Monday 13 February 2017

Lagi RM56,000 juta pelaburan masuki Pahang, wujudkan lebih 52,000 peluang pekerjaan

                      
DALAM 'MOOD' UNTUK BERMESYUARAT...  Mesyuarat ICC ECER Pahang pada pagi Isnin, 13 Februari.


PEJABAT ECER PAHANG, JALAN TELUK SISEK, KUANTAN – Pahang berjaya meraih pelaburan dalam dan luar negara sebanyak RM56,000 juta, mewujudkan 52,169 peluang pekerjaan untuk rakyatnya setakat Disember lepas.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan sempena Mesyuarat Penyelarasan dan Pelaksanaan (ICC) Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) yang dipengerusikan oleh Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob pada pagi Isnin, 13 Februari di sini;

Prestasi kukuh ini ekoran pertumbuhan pesat sektor pembuatan yang menyumbang 51 peratus kepada keseluruhan jumlah pelaburan.

Taman-taman perindustrian di Pahang termasuk Taman Perindustrian Malaysia-China Kuantan (MCKIP), Taman Halal Gambang, Taman Automotif Pekan (PAP) dan Taman Bio Bersepadu Kuantan menurut kenyataan itu, menjadi pemacu utama kepada momentum pertumbuhan negeri.

Setakat ini, keempat-empat taman industri tersebut secara keseluruhannya telah berjaya menarik pelaburan RM19,54o juta dan mewujudkan 21,460 peluang pekerjaan.

HUBUNGAN AKRAB PEMIMPIN UTAMA NEGARA DENGAN NEGERI... Dato' Sri DiRaja Adnan kelihatan sedang berbisik sesuatu kepada Perdana Menteri Dato' Sri Mohd Najib Abdul Razak ketika berada di pentas utama sempena Majlis Rumah Terbuka Malaysia Tahun Baharu Cina peringkat nasional yang diadakan pada malam tadi, Ahad, 12 Februari di Dataran Bentong, Bentong.


PENYUMBANG UTAMA

Penyumbang utama terhadap pertumbuhan Pahang yang lain merangkumi pelancongan serta sektor minyak, gas dan petrokimia, yang masing-masingnya telah menyumbang pertumbuhan sebanyak 26.3 peratus dan 7.3 peratus.

Pahang telah muncul sebagai satu daripada destinasi utama bagi pelabur khususnya sektor pembuatan, susulan pelaburan Kerajaan ke dalam projek pembangunan strategik penting dan berimpak tinggi sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Pelaburan ke Pahang dijangka akan menerima satu lagi rangsangan dengan siapnya projek perluasan Pelabuhan Kuantan dan kemajuan berterusan di MCKIP pada tahun 2017 ini.

Kesemua ini akhirnya akan mencetuskan limpahan manfaat kepada penduduk tempatan menerusi peluang pekerjaan dan keusahawanan yang lebih besar, menurut kenyataan yang sama itu lagi.

Daripada kesemua taman industri di Pahang, MCKIP kini merupakan pemacu ekonomi yang penting setelah berjaya menarik pelaburan dari dalam dan luar negara bernilai RM18,100 juta.

PERSEMBAHAN MENARIK MALAM AHAD...


RM6,950 PELABURAN LIBATKAN BUMIPUTERA

Malahan, kerja-kerja pembinaan dan kegiatan ekonomi di MCKIP kini berlangsung sepenuhnya dengan Alliance Steel (M) Sdn Bhd – pelabur pertama dan terbesar taman industri tersebut, akan memulakan operasi menjelang akhir tahun ini dengan anggaran bakal mewujudkan 3,500 peluang pekerjaan.

Bagi pelaburan Bumiputera pula, Pahang telah menerima dan meluluskan 37 projek bernilai RM6,950 juta daripada syarikat-syarikat Bumiputera yang yang akan membantu menjana 4,071 peluang pekerjaan bagi rakyat.

Daripada jumlah ini, 15 projek Bumiputera bernilai RM358.4 juta, telah menerima manfaat sebanyak RM44.4 juta daripada Dana Mudahcara TERAJU@ECER. Kebanyakan pelaburan ini adalah untuk syarikat Bumiputera yang terlibat dalam industri pembinaan dan perkhidmatan.

