Saturday 19 March 2016

PM ucapkan tahniah atas kejayaan PR1MA Pahang!



“Sebab itu, bila YAB Menteri Besar telah sebut tadi bahawa dalam Manifesto BN Negeri telah tetapkan sasaran 15,000 (unit), sekarang sudah sampai 39,000 unit rumah mampu milik dilaksanakan (di pelbagai peringkat)…

“Jadi, saya ucapkan tahniah kepada Kerajaan Negeri Pahang atas kejayaan ini,” kata Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib

CENDERAMATA BUAT KETUA KITA... Dato' Sri Mohd Najib kelihatan ceria menerima cenderamata daripada Dato' Sri DiRaja Adnan; berupa foto merakamkan satu majlis pada tahun 1986, melibatkan hal perumahan semasa beliau masih lagi Menteri Besar Pahang.
 

TAPAK PROJEK PR1MA PAHANG, KM 23, JALAN KUANTAN-GAMBANG, KUANTAN – Sambil menyatakan senang hatinya atas kejayaan dalam pelaksanaan pelbagai projek dan program di bawah agenda perumahan untuk rakyat-jelata di seluruh negara;

Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Abdul Razak turut mengucapkan tahniah kepada Kerajaan Negeri kerana berjaya melepasi sasaran pembinaan rumah mampu milik di bawah Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) Pahang, daripada 15,000 unit kepada lebih 39,000 unit, yang kini dalam pelbagai peringkat pelaksanaan.  

“Saya senang hati bahawa, agenda perumahan ini terlaksana dengan jayanya. Saya bagi tahu kepada rakan-rakan saya bahawa agenda perumahan ini diberi keutamaan oleh Kerajaan Pusat, oleh Kerajaan Negeri, swasta bersama.

“Sebab itu, bila YAB Menteri Besar telah sebut tadi bahawa dalam Manifesto BN Negeri telah tetapkan sasaran 15,000 (unit), sekarang sudah sampai 39,000 unit rumah mampu milik dilaksanakan (di pelbagai peringkat)…

“Jadi, saya ucapkan tahniah kepada Kerajaan Negeri Pahang atas kejayaan ini,” kata Dato’ Sri Mohd Najib dalam ucapan luar teks 12-minitnya pada Majlis Penyerahan Kunci Rumah PR1MA Pahang pagi Sabtu, 19 Mac di sini.

MENJENGAH DAN MERASAI KESELESAAN DALAM RUMAH PR1MA PAHANG... Mungkin ada sesuatu yang menarik yang dikatakan oleh Dato' Sri DiRaja Adnan hingga membuatkan Dato' Sri Mohd Najib tertawa. 

Selain Dato' Sri Muhammad Safian (kiri sekali), yang turut kelihatan ialah Dato' Sri Wan Rosdy (dua dari kanan); dan, Dato' Fong (kanan sekali). 
 

PERUMAHAN RAKYAT LWN DEKLARASI RAKYAT

Beliau seterusnya menyatakan kekagumannya kerana rumah PR1MA Pahang – rumah berkembar setingkat di sini, dijual pada harga RM150,000 seunit sedangkan harga pasaran semasanya melebihi RM300,000 seunit.

“Oh, inilah kiranya dapat (memiliki rumah berkembar setingkat di PR1MA Pahang) ini sudah untung 100 peratus!,” katanya, sambil menyebut betapa pemilikan rumah bukan sekadar memiliki rumah tetapi juga memiliki aset yang meningkat nilainya dari masa ke semasa.  
“Mana nak dapat tawaran seperti ini? Inilah yang dilakukan oleh Kerajaan kita,  Kerajaan Barisan Nasional,” katanya lagi disusuli tepukan oleh khalayak yang hadir.

“Kita tak usahlah pedulikan sangat, ‘Deklarasi Rakyat’ ke, apa ke. Kita tak payah ‘Deklarasi Rakyat’, ini (projek PR1MA Pahang) dah (cukup) untuk rakyat ini…,” katanya lagi yang sekali lagi menerima tepukan.

“Apa yang kita penting bukan deklarasi... Apa yang kita penting bukan surat... Bukan pengakuan tetapi tindakan yang boleh menguntungkan rakyat seperti projek perumahan. Betul tuan-tuan?” tanya beliau yang serentak itu khalayak menjawab, “Betul…”.

 ANTARA KHALAYAK PADA MAJLIS PAGI SABTU... 


