyertaan selain dari negara ini; ialah Thailand, Brunei dan Rusia. – Khabar