Friday 27 October 2017

Tahniah atas Bajet 2018 bernilai RM280,250 juta

… meningkat kira-kira RM20,000 juta berbanding Bajet 2017 sebanyak RM260,800 juta
BIRU YANG BERSERI-SERI... Dato' Sri Mohd Najib ketika membentangkan ucapan bajet selama 2 jam 35 minitnya. 


ALAMAYA, INDERA MAHKOTA 5, KUANTAN – Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Abdul Razak atas pembentangan Bajet 2018 di Parlimen pada petang Jumaat, 27 Oktober tadi.

“Syabas dan tahniah kepada Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, atas pembentangan Bajet 2018,” katanya menerusi medium Whatsapp (WA) dan Sistem Pesanan Ringkas (SMS) yang diedarkan kepada media tempatan.

Dato’ Sri Mohd Najib menghabiskan masa kira-kira dua (2) jam 35 minit bermula 3.35 petang, membentangkan Bajet bernilai RM280,250 juta atau lebih kira-kira RM20,000 juta berbanding Bajet 2017 yang bernilai RM260,800 juta.

Daripada RM280,250 juta itu pula, RM234,250 juta diperuntukkan sebagai perbelanjaan mengurus manakala selebihnya, RM46,000 juta ialah untuk perbelanjaan pembangunan.

Sektor pertanian – buat pertama kali dalam sejarah pembentangan Bajet Negara, menurut kata Dato’ Sri Mohd Najib, merupakan penerima peruntukan terbesar iaitu sebanyak RM6,500 juta.

PENEKANAN KEPADA PENGUSAHA KECIL

 “Ada penekanan kepada Pengusaha Kecil dengan tambahan peruntukan kepada TEKUN dan AIM,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan lagi, merujuk kepada peruntukan kira-kira RM500 juta untuk TEKUN dan tambahan RM200 juta menjadikan keseluruhannya kira-kira RM2,700 juta untuk Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).


“Bantuan RM200 sebulan kepada pesawah padi sementera menunggu tuaian hasil semestinya dialu-alukan,” katanya lagi. – Khabar