Monday 27 February 2017

Lot tapak rumah 5,000 kaki persegi untuk generasi ke-2 Felda

... projek perintis bagi 125 anak peneroka Felda Keratong 5, Rompin.

“Dan saya percaya, kalaulah di tanah-tanah Felda yang lain ada tapak yang sesuai seperti tempat ini, kita boleh buat cepat – menyediakan tapak-tapak (rumah) untuk generasi kedua Felda,” kata Menteri Besar.

MAJLIS PECAH TANAH PETANG ISNIN... Selain Dato' Sri DiRaja Adnan yang sedang mengendalikan jengkaut; yang turut kelihatan ialah Tan Sri Shahrir dan Dato' Sri Hasan.


KAWASAN LAPANG, RANCANGAN TANAH FELDA KERATONG 5, DEWAN UNDANGAN NEGERI (DUN) BUKIT IBAM, ROMPIN – Tapak rumah seluas 5,000 kaki persegi satu lot, untuk anak-anak peneroka bagi menangani masalah perumahan generasi kedua di Rancangan Tanah Felda-Rancangan Tanah Felda seluruh negara.

Inilah yang sedang diusaha untuk dijayakan, sekurang-kurangnya di Rancangan Tanah Felda Keratong 5 ini. Dengan keluasan ‘tanah kosong’ kira-kira 11.08 hektar, dijangka dapat mewujudkan 125 lot kesemuanya.  

Asalnya, ialah inisiatif anak-anak peneroka di sini – sanggup mengeluarkan perbelanjaan sendiri sehingga RM125,000 sebagai kos untuk kerja-kerja ukur dan tanah; tetapi kini diterima baik oleh Kerajaan Negeri serta pengurusan Felda.

Dan inisiatif ini dikenali sebagai Projek Lot Tapak Rumah Berperancangan Generasi Kedua Felda yang majlis pecah tanahnya disempurnakan oleh Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob petang Isnin, 27 Februari di sini.

Antara yang turut hadir tanda sokongan penuh terhadap projek ini ialah Pengerusi Felda sendiri, Tan Sri Shahrir Samad; Ahli Parlimen Rompin, Dato’ Sri Hasan Ariffin; Pengerusi, Jawatankuasa Hal Ehwal Felda Negeri, Dato’ Abu Bakar Harun;

SEDANG SAMPAIKAN UCAPAN LUAR TEKSNYA... Berdiri di belakang sebelah kiri Dato' Sri DiRaja Adnan ialah Sdr Mohd Rizal Yahya - anak peneroka yang mengetuai sekumpulan anak peneroka Rancangan Tanah Felda Keratong 5, mengusahakan tanah kosong seluas 11.08 hektar ini.


INISIATIF ANAK-ANAK PENEROKA SENDIRI

serta, wakil rakyat-wakil rakyat – Dato’ Wan Kadri Wan Mahussin (BN – Bukit Ibam); Dato’ Sri Maznah Mazlan (BN – Muadzam Shah); Dato’ Johari Hussain (BN – Tioman); dan, Pegawai Daerah, Encik Zulkifli Hashim.

“Di tapak Felda Keratong 5 ini, inilah satu contoh bagaimana insyaAllah, pihak Felda dan juga Kerajaan (Negeri) akan dapat mengatasi masalah perumahan di kalangan generasi kedua Felda,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan pada persidangan media sempena majlis berkenaan.

“Kita dapat lihat di sini, atas inisiatif belia-belia, anak-anak peneroka yang menjadi generasi kedua,” katanya, “… mereka telah berpakat dengan pihak pengurusan Felda di peringkat rancangan, kemudian itu mereka telah ambil inisiatif dan dapat menyediakan sebanyak 125 tapak bagi generasi kedua Felda nanti.

“Kerajaan Negeri berasa kagum dengan apa yang mereka buat ini dan Kerajan Negeri insyaAllah, akan memudah-carakan,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan pada persidangan media yang turut disertai oleh Tan Sri Shahrir dan Dato’ Sri Hasan.