 TERUSKAN BUAT PROGRAM UNTUK RAKYAT

“Apa (yang) memekik sana, memekik sini, melaung sana, melaung sini. Orang yang dulu maki-hamun kita, kita pula (kini) dakap dia… Ha, ini semua, tak patut… Tak patut. Tak patut sangat…

“Apa yang patut kita buat ialah, buat program untuk jaga rakyat, jaga hati rakyat, isikan kehendak rakyat, pastikan segala akujanji kita terlaksana. Kalau lebih, lebih baik daripada akujanji kita macam projek perumahan di Pahang ini, lebih daripada sasaran kita. Inilah dia,” katanya yang sekali lagi disusuli tepukan.

“Kalau macam ini, menang kita (pada pilihanraya umum kelak), insyaAllah. InsyaAllah, menang kita di Pahang ini. Tapi kita (perlu) kerja kuat, insyaAllah. Kita jangan sombong, dengan rakyat kita baik, kita bersikap rendah diri, insyaAllah, rakyat akan terus beri sokongan kepada kita,” katanya lagi.

Pada awal ucapannya, Perdana Menteri telah menyebut tentang betapa menjadi tanggungjawab Kerajaan untuk sentiasa ber‘istiqamah’ serta fokus dalam usaha membangunkan ekonomi serta menjamin kebajikan dan kesejahteraan rakyat.

Hanya menerusi ekonomi negara yang berkembang katanya, peluang pekerjaan misalnya, dapat ditingkatkan sebaliknya, jika menguncup, kadar pengangguran akan meningkat yang boleh membankan kehidupan rakyat juga.  

AHLI KONGRES BERTENTANGAN PARTI TAK KUTUK NEGARA SENDIRI

Oleh sebab itulah juga, beliau mahu rakyat memberi kerjasama dengan tidak membuat angkara yang boleh menyebabkan berlakunya pandangan serong terhadap negara ini khususnya oleh para pelabur luar negara.

Dato’ Sri Mohd Najib kemudian mengisahkan bagaimana beliau menemui ahli-ahli Kongres Amerika Syarikat dari kedua-dua Parti Demokrat dan Republikan yang bertentangan, tiadapun dalam kalangan mereka yang memburuk-burukkan Negara mereka sendiri.  

“Dia (ahli-ahli Kongres dari parti-parti yang berlawanan itu) tetap kata bahawa ‘America is great’. Ha itu ayat dia.

“Tapi, puak-puak kita ini, lain perangainya. Ada yang ke luar negeri, mengutuk kita, mengutuk Malaysia. Kita boleh berbeza pendapat tetapi dari segi nak menyatakan bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang baik dan berjaya, kita mesti tetap perjuangkannya.

“Kerana, inilah bumi kita. Inilah negara kita. Dan kita mestilah pertahankannya,” katanya yang disusuli tepukan gemuruh oleh khalayak sekelian.

PR1MA PAHANG CETUSAN IDEA MENTERI BESAR

Sebelum itu, dalam ucapan luar teks 15-minitnya, Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob antara lain menyebut betapa semasa menghadapi Pilihanraya Umum (PRU) ke-13 yang lepas, BN Negeri telah mensasarkan untuk membina 15,000 unit rumah di bawah PR1MA Pahangnya.

“Tetapi, dalam tempoh dua tahun setengah sahaja, YAB Dato’ Sri, kita telah berjaya meluluskan pembinaan hampir 30,000. Dan sehingga hari ini saya difahamkan, kita telah berjaya meluluskan di semua peringkat pembinaan, (lebih) 39,000 unit,” katanya yang disambut tepukan.

Sungguhpun tidak menafikan bahawa PR1MA Pahang merupakan projek perumahan mampu-milik cetusan ideanya, Dato’ Sri DiRaja Adnan turut tidak ketinggalan untuk menyatakan penghargaannya kepada kedua-dua;

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Perbandaran Negeri, Dato’ Wan Rosdy Wan Ismail; dan, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Sri Muhammad Safian Ismail atas usaha mereka untuk melaksana dan menjayakannya.

Selain Dato’ Sri Wan Rosdy dan Dato’ Sri Muhammad Safian; antara yang turut hadir pada Majlis Penyerahan Kunci Rumah PR1MA Pahang ini ialah Speaker, Dewan Undangan Negeri, Dato’ Sri Ishak Mohamad; Timbalan Menteri Sumber Manusia, Dato’ Sri Ismail Mutalib; dan, Pengarah, Syarikat Dinamik Budimas Sdn Bhd, Dato’ Fong Teck Loon. – Khabar