Tuesday 20 March 2018

Manifesto BN Pahang perlu sikit lagi penambah-baikan

“Apa benda kita boleh bagi (lagi) kepada rakyat. Biasiswa Sekolah Menengah, Sekolah Rendah contoh, kita (akan) tambah RM50, RM50 lagi. Itulah sebagai contoh,” kata Menteri Besar tentang antara intipati Manifesto BN Negeri.
   

RAMAH-MESRA DENGAN PARA PENERIMA... 


TAPAK, PROJEK PERUMAHAN RAKYAT DIMILIKI (PPRM), KAMPUNG BARIS, BENTONG – Menteri Besar Dato' Sri DiRaja Adnan Yaakob berkata, Manifesto Pilihanraya BN Negeri kini sudah siap tetapi masih memerlukan sedikit penambah-baikan lagi dan intipatinya ialah berkaitan dengan kepentingan rakyat.

Antara yang disebutnya ialah tentang usaha untuk menaikkan lagi kadar pemberian di bawah kedua-dua Biasiswa Sekolah Menengah (BSM) dan Biasiswa Sekolah Rendah (BSR) masing-masing sebanyak RM50 lagi.

“Apa benda kita boleh bagi (lagi) kepada rakyat. Biasiswa Sekolah Menengah, Sekolah Rendah contoh, kita (akan) tambah RM50, RM50 lagi. Itulah sebagai contoh,” katanya kepada wartawan yang menemuinya pada Majlis Penyerahan Surat Tawaran Projek Perumahan Rakyat Dimiliki (PPRM) pagi Selasa, 20 Mac di sini. 

Sebagai latar belakang, Kerajaan Negeri menerusi Yayasan Pahang (YP), memperkenalkan BSM pada tahun 1983 manakala BSR pada tahun 2002 dengan kadarnya kini ialah masing-masing RM600 setahun (bagi BSM) dan RM300 setahun (bagi BSR).

Sehingga akhir tahun lepas, 162,241 pelajar (tingkatan 1 hingga 6) telah memanfaati BSM dengan nilai keseluruhan, RM272 juta!; dan 102,025 murid (tahun 4 hingga 6) telah memanfaati BSR dengan nilai keseluruhan, RM74 juta!
  
Dato' Sri DiRaja Adnan seterusnya berkata betapa manifesto yang diumumkan oleh puak pembangkang dalam Pakatan Harapan (PH), merupakan sesuatu yang tidak realistik khususnya tentang janji untuk menghapuskan pelbagai jenis cukai.

“Kalau main semua cukai nak hapus, apa hasil Kerajaan untuk menguruskan negara? Tak munasabah tu… Jadi rakyat jangan mudah tertipu,” katanya.

SERAHAN DAN BERSALAMAN... Dato' Sri Wan Rosdy kelihatan sedang menyampaikan dokumen berkenaan kepada seorang daripada penerima. 


1MDB YANG SENGAJA PEMBANGKANG MOMOK-MOMOKKAN

Menurutnya lagi, apa juga yang dikatakan tidak baik tentang Kerajaan yang ada adalah merupakan persepsi yang digembar-gemburkan oleh puak-puak pembangkang yang termasuklah dalam isu 1Malaysia Development Bank (1MDB).

Sedangkan 1MDB katanya, merupakan satu kaedah Kerajaan untuk melabur ke luar Negara dengan nilai pelaburan yang mungkin besar tetapi boleh mendapat pulangan besar juga dalam tempoh singkat.

“Kita kena ingat, kalau kita melabur di sini RM1 tapi kalau US1 Dolar di Amerika, (di sini) RM4. Kalau satu (1) Paun di England, RM5. Maknanya, dengan pelaburan yang kita buat, kita akan dapat buat keuntungan bawa balik ke negara.

“Tapi, belum sempat apa-apa lagi, 1MDB telah dimomok-momokkan. Dan sekarang ini (dalam) ‘social media’ – kalau momok-momokkan, seolah-olah 1MDB tu satu yang tidak berguna langsung, tidak…

“Jadi terpaksa 1MDB menjual asetnya untuk membayar pinjaman yang telah dibuat. Kalau tidak dikacau hari itu, 1MDB boleh melabur di seluruh dunia dan boleh membawa pulangan kepada negara,” katanya lagi.

HADIRIN PAGI SELASA... 


UMNO RAKAN KONGSI YANG BAIK

Dato’ Sri DiRaja Adnan turut ditanya tentang kenyataan media yang dibuat oleh tokoh-tokoh tertentu mengenai permintaan untuk parti-parti komponen BN berkenaan untuk bertanding di satu-satu kerusi yang sama.

Menurutnya, seharusnya soal pembahagian kerusi sesama parti komponen BN diserahkan kepada pucuk pimpinan parti untuk menetap dan menyelesaikannya.   

“Kita kena ingat yer, kita Barisan Nasional ni kita ada sikap tolak-ansur. Kalau semua kerusi majoriti Melayu diberi kepada UMNO, apa hal MIC? Apa hal Gerakan? Apa hal MCA? Mereka rakan-kongsi kita.

“Jadi ada tempat-tempat tu, pucuk pimpinan akan putuskan di mana diberikan untuk parti komponen, di mana tinggal kepada UMNO,” katanya.  

“Dalam hal ini – dari dulu lagi, rakan-rakan komponen ini membantu kita (UMNO). Kita orang UMNO menjadi tonggak memegang kerusi yang banyak (maka) apa salahnya kita, satu-dua kerusi, dua-tiga kerusi di tempat-tempat yang boleh kita bagi (kepada) mereka, kita bagi mereka.

SERAH KEPADA KEBIJAKSANAAN PENGERUSI BN

“Kalau tidak macam MIC, mana ada satu kerusi yang majoriti India? Kena UMNO beri… Tapi, dengan memberi kerusi itu, maka orang India di seluruh negara memerhati (dan berkata) ‘Oh, UMNO ni rakan kongsi yang baik’

“Jadi orang India seluruh negara nanti akan mengundi pula orang UMNO yang ada pengundi-pengundi India yang kalau tak kerana orang India itu mengundi, mungkin kalah,” katanya lagi.

“Kita serah kepada kebijaksanaan YAB Dato’ Sri Mohd Najib (Presiden UMNO dan juga Pengerusi BN) untuk memutuskan. Kita ikut sahaja,” tegasnya.

Yang turut hadir pada majlis pagi Selasa ini ialah Pengerusi, Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail; Pegawai Daerah Bentong, Dato’ Azhar Arshad; dan, Yang Dipertua, Majlis Perbandaran Bentong, Dato’ Mohammad Shahid Ismail. – Khabar