Wednesday 4 May 2016

Yayasan Pahang diminta kaji ke arah naikkan kadar Biasiswa Sekolah Menengah (BSM) dan Biasiswa Sekolah Rendah (BSR)


“Kita (YP) kaji balik berapa kita boleh bagi. Sebab ini (kadar RM600 setahun untuk penerima BSM dan RM300 setahun untuk BSR khususnya), tak sampai RM30 sebulan, nak makan apa?

“Tengok keadaan kewangan, mungkin kita bagi lumayan sikit,” kata Menteri Besar.

MENTERI BESAR BERSAMA-SAMA PARA PENERIMA... Selain Dato' Sri DiRaja Adnan; yang turut-serta pada sesi foto ini ialah Dato' Mahmud dan Dato' Rosdy. 

DEWAN UTAMA, KOMPLEKS YAYASAN PAHANG, TANJUNG LUMPUR, KUANTAN – Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob hari ini meminta pengurusan Yayasan Pahang (YP) supaya mengkaji ke arah menaikkan kadar Biasiswa Sekolah Menengah (BSM) dan Biasiswa Sekolah Rendah (BSR).

Kadar tersebut ketika ini – RM600 setahun untuk penerima BSM dan RM300 untuk penerima BSR; adalah tidak memadai termasuklah BSM yang sebelum ini telahpun dinaikkan daripada RM450 setahun kepada kadarnya sekarang.

Pengumuman ini tentunya sesuatu yang melega dan menggembirakan disebalik senario ekonomi semasa hingga memaksa kebanyakan penaja-penaja pelajaran lain - sama ada mengurangkan jumlah penerima atau memotong kadar tajaan mereka hingga menambah-bebankan lagi para pelajar penerima mereka sendiri.       

“Tadi, saya telah bisikkan kepada Dato’ Mahmud (mengatakan bahawa) kadar ini sangat rendah. Beliau kata, walaupun rendah tapi penerimanya ramai sangat. Kalau kita naikkan RM5pun, berjuta belanjanya.

“Tapi saya kata kat dia, tak apa. Kita (YP) kaji balik berapa kita boleh bagi. Sebab ini (kadar RM600 setahun untuk penerima BSM dan RM300 setahun untuk BSR khususnya), tak sampai RM30 sebulan, nak makan apa?

BERTANYAKAN KHABAR DAN HAL, DENGAN AYAH KEPADA SEORANG PENERIMA... 


LEBIH RM200 JUTA BELANJA UNTUK BSM, RM60 JUTA UNTUK BSR

“Tengok keadaan kewangan, mungkin kita bagi lumayan sikit,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan dalam ucapan luar teks 26-minitnya pada Majlis Kecemerlangan Pendidikan YP – Hadiah Menteri Besar Pahang 2016 petang Rabu, 4 Mei di sini.

Selain Pengurus Besar YP, Dato’ Mahmud Nawawi yang hadir dan disebutnya itu, antara yang turut hadir ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Sri Muhammad Safian Ismail; Timbalan Yang Dipertua, Dewan Undangan Negeri, Dato’ Mohamad Jaafar;

Ahli-ahli Exco Kerajaan Negeri – Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail; Dato’ Johari Husin; Dato’ Norul Azali Sulaiman; Dato' Shahaniza Shamsuddin; dan Dato’ Syed Ibrahim Syed Ahmad; Ketua Polis Negeri, Dato’ Sri Sharifuddin Abdul Ghani; dan, Pengarah Pelajaran Negeri, Dato’ Rosdy Ismail.

Menurut Dato’ Sri DiRaja Adnan lagi, kedua-dua BSM dan BSR telah diperkenalkan sejak 1983 lagi ketika mana Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Abdul Razak ialah Menteri Besar dan juga Pengerusi YP.

Sejak itu hingga kini katanya, YP telah membelanjakan kira-kira RM234 juta untuk BSM yang dimanfaati oleh 147,539 pelajar; dan, kira-kira RM60 juta untuk BSR yang dimanfaati oleh 88,759 pelajar.

KEMESRAAN MENTERI BESAR YANG SENTIASA DIKAGUMI... Penerima serta ibubapanya kelihatan gembira bersemuka dan berbual mesra dengan Dato' Sri DiRaja Adnan sambil Dato' Mahmud menyaksikan. 