Sementara itu, sebilangan projek prasarana berimpak tinggi kini sedang dalam pembinaan. Misalnya, Pelabuhan Kuantan – yang sedang diluaskan untuk menjadi pelabuhan laut dalam, bakal menawarkan para pelabur di MCKIP laluan terpantas ke pelabuhan utama di China dan pasaran Asia Pasifik.

Apabila siap kelak, terminal laut dalam baharu di Pelabuhan Kuantan, dengan kedalaman maksimum 18 meter, akan membolehkan pelabuhan itu menerima kapal bersaiz sehingga 200,000 tan DWT.

LOJI RAWATAN AIR GANCHONG SIAP MAC INI

Ia juga akan mampu mengendalikan 52 juta tan berat freight barangan dan kargo kontena, dua (2) kali ganda kapasiti yang sedia ada dan mengukuhkan kedudukan Pelabuhan Kuantan sebagai ‘Pintu Masuk Ke Asia Pasifik’.

Di samping itu, Loji Rawatan Air Ganchong di Pekan juga bakal disiapkan dalam jangka masa yang telah ditetapkan – menjelang Mac ini (2017). Loji ini akan mampu menyalurkan 80 juta liter air terawat bersih sehari bagi kegunaan perindustrian, komersil dan domestik di Peramu, Pahang Tua dan Kuala Pahang.

Kluster perniagaan tani juga mempunyai potensi besar dalam memacu pertumbuhan ekonomi di negeri Pahang. Sebuah kilang pemprosesan susu baharu dijangka siap tahun ini di Pusat Penyelidikan dan Inovasi Lembu Muadzam Shah (MSCRIC).

Ini akan membolehkan syarikat induk iaitu Holstein Milk Company, meningkatkan pengeluaran tenusunya di Pahang dan mengukuhkan pusat tersebut sebagai pengeluar tenusu terbesar di Malaysia.

Produk-produk tenusu Holstein, yang dijual menggunakan jenama Farm Fresh, pada masa ini menguasai lebih 39 peratus pasaran tempatan bagi segmen Susu Segar.

USAHA PENGHASILAN NENAS

Pembangunan-pembangunan lain di Pahang yang dijadual siap tahun 2017 ini adalah Ladang Bersepadu Nanas Rompin (RIPP) seluas 1,200 ekar membabitkan tapak semaian, perladangan serta pusat pungutan, pemprosesan dan pembungkusan.

Pada tahun 2020, RIPP dijangka menghasilkan 30,000 metrik tan nanas segar setahun yang seterusnya mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan peluang keusahawanan bagi rakyat menerusi keseluruhan nilai rantaian.

Sementara itu, Fasa 1 Pembangunan Kluster Bersepadu Herba (HICD) di Pahang yang seluas 327 ekar juga telah hampir siap. Petani luar dan satelit bakal menerima manfaat daripada model perniagaan syarikat induk yang akan mengadakan aturan belian-semula daripada petani, dan oleh itu, memastikan pulangan mapan.

ECERDC juga telah memberi penekanan yang sama penting terhadap pembangunan modal insan di mana lebih daripada 35,000 rakyat Pahang telah mendapat manfaat daripada program pembangunan modal insan seperti empower ECER, entrepreneur ECER, ECER Talent Enhancement Programme, Agropolitan, Suri@Home dan TeraS.

Pada tahun lepas (2016) sahaja, seramai 971 peserta dewasa telah menjadi usahawan menerusi pelbagai program yang diadakan di bawah ECERDC dan ini telah mewujudkan kira-kira 2,448 peluang pekerjaan bagi penduduk tempatan.

PROJEK UNTUK KUMPULAN B40

Kumpulan berpendapatan B40 mewakili 93 peratus daripada keseluruhan peserta tersebut memandangkan ia adalah selaras dengan strategi untuk menambah baik pendapatan dan kehidupan kumpulan sasaran melalui penyediaan peluang meningkatkan kemahiran serta keusahawan.

Melangkah ke hadapan untuk tahun 2017 ini, Majlis Pembangunan ECER (ECERDC) berharap untuk mengumpul sehingga 1,350 bakal usahawan menerusi program entrepreneur ECER.

“Kami juga akan menjalin kerjasama dengan Universiti Teknologi MARA bagi mempromosikan industri batik tempatan dan kami berhasrat untuk melahirkan kira-kira 20 usahawan batik bagi mempromosikan industri tekstil Malaysia untuk memenuhi pasaran antarabangsa,’’ menurut kenyataan yang sama. – Khabar