Tuesday 19 June 2018

“Allahyarham seorang yang cukup dekat di hati saya”


… titah KDYMM Pemangku Raja Pahang tentang pulangnya ke Rahmatullah, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman

Bekas Menteri Besar ke-11 itu meninggal dunia awal tengah hari Selasa ini, dalam usia 79 tahun.   

MENUNAIKAN SOLAT JENAZAH... Pegawai Agama Islam Daerah Kuantan, Encik Abdul Zaki Mohd Zain mengimamkan solat Jenazah. 

Selain KDYMM Pemangku Raja dan putera Baginda, YM Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah; yang turut hadir ialah Ahli Exco Kerajaan Negeri, Dato' Mohd Fakharuddin Mohd Ariff (tiga dari kanan). 


PERKARANGAN, A 70, LORONG KUBANG BUAYA 54, MEDAN TOK SIRA, KUANTAN“Allahyarham seorang yang cukup dekat di hati saya kerana Allahyarham seorang yang baik, Allahyarham seorang yang cukup ikhlas dan cukup mulialah di hati,” titah KDYMM Pemangku Raja Pahang.

“Dan sudah tentu saya semua akan kehilangan seorang orang yang baik,” titah Baginda lagi ketika ditemui wartawan selepas menziarahi jenazah Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman, 79, yang meninggal dunia awal tengah hari Selasa, 19 Jun atau Syawal ke-5 di kediamannya di sini.

Yang turut mengiringi keberangkatan Baginda sejak 3.30 petang sehinggalah kira-kira 5 petang termasuk sama-sama menunaikan solat Asar disusuli solat jenazah ialah putera Baginda, YM Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

Baginda turut bertitah betapa Baginda – ketika itu ialah KDYTM Tengku Mahkota Pahang; mengenali Allahyarham sejak tahun 1980-an lagi ketika Allahyarham menduduki jawatan Menteri Besar.

“… sewaktu Allahyarham menjadi Menteri Besar dalam masa yang singkat – saya masih muda lagi masa tu; banyaklah nasihat dan pandangan yang cukup bernas (diberikannya),” titah Baginda.

SUASANA DI TANAH PERKUBURAN... 


SEMOGA ROH ALLAHYARHAM DICUCUI RAHMATNYA

“Sama-samalah kita berdoa,” titah Baginda lagi, “… supaya roh Allahyarham sentiasa dicucuri rahmatNya dan dimasukkan ke dalam syurga bersama-sama dengan orang-orang yang lebih beriman, InsyaAllah”.

Menurut laporan yang memetik menantunya – Encik Hasbullah Omar sebagai berkata, Allahyarham Tan Sri Abdul Rashid meninggal dunia di kediamannya ini pada kira-kira 12.20 tengah hari tadi.

Menurut Encik Hasbullah, Allahyarham meninggal dunia akibat sakit tua dan mengalami komplikasi penyakit buah pinggang.

Sebelum itu, sejak April lepas lagi untuk tempoh kira-kira dua (2) bulan menurutnya, Allahyarham telah menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) dekat sini.

“Selepas itu, Allahyarham dibawa pulang ke rumah untuk rawatan susulan, sebelum meninggal dunia hari ini,” katanya ketika ditemui pemberita semasa kerja-kerja memandikan jenazah dijalankan.

ALLAHYARHAM TAN SRI ABDUL RASHID... 


PERNAH JADI MB SELAMA 6 BULAN

Menurut rekod, Allahyarham Tan Sri Abdul Rashid pernah menjadi wakil rakyat negeri (BN - Paya Besar) sejak tahun 1974, kemudian dilantik sebagai Menteri Besar Pahang ke-11 oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Allayarham dilantik menggantikan Allahyarham Dato’ Abdul Rahim Bakar. Tempoh Allahyarham dalam jawatan tersebut cuma kira-kira enam (6) bulan, bermula 7 November 1981 hingga 4 Mei 1982.  

Allahyarham meninggalkan tujuh (7) orang anak dan 11 cucu. Selepas dimandi, dikafan dan disembahyangkan di ruang tamu kediaman ini; jenazah Allahyarham dibawa ke Tanah Perkuburan Islam, Pekan untuk disemadikan bersebelahan kubur isterinya, Allahyarhamah Puan Sri Shamsiah Razali. – Khabar