MB JADI PELAJAR UNDANG-UNDANG UIAM SEMULA

Untuk angka semasa pula, pada tahun lepas sahaja (2015), seramai 33,474 pelajar ialah penerima BSM, dan, 24,847 pelajar penerima BSR. Dan, mereka inilah dijangka dapat menikmati kenaikan pada kadar kedua-dua skim itu setelah dikaji dan dilaksanakan nanti.  

Dalam ucapannya, Dato’ Sri DiRaja Adnan turut menyebut betapa YP akan turut membantu meringankan beban 150 pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang dikesan miskin, dengan menyalurkan bantuan ‘one-off’ kepada mereka.

Hal kemiskinan 150 pelajar ini menurutnya, telah dimaklumkan oleh pihak Alumni universiti itu kepadanya, betapa, “… ada 150 pelajar miskin yang makan sekali sehari ditaja oleh Alumni UIA ini.

“Dan merekapun kadang-kadang bila minum petang itu (kalau) ada roti lebih, (mereka akan) bawa balik ke bilik untuk makan malam nanti. Kebanyakannya dari Kelantan, Terengganu – mangsa-mangsa banjir 2014,” katanya.

“Saya pula baru-baru ini telah diterima masuk sebagai pelajar Fakutli Undang-undang, Universiti Islam Antarabangsa,” katanya lagi, disambut tepukan hadirin secara spontan. “… dan diberi tempoh dua (2) tahun untuk menamatkan kursus LLB.

KENAMAAN SERTA PARA HADIRIN SEKELIAN... Inilah barisan kenamaan dan hadirin yang hadir pada majlis petang Rabu ini. 

Antara yang turut kelihatan ialah Dato' Mohamad; Dato' Shahaniza dan Dato' Syed Ibrahim Syed Ahmad; Ahli-ahli Lembaga Pemegang Amanah YP - Dato' Abdul Jabbar Ibrahim dan Dato' Law Kee Long; serta, Dato' Sharifuddin.   


RM4,000 ‘ONE-OFF’ SEORANG UNTUK BANTU 150 PELAJAR MISKIN UIAM

“Sayapun terfikir, elok juga dibantu pelajar-pelajar 150 orang tadi yang pelajar dari Pahang tak sampai 20 orang, kebanyakannya Kelantan dan Terengganu. Saya ingat nak bagi Pahang lebih sikit, Terengganu, Kelantan kurang sikit.

“Tapi saya fikir; susah ini sama sahaja, lapar ini sama sahaja. Bukan (ber)makna orang kaya tu (jika) dia lapar, lapar dia sikit. Orang miskin pula (jika) lapar, lapar banyak, dak... Gelak, ketawa, sakit, kenyang, lapar – semua orang sama.

“Jadi insyaAlahnya, 10 haribulan ini, kita akan bagi setiap pelajar 150 orang itu ‘one-off’ sebanyak RM4,000 seorang,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan yang sekali lagi menerima tepukan daripada hadirin.

Sebelum itu, pada awal ucapannya lagi, beliau telah menyebut betapa sejak penubuhan YP pada tahun 1983 hingga kini, ia telah membelanjakan hampir RM1,000 juta untuk hal-hal berkaitan pendidikan, yang dimanfaati oleh kira-kira 1.6 juta pelajar anak Pahang.

“… tak kira bangsa, dasar awal, kira rakyat Pahang – Melayu, Cina, India, Orang Asli; kita beri semua. Datang (ke YP sahaja) mengadu, kita tengok kes boleh dibantu (maka) kita bantu,” katanya yang juga Pengerusi YP.

RAIKAN PELAJAR-PELAJAR CEMERLANG

Pada majlis petang Selasa ini, 102 pelajar yang mendapat keputusan cemerlang pada Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR); 14 pelajar dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM); 23 pelajar dalam Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM); 10 pelajar dalam Sijil Menengah Agama (SMA); dan, lima (5) pelajar dalam Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) telah diraikan.

Yang turut diraikan ialah 11 sekolah cemerlang dan enam (6) penerima Biasiswa Kecemerlangan Menteri Besar (BKMB) yang masing-masing menerima insentif wang tunai RM1,000, komputer riba dan sijil penghargaan.– Khabar