“Dan saya percaya, kalaulah di tanah-tanah Felda yang lain ada tapak yang sesuai seperti tempat ini, kita boleh buat cepat – menyediakan tapak-tapak (rumah) untuk generasi kedua Felda,” katanya lagi.

SURATAN HAKIMLIK TANAH BUAT PENEROKA RANCANGAN TANAH FELDA SELANCAR 3... Pada sebelah paginya, Dato' Sri DiRaja Adnan telah hadir pada majlis penyampaian suratan hakmilik tanah kepada 365 peneroka di sini.  


HARAP, SPNB AKAN TURUT MEMBANTU

“Salah satu sebab kejayaan projek ini juga,” tambahnya, “… ialah inisiatif wakil rakyat; Dato’ Wan Kadri, Dato’ Burn (Abu Bakar Harun), Dato’ Sri Hasan – mereka bagi tahu kita, (maka) kita ambil inisiatif untuk menyelesaikan perkara ini”.

Mengenai pemilihan anak-anak peneroka sebegai peserta projek tersebut katanya, beliau meminta mereka yang terlibat supaya menyerahkan senarai nama peserta-peserta yang dicadangkan itu kepada Kerajaan Negeri untuk semakan.

Ke arah memenuhi impian anak-anak peneroka tersebut membina dan memiliki rumah di atas tapak-tapak lot ini, beliau berharap agensi-agensi Kerajaan seperti Syarikat Perumahan Negara Bhd (SPNB) akan turut serta membantu.

“… kita berharap, insyaAllah, pihak Felda, dan mungkin pada satu masa pihak SPNB, akan dapat membantu menyelaraskan supaya hasrat belia, generasi kedua Felda di sini untuk memiliki rumah sendiri akan menjadi satu realiti,” katanya.

Menurut Tan Sri Shahrir, majlis pada hari ini ialah ekoran perjumpaan beliau dengan Dato’ Sri DiRaja Adnan serta kepimpinan negeri dan wakil rakyat-wakil rakyat negeri ini di Kuantan, kira-kira tiga (3) minggu lepas.

HADIRIN, DALAM KALANGAN 365 PENEROKA FELDA SELANCAR 3... 
 

TERIMA KASIH BUAT MB

“Saya berterima kasih kepada Menteri Besar dan Kerajaan Negeri Pahang, yang bersetuju dengan cadangan ini. Daripada segi kami (Felda), kami akan ‘co-operate’,” katanya. ‘Co-operation’ yang dimaksudkan termasuklah daripada segi pembiayaan kos prasarana asas.

Sebelum itu bagaimanapun katanya, tanah bagi tapak-tapak rumah tersebut yang masih tertakluk di bawah Akta Petempatan Berkelompok (GSA: Group Settlement Act) perlu dikeluarkan daripadanya yang perlu pula Kerajaan Negeri laksanakan. 

SATU LAGI PROJEK BANTU ANAK PENEROKA - PERUMAHAN GENERASI BAHARU FELDA (PGBF)... Sebaik-baik selesai majlis pecah tanah di Rancangan Tanah Felda Keratong 5, Dato' Sri DiRaja Adnan serta Tan Sri Shahrir dan yang lain, berkejar pula ke Rancangan Tanah Felda Keratong 8 pada lewat petang Isnin yang sama.

PGBF di sini di atas tanah seluas 17 hektar, bagi memenuhi permintaan anak peneroka bagi kawasan Perantau Damai yang meliputi Rancangan Tanah Felda Keratong 8, serta juga Keratong 9 dan 10. 

Dan bilangan mereka di ketiga-tiga rancangan tanah ini ialah 389 orang iaitu 103 orang di Keratong 8; 187 orang di Keratong 9; dan, 99 orang di Keratong 10. – Khabar